|
KEDUNIAAN
YANG MERUGIKAN AKHIRAT
Bersyukur ke hadrat
Allah Taala kerana melahirkan kita ke alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan
dan insyallah akan dimatikan dengan izinNya. Kita dipinjamkan jasad dan
nyawa untuk beberapa ketika yang diizinkan yang kita sendiri tidak mengetahui
kecuali diriNya. Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Baginda Rasul
sebagai seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan ke suatu destinasi
yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu
banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi.
Pengembara yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan
sementara yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya
adalah warga satu alam lagi. Manakala pengembara yang lupa daratan akan
menikmati sepuas-puasnya apa sahaja yang ditempuh; seolah-olah iniah dunianya
sehingga terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka
terpedaya dengan kemanisan dunia dan menyangkakan apa yang dipungut itulah
BEKALAN.
Sebagai seorang pengembara, kita
seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas
yang dipiawaikan oleh Rasul. Untuk sampai ke destinasi AKHIRAT, pungutlah
bekalan sebanyak mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai
BEBAN yang boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang
tua : Kita sebenarnya adalah WARGA AKHIRAT - tempat yang kekal abadi; sementara
dunia ini ialah rumah tumpangan sementara yang penuh kepalsuan dan tipu-daya.
Oleh itu kita mestilah bijak memilih mana satu BEKALAN dan mana satu BEBAN.
Barangan yang dikategori sebagai BEBAN akan menyusahkan perjalanan ke akhirat
manakala barangan BEKALAN akan berfaedah untuk kehidupan di sana. Kutiplah
bekalan sebanyak mungkin dan hindarkan memikul beban yang menyulitkan perjalanan.
Ingatlah: "Dunia ini sebagai tempat
bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di Akhirat nanti."
"Beramallah untuk dunia seolah-olah
kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu
akan mati keesokannya." - Hadith
Ramai mentafsirkan Hadith ini dari
segi keduniaan iaitu kerja bersungguh-sungguh kerana kita akan hidup lama
di dunia. Tetapi makna yang tersirat ialah kita hidup lama lagi di dunia
jadi kenapa nak bekerja beria-ia mencari pendapatan lebih sedangkan masa
banyak lagi. Tetapi dalam hal akhirat, kita akan mati esok - jadi terpaksalah
buat persiapan dengan lengkap dan berhati-hati kerana kita akan mati esok.
Tafsiran begini jarang diterangkan oleh umum terutama pemburu harta di
dunia.
Islam tidak menghalang umatnya mencari
harta-benda dan kekayaan; asalkan ia tidak menghalang dari melakukan pengabdian
kepada Allah. Malahan orang Islam yang kaya adalah amat diperlukan
kerana ia adalah sumber ekonomi negara dan sebagai juruwang bagi saudaranya
yang miskin dan memerlukan bantuan. Orang kaya adalah pembantu orang
msikin, orang kuat adalah pelindung golongan yang lemah, orang alim sebagai
sumber cahaya dan ilmu kepada orang jahil. Begitulah golongan ini saling
bantu-membantu antara satu dengan lain. Apa yang Islam larang ialah
meletakkan keduniaan sebagai sasaran utama dalam hidup melebihi hal-hal
keakhiratan dan pengabdian kepada Allah. Sekiranya keduniaan diberikan
keutamaan dalam hidup bererti konsep syahadahnya terjejas. Intipati syahadah
ialah mengaku dengan sebenar-benar pengakuan bahawa Tiada lain yang lebih
besar selain Allah dan pengakuan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah.
Ini bererti tumpuan pengabdian hakiki ialah Allah dan BUKANNYA harta-benda
dunia. Jika kekayaan dunia dijadikan asas hidup berertilah kita telah membesarkan
dunia daripada Allah sendiri; atau dalam kata-kata lain kita bertuhankan
harta bukannya Allah. Di sinilah terpesongnya aqidah orang-orang kebendaan.
