KHALIFAH ABU BAKAR

 

Latar Belakang

Nama sebenar Abu Bakar ialah Abdullah Bin Abu Qahafah. Sebelum Islam, beliau dikenali sebagai Abdul Kaabah. Al-Siddiq ialah gelaran yang diberi oleh Nabi kerana beliau sentiasa membenarkan kata-kata Nabi. Beliau dilahirkan pada tahun 574 M, dari keturunan Bani Tamin/Taim. Sebelum Islam, beliau adalah saudagar yang kaya. Selepas Islam, beliau banyak mengorbankan harta dan tenaga untuk kepentingan Islam. Melalui usaha beliau, beberapa orang sahabat telah berjaya diislamkan termasuklah Uthman Bin Affan, Zubair Bin al-Awwan, Abdul Rahman Bin Auf dan sebagainya.

 

Proses Perlantikannya Sebagai Khalifah

Ketika orang Islam sibuk dengan pengebumian Nabi, orang-orang Ansar telah berkumpul di Saqifah Bani Saidah bagi melantik Saad Bin Ubaidah, ketua puak Khazraj, sebagai khalifah. Apabila hal ini diketahui oleh Abu Bakar, beliau bersama-sama Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah telah pergi ke sana. Abu Bakar menerangkan bahawa jawatan khalifah sepatutnya diberi kepada keturunan Quraisy kerana Quraisy sangat berpengaruh. Oleh itu, belia mencadangkan supaya sama ada Umar atau Abu Ubaidah dipilih. Umar sebaliknya telah mencadangkan supaya Abu Bakar sahaja dipilih memandangkan kelebihan yang dimilikinya. Umar telah membai'atkan Abu Bakar diikuti Abu Ubaidah dan seterusnya orang-orang yang ada dalam perhimpunan tersebut.

 

Esoknya, Abu Bakar terus menerima bai'at dari orang ramai di masjid nabi. Abu Bakar kemudiannya telah membuat ucapan besar di antara lain menyebutkan bahawa umat Islam wajib mentaatinya selagi beliau masih mentaati Allah. Sekiranya beliau melakukan kesalahan, adalah menjadi tanggungjawab semua orang untuk membetulkannya. Beliau telah menggalakkan umat Islam untuk melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara mungkar.

 

Jasa-jasa Khalifah Abu Bakar

Menyelesaikan Masalah Perebutan Jawatan Khalifah

Masalah ini berpunca cari nabi tidak menyebut siapakah yang akan dilantik untuk menggantikannya. Apabila baginda mangkat, timbullah masalah perebutan jawatan khalifah. Ada yang berpendapat jawatan khalifah hanya untuk orang Quraisy dan sesetengah menyebut ia hanya untuk Muhajirin. Terdapat pula yang mengatakan jawatan khalifah hanya dikhaskan kepada keturunan Bani Hasyim. Masalah ini menjadi kuat apabila golongan Ansar mengganggap diri mereka layak memandangkan sumbangan mereka terhadap perkembangan Islam. Abu Bakar telah memberi hujah yang sebaik-baiknya bahawa khalifah adalah ditujukan kepada orang Quraisy kerana orang Quraisy sangat berpengaruh. Beliau telah mencadangkan sama ada Umar atau Abu Ubaidah dipilih tetapi Umar mencadangkan Abu Bakar dipilih sebagai khalifah. Abu Bakar telah mendapat persetujuan dari orang ramai dan menjadi khalifah pertama.

 

Gerakan Tentera Usamah

Sebelum nabi wafat, nabi telah membentuk sebuah pasukan tentera yang diketuai oleh Usamah Bin Zaid untuk memerangi penduduk Ghassan yang telah membunuh utusan nabi. Sebelum pasukan ini digerakkan, nabi telah wafat. Apabila Abu Bakar menjadi khalifah, beliau mencadangkan untuk meneruskan gerakan tersebut tetapi telah dibantah oleh kebanyakan sahabat.

 

Dalam hal ini, Abu Bakar telah menunjukkan ketegasannya walaupun kebanyakan sahabat berpendapat Usamah terlalu muda (18 tahun) untuk memikul tugas tersebut. Abu Bakar ternyata tidak mahu merombak keputusan yang telah dibuat oleh nabi. Dengan ketegasannya, 40 hari selepas tentera Usamah berperang, mereka kembali semula ke Madinah dengan membawa kejayaan malah dapat sama-sama membantu menyelesaikan masalah al-Riddah.

 

Masalah al-Riddah

Al-Riddah/Gerakan anti kerajaan Islam, merupakan satu ancaman yang besar kepada negara Islam.Mereka telah dibahagikan kepada 3 golongan, iaitu orang-orang yang mengaku sebagai nabi termasuklah Tulaihah Bin Khuwalid, al-Aswad al-Anasi, Musailamah al-Khazzah, Sajjah al-Harith dan sebagainya.

