Seorang pemuda sedang dalam
satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat
di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ.
Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang
kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak
berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan
habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda
yang memakan tanamannya.
Apabila terjaga dari tidur, pemuda
itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia
ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu,
dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah
rumah berhampiran. Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun
dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh.
Peristiwa itu diketahui orangramai.
Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas,
bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan
sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5.00 keesokan petangnya.
Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk
menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.
Khalifah tidak meluluskan rayuan
pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil
menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti dibereskan sebelum dia
dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai.
Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan
pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima
hukuman mati.
Berkali-kali pemuda itu merayu dan
bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda
simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan
kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke
rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat
Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin
tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang
membahayakan diri sendiri.
Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan
dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian
ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang
semula untuk dipancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham kegagalan
pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai. Ketika
ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan
membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu
melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing
itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah
sementara Abu Zar pula dikurung di penjara.
Pada keesokan petangnya, penuh sesak
manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan.
Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu
tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan
berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum
tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan
diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.
Di saat terakhir, orangramai melihat
kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali.
Ketika itu riak cemas orangramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana
dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas turun
di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan
suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai
lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan.
Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana
terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak
yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya.
Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk
mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai
tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika
pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara
yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan
pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan
terus sujud tanda syukur kepada Allah.