ANJING
DENGAN BAYANG-BAYANG
Pada suatu hari,
seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk
mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong
sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari
menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan
di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang
bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain
dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu
ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang,
ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang
yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal
kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan
sifat tamaknya.
MORAL
& IKTIBAR
-
Sifat tamak adalah sifat mazmumah
yang dicela Allah
-
Orang yang telah dikuasai sifat
tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya
itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
-
Orang yang bersifat tamak mengumpulkan
harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya
selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).
-
Sifat zuhud (memada apa yang
ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita
-
Orang tamak sentiasa dalam keadaan
miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya
kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
-
Manusia yang tamak jika diberikan
segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain.
Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.
-
Sinario yang berlaku di negara
kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan
harta dunia untuk diri dan kroni sehingga menghalalkan nepotisma dan kronisma;
malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada
tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan
segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga,
mempetrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa
orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun
dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.
-
Amaran Nabi: Apabila mencecah
umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah
(gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.
|