Dinukilkan dalam sebuah kitab,
seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata
fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira
menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya,
raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata,
"Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir."
Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu
berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah
tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas
bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan
itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala
ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini,
tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa
amat sedih."
Selang beberapa bulan, piala yang disayangi
raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan
piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya.
Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak
memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan
dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali
berjumpa Allah.