|
DOSA
IBARAT LALAT DAN GUNUNG
Kepekaan terhadap sesuatu menjadi ukuran
terhadap nilai sesebuah masyarakat. Masyarakat yang dibentuk oleh Nabi
sangat sensitif terhadap ajaran Islam. Seruan untuk jihad disambut dengan
rela hati. Mereka sanggup mengorbankan harta dan diri mereka kerana menegakkan
agama Allah. Mereka berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan ketaatan walau
sekecil mana sekalipun. Kepada mereka semua kebajikan adalah suruhan Allah.
Pada masa yang sama mereka menjauhi segala larangan sama ada yang besar
atau kecil. Besar atau kecilnya larangan pada mereka sama sahaja kerana
semua itu adalah larangan Allah. Lantaran kepekaan terhadap suruhan dan
larangan Allah, mereka sangat takut untuk mengerjakan maksiat walau kesalahan
yang kecil sekalipun. Jika mereka membuat kesalahan dan dosa walaupun kecil,
mereka merasakan tertekan seolah-olah gunung Uhud akan menimpa dirinya.
Apatah lagi jika dosa yang besar..
Masyarakat sekarang sudah banyak
berbeza. Kebanyakannya tidak peka terhadap ajaran Islam. Walaupun telah
melakukan dosa besar yang sangat banyak, namun dirasakan seperti seekor
lalat yang menghinggap batang hidungnya; seolah-olah tidak ada apa-apa.
Ini berbeza sekali dengan generasi awal yang merasakan akan dihempap gunung
hanya melakukan dosa yang kecil.
Betapa Nabi Adam menangis beratus-ratus
tahun hanya melakukan satu dosa sahaja iaitu memakan buah khuldi yang dilarang
oleh Allah; sehinggakan airmata tangisannya mengalir menjadi sungai dan
laut yang dapat kita manfaatkan hingga dewasa ini. Bagaimanakah keadaan
kita adakah kita menangis setelah melakukan dosa bukan setakat satu malahan
tidak terkira dosa yang dilakukan?
Hisablah diri sebelum kita dihisab.
|