 

Golongan kedua terdiri daripada mereka yang tidak mahu membayar zakat. Antara yang terkenal ialah Malik Bin Nuwairah.

 

Golongan ketiga terdiri daripada mereka yang murtad/kembali semula ke agama asal. Bagi mengatasi masalah ini, Abu Bakar telah membentuk 11 buah pasukan tentera yang diketuai oleh panglima-panglima terkenal seperti Khalid Bin al-Walid, Amru Bin al-As, Ikramah Bin Abu Jahal, Syurahbil Hasahah dan Khalid bin Said.

 

Sebelum memerangi golongan al-Riddah, Abu Bakar terlebih dahulu menghantar utusan kepada mereka dan menyuruh mereka kembali semula kepada Islam. Ada di antara mereka yang menerima dan ada yang menolak. Kepada golongan inilah tentera tersebut dihalalkan. Tindakan Abu Bakar ini ternyata telah membawa kejayaan.

 

Pengumpulan al-Quran

Semasa nabi masih hidup, al-quran telah ditulis pada kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah kurma di samping hafalan para sahabat tetapi tulisan-tulisan tersebut tidak terkumpul di suatu tempat. Semasa berlakunya peperangan al-Riddah, ramai sahabat yang menghafal dan menyimpan al-Quran mati syahid. Keadaan ini amat membimbangkan Abu Bakar.

 

Dengan menggunakan istihat Abu Bakar telah mengarahkan Zaid Bin Thabit untuk mengumpulkan tulisan al-Quran dan disimpan di rumah khalifah. Usaha ini tidak pernah dilakukan oleh nabi tetapi demi keselamatan orang Islam, Abu Bakar terpaksa melakukannya. Hal ini disebabkan al-Quran adalah sumber rujukan yang utama di dalam Islam.

 

Ancaman Parsi

Pertelingkahan dengan Parsi bermula apabila tentera Islam dihantar ke sebelah Timur untuk menghapuskan pemberontakan orang Badwi. Parsi yang merupakan musuh orang Islam telah menghasut penduduk di sempadan sebelah Timur menentang Kerajaan Islam Madinah.

 

Bagi menyelesaikan masalah ini, Abu Bakar telah mengarahkan Panglima al-Muthana Bin Harithah dengan bantuan Khalid Bin al-Walid bersama-sama dengan 10,000 tentera untuk memerangi Parsi. Pasukan tentera ini akhirnya berjaya menguasai beberapa tempat di Hirah setelah menewaskan pemimpin Parsi iaitu Hurnuz al-Muthana kemudiannya dilantik sebagai wakil pemerintah di Hirah dan Anbat.

 

Ancaman Rom

Tentera Islam juga terpaksa menghadapi ancaman Rom terutamanya di Syria dan Palestin. Rom sememangnya berhasrat untuk meluaskan kekuasaan politiknya di Semenanjung Tanah Arab kerana wujudnya persaingan dengan Parsi. Kemunculan Kerajaan Islam Madinah menyebabkan kedudukan Rom semakin tergugat.

 

Abu Bakar telah membentuk sebuah pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid Bin al-Walid dan dibantu oleh 4 orang panglima tentera iaitu Abu Ubaidah Bin al-Jarrah, Amru Bin al-As, Yazid Bin Abu Sufian dan Syunahbil Hasanah. Pertempuran I di antara tentera Islam dan Rom berlaku di Ajhadieh. Hercules melarikan diri ke Antibeh. Beliau telah berjaya mengumpulkan semua tenteranya dan pertempuran II berlaku di Yarmuk. Dalam pertempuran ini tentera Islam telah menang.

 

Sebelum peperangan berakhir, sampai berita mengatakan Khalifah Abu Bakar telah wafat dan Umar telah dilantik sebagai khalifah kedua. Panglima Khalid al-Walid dipecat dari jawatan Panglima Agung Tentera dan digantikan oleh Abu Ubaidah Bin al-Jarrah.

 

Perlantikan Khalifah Kedua

Ketika Khalifah Abu Bakar sakit, beliau telah memanggil para sahabat meninjau fikiran mereka untuk mencari seorang tokoh yang bakal menjadi khalifah seterusnya. Kebanyakan para sahabat telah bersetuju pendapat Abu Bakar untuk menjadikan Umar sebagai pengganti. Oleh itu, Uthman telah dilantik untuk menulis wasiat berhubung dengan perlantikan tersebut. Tindakan Abu Bakar ini bukan sahaja memeri peluang kepada Umar untuk memerintah negara Islam dan seterusnya melakukan usaha-usaha pembangunan, malah ia dapat mengelakkan berlakunya masalah perebutan jawatan khalifah seperti yang berlaku selepas kewafatan nabi.

 

[Main]