MANUSIA
DALAM KERUGIAN
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia
di dalam kerugian.
Kecuali mereka yang
beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat
dengan kesabaran.
|
"
Allah Maha Mengetahui keadaan dan
nasib manusia kerana Dialah yang mencipta manusia itu. Dalam surah Al-Asr
ini, Allah bersumpah bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali 4 golongan
iaitu:
1.mereka yang beriman
2.beramal soleh
3.menasihati atas kebenaran dan
4.menasihati atas kesabaran
Ini bermakna semua manusia tanpa
mengira kedudukan sama ada kaya, miskin, berpelajaran tinggi, keturunan
bangsawan atau peminta sedekah; kesemuanya Allah memberi amaran/ingatan
tentang kerugian yang menimpa mereka. Untuk mengelakkan dari kebinasaan
dan kerugian ini, mereka diberikan 4 alternatif seperti yang disenaraikan
di atas; iaitu beriman, beramal soleh, bercakap atas kebenaran dan juga
atas kesabaran.
1. Manusia yang beriman ialah mereka
yang mempunyai kesedaran tertinggi dan meyakini bahawa di sebalik alam
yang luas ini, ada 'zat' yang MAHA BESAR dan MAHA KUASA yang mencipta dan
mengendalikan keseluruhan alam ini. Begitu juga di sebalik alam nyata ini
ada lagi alam kehidupan yang lebih besar dan indah iaitu kehidupan akhirat
yang kekal dan abadi bagi setiap manusia. Sesiapa juga manusia tanpa mengira
apa kedudukan sosio-ekonominya, akan terjerumus ke dalam api neraka yang
amat panas sekiranya tidak mempunyai keimanan terhadap perkara-perkara
ghaib ini.
Hidup di dunia ini adalah sementara.
Kita akan berpindah ke alam barzakh (awal alam akhirat) tidak
lama lagi
iaitu selepas kita dimatikan. Yang dapat menyelamatkan kita di kubur ialah
iman kepada Allah. Termasuk dalam ertikata iman ialah bukan setakat mempercayai
Allah sahaja tetapi mesti dibuktikan dengan amalan. Jadi iman dan amal
soleh ialah gandingan terbaik untuk menempuh dugaan di alam akhirat. Iman
tanpa amal adalah ibarat pokok tanpa buah. Oleh itu kita dikehendaki melengkapkan
diri dengan iman dan amal supaya hidup kita tidak sengsara sepanjang hayat
tanpa batas waktu di akhirat.
2. Manusia kedua yang tidak akan
rugi ialah mereka yang beramal soleh atau mengerjakan kebajikan. Orang
yang meninggal dunia tanpa sebarang kerja kebajikan atau amal soleh akan
rugi kerana mereka akan diseksa di dalam api neraka. Nasib kita di akhirat
tidak sekali-kali bergantung kepada harta kekayaan, kedudukan pangkat atau
pengetahuan tetapi sebaliknya ia dinilai dengan amal solehnya. Sungguhpun
begitu ada juga orang yang rajin membuat amal kebajikan tetapi sayangnya
tidak mempunyai keimanan terhadap Allah. Golongan seperti ini adalah rugi
juga kerana tidak mempunyai asas aqidah terhadap Allah yang wajib ada dalam
setiap individu. Kesemua amalan kita tidak akan diterima Allah jika
tidak berpaksi kepada dasar keimanan kepada Allah.
Oleh sebab itu, kita seharusnya menggunakan
masa hidup kita yang tidak lama ini untuk melakukan amal soleh sebanyak--banyaknya.
Alangkah ruginya seseorang yang berbadan sihat, tegap,mempunyai hartabenda
yang banyak tetapi seluruh kekuatan, kesihatan dan harta bendanya digunakan
untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja. Lebih dahsyat lagi jika
ia digunakan untuk melakukan maksiat, aniaya, fitnah dan menzalimi orang
lain. Sepanjang hidup ini kita tidak lari dari melakukan 2 perkara sama
ada amal soleh (baik) atau amal tholeh (jahat). Orang yang berjaya ialah
mereka yang beramal soleh bukan beramal tholeh. Diri kita adalah sebaik-baik
kompas untuk menilai yang soleh atau sebaliknya. Namun tidak semua orang
dapat memberikan penilaian yang tepat, malah ada orang memandang kebajikan
itu sebagai kejahatan dan kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Kesemua
ini memerlukan ilmu yang menjadi syarat untuk memberikan penilaian yang
benar dan tepat berlandaskan syariat Islam.
Amal kebajikan boleh diusahakan dengan
pelbagai cara sama ada dengan material atau menggunakan anggota badan.
