Rejab digelar bulan Allah.
Dikatakan begitu kerana ia adalah satu bulan yang mulia di mana Allah telah
bermurah hati mengampunkan dosa-dosa hamba-hambaNya, mengangkatkan darjat
mereka serta melipatgandakan pahala mereka yang melakukan amal ibadat dalam
bulan ini. Sekiranya dalam bulan-bulan biasa, satu kebajikan dibalas dengan
10, tetapi dalam bulan Rejab setiap kebajikan dibalas dengan 70. Dalam
bulan ini juga Allah telah menjalankan Nabi Muhammad saw dalam peristiwa
Isra' dan Mi'raj iaitu dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjid Aqsa dan dari
sana pula dibawa ke Sidratul Muntaha, untuk menerima kewajiban solat 5
waktu sehari semalam.
Sempena bulan Rejab yang mulia ini,
saya ingin membawa satu kisah untuk kita renungkan bersama.
Setiap kali kedatangan bulan Rejab,
seorang abidah (waniita yang kuat beribadat) mewiridkan bacaan 'Qulhuwallahu
Ahad' sebanyak 11 kali selepas solat Subuh. Ini dilakukannya setiap hari
sepanjang Rejab pada tiap-tiap tahun. Usaha ini dilakukannya sebagai tanda
memuliakan Bulan Rejab. Selain itu, wanita ini akan memakai pakaian yang
kasar menggantikan pakaian biasa yang dipakainya pada bulan-bulan lain.
Suatu hari, dia jatuh sakit. Sebelum
menghembuskan nafas terakhir, wanita itu sempat berwasiat kepada anak-anaknya
jika dia mati kafankannya dengan kain kasar yang dipakainya. Dalam keadaan
yang tenang, wanita itu menghembuskan nafasnya yang akhir. Semasa mengkafankan
jenazah ibunya, anak-anaknya terasa aib untuk menggunakan kain kapan yang
sudah uzur dan lusuh, lalu menggantikannya dengan kain kafan yang baru.
Pada malam itu, anaknya bermimpi
berjumpa ibunya. Ibunya bertanya mengapa mereka tidak mematuhi wasiatnya.
Perbuatan mengkafannya dengan kain baik menyebabkan ibunya tidak meredhai
mereka. Sebaik saja anaknya terjaga, dia berasa amat sedih dan menyesal
atas perbuatannya. Dia segera ke kubur pada malam itu juga lalu menggali
kubur ibunya untuk menggantikan dengan kain kafan yang lusuh. Alangkah
terperanjatnya apabila mendapati mayat ibunya tidak ada di situ.
Anaknya berasa amat hairan. Tiba-tiba
kedengaran satu suara 'Hai anak! Tidakkah kau tahu bahawa orang yang memuliakan
bulan Rejab tidak akan bersendirian di dalam kubur.' Mendengar suara itu,
anaknya segera faham. Dia pun menimbus semula kubur yang digalinya lalu
beredar dari situ.