|
RAYA
SEBENAR RAYA
"
Sempena hari raya ini, marilah sama-sama
kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik,
berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad
saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada
5 keadaan:
1. Setiap hari ia berjalan
dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa,
itu ialah hari raya baginya.
2. Hari keluarnya dari dunia
dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan
3. Hari menyeberang Siratul
Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka
4. Hari kita masuk syurga
dengan selamat dan terlepas dari api neraka
5. Hari ia menatap wajah Allah
Ta'ala
Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya
bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia
tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah,
hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka,
masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang
dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha
sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi
larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya
hari yang harus dirayakan.
Saat menghembuskan nafas terakhir
dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari
raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut
adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang
amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan
oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang,
atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji.
Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut
Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan
melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan
ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli
maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat,
syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan
taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah
tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya
kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun
alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat.
Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya
bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.
Hari Raya seterusnya adalah hari
kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim.
Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap
individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala
perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam
dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat
menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng
dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan
betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat
lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas
dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.
Hari kita masuk syurga adalah hari
raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita
akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan.
Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka
yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang
besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka
beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya
hari raya bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan
orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan
yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan
syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.
Memandangkan kita belum pun menempuh
saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa
kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari
kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya
budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian,
tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.
Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung
bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan
hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.
Mudah-mudahan hariraya yang kita
hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga
ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim,
menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga
kelak. Amin..
|