Bercakap fasal iman,
saban tahun kita mendengar peristiwa 'israk dan mikraj' khususnya tentang
kehebatan iman Masyita, tukang sisir rambut anak Firaun.
Firaun menjadi sombong dan angkuh
kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat
Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan memusuhi sesiapa
saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka
yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.
Masyita walaupun bekerja di istana
Firaun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang
Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi
ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan
ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.
Pada suatu hari, sedang dia menyisir
rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata
"Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap
bapanya, dia berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah
tuhan lain selain bapaku?"
"Memang benar! Tuhanku dan tuhan
bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah.
"Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyita bertegas
dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku
bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."
Sebaik saja Firaun diberitahu oleh
anaknya tentang Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya
sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan
Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya
sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya.
Keesokannya keluarga Masyita dibawa
ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi
dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga
Masyita termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya
Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur
meskipun berhadapan dengan ancaman maut.
Melihatkan iman Masyita yang tidak
berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang
demi seorang ke dalam kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya
yang kecil, perasaan Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak
sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang
membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan
dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya
yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan!
Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling
terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata.
Mendengar kata-kata anaknya itu,
Masyita menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk
dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan
anak Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa
ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.
Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan
kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun.
Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam
dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj,
Nabi sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan
bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.
Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak
dan mengaku kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak
sebagai superman yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk
itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!