|
AKHIRAT
JUA YANG ABADI
"
Hidup di dunia adalah tumpangan sementara
waktu saja. Lepas itu kita akan menginap di satu tempat yang kekal
di akhirat iaitu syurga atau neraka.
Di dunia, kita ditugaskan mencari
seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang.
Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan
di dunia - sementara dan palsu.
Perlulah kita fahami bahawa kesenangan
di dunia bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi
bala, sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan
pula. Dunia adalah tempat kita ditipu dan menipukan.
Akhirat sahaja tempat yang kekal
di mana kesenangannya adalah mutlak 100% dan kesusahannya juga 100%.
Menyedari hakikat ini, perlulah kita menyediakan perbekalan untuk satu
perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan
kita.
Dalam menjalani kehidupan seharian,
kita sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran
itu Allah seringkali memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa
akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa'. Notis demi notis dikenakan
ke atas diri kita, tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa
dan gembira malah semakin besar tawanya. Kalau TEN memberi notis pemotongan
elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi bila Allah menghantar notis,
kita buat acuh-tak-acuh saja.
Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat
supaya segera memberitaunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan
diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitaunya
lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar
peringatan demi peringatan.
Di antara peringatan (notis) yang
dihantar oleh Allah ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih,
gigi menjadi rongak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang,
badan segar menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin
kendur dan sebagainya.
Ada 3 kategori manusia dalam menghadapi
kematian:
Pertama : Bila teringat akan mati,
terasa lapang hatinya. Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori
ini ialah mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya terhadap
Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah.
Ini ialah maqam tertinggi yang dimiliki oleh para wali.
Kedua: Apabila teringat mati, hatinya
menjadi takut, kecut dan gementar. Mereka ialah orang-orang kafir yang
tidak sanggup berjumpa dengan Allah. Mereka seumpama binatang-binatang
liar kepunyaan seseorang. Apabila tuannya hendak mengambilnya, dia cuba
melarikan diri tetapi dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat
menghinakan.
Ketiga: Golongan ini merasa dukacita
dan takut terhadap kematian. Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa
sukacita. Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke
dunia semula. Mereka telah dapat mengecapi dan menikmati alam yang lebih
kekal dan lebih baik daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan
kesengsaraan. Golongan ini ibarat seorang bayi yang baru lahir dari perut
ibunya. Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka hidup di
dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi apabila
telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut ibunya
meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah
orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin
biasa.
Marilah kita berlumba-lumba mencari
bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan
dunia sehingga terlupa pertemuan kita dengan Allah. Kematian hanya penghijrahan
atau perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal
abadi. Allah telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia
sebagai cemeti untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu
akan menemui kita. Wallahu 'Alam.
|