Menasihat kawan adalah kebajikan. Membuang duri di jalan juga satu kebajikan.
Memberi makan kepada binatang juga kebajikan;
apatah lagi memberi makan
kepada fakir miskin. Pendek kata jika kita tahu caranya, semua aktiviti
kita boleh dikategorikan kepada amal kebajikan.
Dengan melakukan amal kebajikan belum
menjamin keselamatan seseorang selagi tidak meninggalkan kejahatan.
Antara dua perkara iaitu membuat makruf (kabajikan) dan meninggalkan mungkar
(kejahatan), yang kedua amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu membuat
kebaikan tetapi untuk meninggalkan kejahatan tidak semudah itu. Contohnya
ramai wanita boleh bersolat 5 waktu tetapi tidak sanggup menutup aurat
atau mengumpat. Ada ulama berpendapat sebelum mengerjakan kebajikan hendaklah
terlebih dahulu meninggalkan maksiat dengan cara bertaubat nasuha. Sungguhpun
begitu dalam keadaan-keadaan tertentu, amal kebajikan yang kita buat dapat
juga menghapuskan kejahatan-kejahatan. Namun yang lebih baik ialah
sebelum melakukan kebajikan, perlulah membuang segala amal kejahatan terlebih
dulu. Ini bermakna kita hendaklah mengosongkan diri kita dari segala maksiat
sebelum melakukan kebajikan; sesuai dengan sunnah Nabi yang dibedah sebelum
dibawa melakukan perjalanan Isra' dan Mikraj.
Umum mengetahui bahawa setiap pekerjaan
kita sama ada yang besar atau kecil sentiasa dicatat atau direkod oleh
malaikat yang dipertugaskan Allah supaya di akhirat nanti mereka akan dipertanggungjawabkan.
Nyatalah kehidupan kita di dunia ini bukan sia-sia atau sembarangan. Kita
mempunyai misi dan wawasan yang perlu dipenuhi di dunia ini sesuai dengan
firman Allah:
Barangsiapa mengerjakan kebajikan
walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat (balasannya),
dan barangsiapa mengerjakan kejahatan
walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat juga.
(Ini bermakna walau sekecil manapun
kebaikan atau kejahatan yang kita lakukan
akan kita rasakan akibatnya nanti
|
Oleh itu untuk keselamatan di alam
yang abadi, saya menyeru diri saya sendiri dan saudara-saudara semua supaya
melakukan kebajikan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama meninggalkan
segala kejahatan. Slogan 'menghalalkan segala cara' untuk kejayaan di dunia
terutama dalam bidang keduniaan adalah semboyan syaitan dan iblis yang
harus ditentang.
3. Golongan ketiga yang tidak
rugi ialah mereka yang menggunakan masa hidupnya dengan menyampai atau
menerangkan kebenaran/haq atau mereka yang membela/mempertahankan
kebenaran contohnya agama Islam. Konsep kebenaran dalam Islam banyak
jenis; kebenaran dalam tuturkata, kebenaran dalam tindakan, kebenaran dalam
niat, kebenaran dalam pergaulan, kebeneran dalam politik, kebenaran dalam
penghakiman dan sebagainya. Di antara banyak-banyak kebenaran, yang
paling utama sekali ialah kebenaran yang berasal dari ALLAH yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Al-Quran iaitu Deen Islam. Mengajar
dan menyampaikan kebenaran wahyu Ilahi ini serta mempertahankan kebenarannya
adalah misi tertinggi kemanusiaan. Golongan dai' ini hidupnya tidak akan
rugi. Selain tugas dakwah dan menyampai kebenaran adalah sia-sia
dan rugi semata-mata. Bertambah rugilah manusia yang cara hidupnya di muka
bumi ini untuk tujuan bersenang-senang dengan makan-minum, mengumpul kekayaan
dan beranak-pinak saja. Golongan ini tidak mempunyai nilai di sisi
Allah.
Apa sebenarnya Haq itu? Haq
itu adalah kebenaran yang datang dari Allah. Oleh sebab itu ia tidak boleh
dipertikaikan. Firman Allah:
Kebenaran itu adalah
dari Tuahnmu. Oleh sebab itu jangan sekali-kali
kamu termasuk dari golongan
orang yang ragu. (Al-Baqarah: 147)
Kebenaran apa jua bentuknya adalah
dari Allah. Induk dari segala kebenaran ialah Kalimah Tauhid "Laa
ilaaha illallah" yang membawa maksud tidak ada Tuhan yang disembah selain
Allah dalam ertikata Allahlah yang Maha Besar yang mesti disembah. Segala
yang lain adalah makhlukNya. Tauhid adalah haq manakala syirik pula adalah
bathil. Begitu juga syurga adalah haq, neraka haq, azab kubur haq, malaikat
haq, tiitian sirath juga haq. Begitulah seterusnya diqiaskan kepada perkara-perkara
lain seperti membaca Al-Quran, membuat kebajikan dan lain-lain. Manakala
apa jua yang buruk dan keji yang dilarang oleh Allah adalah bathil seperti
mencuri, meninggalkan solat, membunuh, syirik dan sebagainya.
