Pada suatu hari,
Khalifah Umar ibni Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah.
Apabila sampai di persimpangan jalan, beliau terserempak dengan seorang
pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan sangkaan buruk Umar terhadap
pemuda itu. Lantas Umar menyoal, "Apa yang engkau bawa itu?" Dalam keadaan
ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab, "Madu, wahai Umar.." Sebenarnya
pemuda itu sedang membawa kendi arak.
Selepas berkata demikian,
timbul perasaan insaf di hatinya untuk bertaubat dari minum arak. Dia menyesal
melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil
berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu. Namun Khalifah
Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu;
lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.
Doa pemuda itu dikabulkan
Allah. Apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu.
Allah menukarkan arak menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat
dari tindakan Khalifah. Semenjak peristiwa itu, pemuda itu bertaubat dan
berjanji tidak akan meminum arak lagi.