Sangat beruntunglah mereka yang mempunyai
harta kekayaan yang menjadikannya sebagai modal untuk akhirat. Wang ringgit
dipertaruhkan sebagai saham akhirat dengan bersedekah, mendirikan masjid,
membantu fakir miskin dan anak yatim, menyelesaikan masalah dan keperluan
jiran dan masyarakat sekeliling. Mereka inilah yang berjaya menukar harta
menjadikan sebagai pahala atau membeli akhirat dengan dunia. Sebaliknya
amat rugi mereka yang mempunyai wang ringgit dan harta kekayaan tetapi
membelanjakan untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah
untuk akhiratnya; atau lebih dahsyat jika digunakan untuk kerja-kerja maksiat
dan hiburan semata. Di akhirat akan ditanya Allah ke mana wang ringgit
kita dibelanjakan dengan begitu halus dan tereperinci.
Dalam Al-Quran banyak sekali ayat
yang menjelaskan bahawa kehidupan akhirat adalah lebih penting dan lebih
kekal. Oleh itu sayugia bagi kita melebihkan kehidupan akhirat daripada
dunia. Kehidupan di dunia hanya dalam tempoh terhad; jarang-jarang melebihi
90 tahun; tetapi akhirat tiada batasan waktu. Sudahlah begitu diriwayatkan
satu hari di akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Jadi berapalah nilai
umur dunia dibandingkah akhirat? Orang yang bijak tentunya berpandangan
jauh iaitu untuk kehidupan akhirat. Ada di antara orang-orang alim dan
para wali sangat mengambil berat tentang pengisian waktu dengan ibadat.
Mereka tidak rela membuang masa begitu sahaja. Setiap saat bagi mereka
adalah berharga dan mesti diisi dengan sesuatu ibadat supaya tidak terbuang
begitu saja. Bagi mereka, setiap nafas yang turun naik akan dipersoalkan.
Pada sebelah malam, mereka menggunakan masa untuk beribadat. Masa
tidur mereka amat sedikit.
Sebaliknya mereka yang asyik mengumpul
harta dunia untuk dunia adalah berfikiran sempit kerana tidak menjangkau
alam abadi di akhirat. Ahli dunia saban masa memikirkan bagaimana nak mengumpul
harta benda hingga menjadi kaya. Walaupun sudah kaya, mereka masih berusaha
lagi supaya menjadi bertambah kaya; tanpa sedikit pun memikirkan bagaimana
harta yang ada pada mereka hendak diinfaqkan di jalan Allah supaya hasilnya
dapat dituai di akhirat kelak. Orang kaya begini pada hakikatnya
adalah miskin kerana masih banyak memerlukan sesuatu.
Semasa perjalanan Israk Mikraj, Allah
menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru
lepas ditanam, terus berbuah dan dituai; begitulah seterusnya. Inilah ibarat
orang yang membuat kebajikan sentiasa tak putus-putus menerima ganjaran
pahala yang banyak di sisi Allah. Balasan pahala ini akan dinikmati kebahagiaannya
di akhirat kelak.
Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang
raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz.
Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima
hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu
bertanya kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak
lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir." Raja tercengang dan
berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau
piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati menjadi
susah atas bala yang menimpa. Kalau ia dicuri orang, tuanku akan bersedih
atas kehilangan itu dan berasa seperti fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat
piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini,
tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa
amat sedih." Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah
berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala
itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya.
Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak
memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan
dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali
berjumpa Allah.
Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah
mempunyai pendirian berkaitan dengan penumpukan harta kekayaan. Yang lebih
penting bagi kita ialah adakah kita akan diterima oleh Allah di akhirat
kelak sebagai hambaNya yang soleh. Begitu juga adakah Nabi Muhammad saw
akan mengaku atau mengiktiraf kita sebagai umatnya. Jika Allah tak mengaku
hambaNya dan Nabi Muhammad saw tak mengaku kita sebagai umatnya, ke mana
lagi kita nak pergi ketika itu? Ke mana tempat kita nak mengadu nasib?
Di dunia bolehlah meminta bantuan dari kaum kerabat dan sebagainya tetapi
di akhirat siapa lagi selain Allah dan rasulnya.. Akhirnya sama-sama kita
meminta taufiq dan hidayat semoga kita berada di landasan sebenar sebelum
kita dipanggil oleh Allah. Kita pohonkan keselamatan dan taubat di atas
dosa-dosa kita dan mudahan kita kembali menemuiNya dalam keadaan Allah
meredhai kita, insyaallah.. |