Akal yang sihat yang dapat bimbingan
Ilahi mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai
kesalahan. Apabila telah mengetahui sesuatu itu sebagai kebenaran, maka
mudahlah kita mengikutinya. Begitulah sebaliknya jika kita mengetahui sesuatu
itu sebagai kejahatan, mudahlah bagi kita menjauhikannya. Kefahaman sebegini
adalah pemberian Allah kepada hamba yang disayangiNya. Betapa ramai manusia
yang tidak diberikan kurniaan ini, lantas mereka menganggap bahawa kebaikan
itu sebagai kejahatan manakala kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan.
Orang begini telah dipetri hatinya dan tidak dapat membezakan lagi antara
baik dan jahat. Bagaimana mungkin sebuah kompas yang jarumnya sudah tidak
menunjuk arah yang betul dijadikan panduan untuk meneroka satu padang pasir
yang amat luas? Semoga kita dijauhkan dari keadaan yang gelap ini dan berdoalah
mudahan dapat kita melihat yang haq itu haq dan bathil itu sebagai bathil.
Setelah mata hati kita dapat menyuluh
hakikat kebenaran sesuatu perkara, dapatlah kita menjadikannya sebagai
panduan hidup. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan
sempadan; sehinggalah ia menjadi resam hidup yang sebati dengan diri kita;
dan inilah yang harus dijadikan asas perjuangan untuk diri dan masyarakat.
Setelah mempraktikkan kebenaran
itu dalam diri sendiri barulah mudah memperkatakan kebenaran kepada orang
lain. Misalnya berkata benar - tidak berbohong,
menipu atau memfitnah. Telinga pula benar dari segi tidak mendengar
perkara yang haram dan dilarang. Mata pula tidak melihat
sesuatu kecuali yang halal. Pendekkata semua anggota
tidak melakukan sesuatu kecuali yang benar dan tidak bercanggah
dengan kebenaran itu sendiri iaitu ISLAM. Penyebaran
dakwah ini menjadi penting dan wajib atau fardhu 'ain dilakukan terutama
dalam zaman kegawatan akidah dewasa ini. Tidak guna manusia
yang asyik memperkatakan atau cuba menyelamatkan
generasi ini dari kegawatan ekonomi saja tanpa sedikit
pun memikirkan masalah yang Allah pandang besar iaitu kegawatan
aqidah, moral dan agama. Adakah ekonomi akan menyelamatkan
manusia terjun ke lembah hina di dunia dan terjun
ke neraka di akhirat? Pendekatan 'ekonomi adalah segala-galanya'
seolah-olah menafikan kebenaran Islam.
Setelah berhasil mencapai kebenaran
dalam diri sendiri dan masyarakat amnya, barulah kejayaan
itu diperkukuhkan atau dimantapkan secara istiqamah. Usaha ini perlu
berterusan meskipun melalui duri dan ranjau yang cuba ditentang
oleh puak yang memusuhi kebenaran iaitu Paksu (nafsu), Pak Leh (Iblis),
Pak Wa (hawa) dan Pak Tan (syaitan). Di sini perlunya
kesabaran - satu sifat yang perlu untuk menjadi golongan terakhir
yang dinyatakan dalam Surah Al-'Asr iaitu pendokong kesabaran.
4. Mereka yang menyampaikan nasihat
dengan kesabaran adalah golongan terakhir yang
beruntung dan tidak akan rugi. Konsep sabar dalam Islam ada 3 jenis:
pertama, sabar menanggung kesusahan dan sebarang bala yang menimpa diri,
kedua, sabar mengerjakan ketaatan seperti sabar untuk
mengerjakan sembahyang dan segala ibadat lain, dan
ketiga ialah sabar diri dari melakukan sebarang maksiat. Jelasnya, sabar
yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah sabar atau tetap
hati di dalam memegang ajaran Allah yang benar itu;
tanpa sedikit pun bergoyang oleh sebarang anasir yang datang. Di
antara musuh yang cuba menggoyang atau merosakkan pendirian
ini ialah syaitan, nafsu, hawa dan iblis. Mereka
yang sabar ialah mereka yang berjaya melawan diri dari musuh-musuh ini
untuk mencapai keredhaan Allah. |