KEAGUNGAN
ALLAH
MELALUI
MUSYAHADAH
"
Alhamdulillah dengan izin Allah dapat
saya kembali mengisi ruangan Tazkirah kali ini. Saban hari kita menyebut
Allahu Akbar (Allah Maha Besar) pada setiap kali kita mendirikan solat.
Malangnya kebesaran Allah masih belum meresap dan menyelera di dalam jiwa
sanubari kita.
Intipati atau ciri-ciri keimanan
ialah merasakan kebesaran dan keagungan Allah di dalam diri setiap masa
dan ketika dalam semua keadaan. Pendek kata tebal atau nipisnya iman seseorang
bergantung kepada bagaimana dia merasakan kebesaran Allah di dalam hatinya.
Keyakinan dan keimanan terhadap Allah menjadi pendorong untuk melakukan
ibadat sebagai pengabdian diri kepada-Nya.
Allah menjadikan, memiliki dan memerintah
sekalian alam ini. Malahan diri kita juga adalah kepunyaanNya. Oleh itu
semestinyalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta sentiasa meminta pertolongan
daripadaNya.
Allah berada di mana saja kita berada.
KekuasaanNya sangat hampir dengan diri kita malahan ia lebih hampir dengan
urat nyawa kita. Terlalu hampir Allah dengan kita sehinggakan kita tidak
merasakan kewujudanNya. Di sinilah letaknya kejahilan dan kecuaian yang
serius yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kesombongan dan keangkuhan menjadi
semakin teruk apabila kita bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan
kita menjadi semakin 'jauh' dengan Allah. Meskipun Allah sangat/terlalu
hampir tetapi dosa kita menjadi 'hijab' yang melindungkan kita dari merasakan
kebesaran dan kewujudan Allah Yang Maha Agung.
Hakikat ini kita boleh rasakan sendiri.
Orang lain tidak dapat menilai sejauh mana keakraban kita dengan Allah
yang mencipta kita. Cuma orang dapat melihat dan menilai diri kita secara
zahir. Jika kita taat kepada Allah dalam suruhan dan laranganNya bermakna
hubungannya rapat dengan Allah. Sebaliknya jika selalu melakukan maksiat
bererti dia jauh dengan Allah. Allah tidak suka kepada orang yang zalim
dan membuat maksiat. Dari segi batinnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Oleh sebab iman menjadi asas kepada
keislaman seseorang, perlulah kita mencari jalan untuk merasa dan menghayati
kemanisan iman. Kemanisan iman boleh diusahakan melalui dua jalan iaitu
musyahadah dan muraqabah.
Kesemua objek sama ada yang hidup
atau bukan hidup adalah ciptaan Allah. Ia menjadi bukti tentang wujudnya
Allah. Tanpa Allah, alam ini tidak akan wujud. Ia tidak akan jadi dengan
sendiri. Oleh itu untuk merasakan kehebatan Allah, perlulah kita menyendiri
sekali-sekala melihat keajaiban alam dan isinya. Betapa hebatnya Allah
menjadikan setiap sesuatu. Allah jadikan manusia pelbagai bangsa dan rupa.
Allah menjadikan organ-organ dalam diri kita dengan fungsi masing-masing.
Allah menjadikan haiwan pelbagai jenis. Allah menjadikan tumbuhan, ada
yang berbuah, berbunga, berduri serta berlainan jenis dan rasa. Demikian
juga Allah menjadikan siang dan malam serta cakrewala yang menjadi perhiasan
alam. Semua ini menjadi petanda kebesaran Allah yang menuntut kita memerhati
dan ber'musyahadah' untuk menguatkan keimanan kita terhadap Yang Maha Besar.
Kita lihat pula sifat setiap objek
tersebut. Ada yang manis, tawar, pahit, masin, jahat, baik, panjang, lebar,
licin, kesat, bulat, lonjong, berduri, berwarna-warni, kaya, miskin, hina,
mulia, gagah, lemah, dan lain-lain lagi yang tidak mungkin dapat kita catatkan
meskipun habis dakwat sebanyak air lautan digunakan. Duduklah sendirian
dan menungkan hakikat ini; insyallah kita akan merasakan betapa agung dan
hebatNya Allah yang menciptakan segala-galanya sama ada di langit, di bumi
dan di dalam lautan.
Kemudian kita lihat pula gelagat
manusia dengan pelbagai pekerjaannya. Ada yang bertukang, berlari, bermain,
memasak, menyapu, mencuri, menyamun, berenang dan sebagainya. Segala bentuk
perbuatan mereka adalah gerakan dari Allah. Namun kita tidak boleh sandarkan
perbuatan jahat mereka dari Allah kerana manusia diberikan pilihan untuk
melakukan yang baik atau jahat. Allah berikan akal kepada manusia untuk
mereka lakukan yang baik saja. Malang sekali jika setelah diberikan akal,
kita masih melakukan yang buruk dan dibenci oleh Allah.
Dengan musyahadah iaitu memikirkan
segala yang tersebut di atas, akan menambahkan keyakinan kita terhadap
Allah. Dialah yang mentadbir alam ini. Dia juga yang menghidup dan mematikan
manusia. Apa yang Allah kehendaki tetap berlaku meskipun dibenci oleh manusia.
Apa yang Allah tidak kehendaki tetap tidak akan berlaku meskipun semua
manusia ingin kepadanya. Ibarat ayam sereban kepunyaan kita, kita berhak
buat apa saja dan orang lain tidak boleh peduli sama ada kita hendak potong
atau terus memeliharanya. Begitulah Allah dengan makhluk ini. Dia boleh
melakukan apa saja terhadap kita dan manusia lain tidak berhak komplain
atas apa jua kehendak dan iradat Allah. Sebab itulah kita mesti berdoa
dan bertawakkal kepada Allah di samping berusaha mendekatkan diri kepadaNya.
Konsep 'Allah berserta kamu di mana
saja kamu berada' perlu dihayati serta diyakini setiap ketika. Kesedaran
tentang konsep ini akan membuat kita rajin beribadat dan takut membuat
maksiat. Inilah kunci atau intisari ilmu tauhid - pengesaan terhadap Allah
dalam perbuatan, sifat dan zatNya.
Menyorot sejarah Nabi Muhammad saw
beruzlah di Gua Hira' adalah menjadi satu bukti tentang perlunya kita bermusyahadah
dalam mencari sesuatu ketenangan dan kebenaran. Baginda dilantik sebagai
Rasul setelah menerima wahyu pertama di Gua tersebut.
Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur
satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat
1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai
dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor
utama dalam mencari kekuatan beribadat.
Proses musyahadah perlu dilakukan
secara konstan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar
di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak
ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang
di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.
Musyahadah menjadi satu daripada
beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa
lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan
ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci
melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka.
Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang
rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.
Di samping melakukan proses musyahadah,
kita perlu melakuakn muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah
dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah'
(hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia).
Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama
manusia.
Dalam hubungan ini, Allah sering
mengingatkan kita supaya berjalan/melawat di muka bumi Allah dengan niat
melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan
kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.
Semoga dengan coretan di atas dapat
menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah
diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi
orang yang soleh yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak. Amin ya Rabbal
Alamin. |