|
SELAMAT
DATANG REJAB
"
Selamat Datang Rejab - bulan yang ditunggu-tunggu
oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan
rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan
Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Bahkan
dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw. bersabda bahawa Rejab ialah bulan
Allah, Sya'aban bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Gandingan 3 bulan
(Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat.
Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri. Kemuliaan Rejab kerana Israk
Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan
dengan Lalilatul Qadr.
Di antara rahmat Allah yang terbesar
dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap
amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang
ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar,
sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud,
solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar.
Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat
darjat di dalam syurga.
Banyak hadith yang disabdakan oleh
Nabi Muhammad saw berhubung fadhilat berpuasa dalm bulan Rejab. Di antaranya
: Puasa sehari dalam bulan Rejab diberi ganjaran syurga firdaus (tertinggi).
Puasa 3 hari menjadi benteng menghalang api neraka. Puasa 4 hari diafiatkan
dari bala' dan penyakit. Puasa 5 hari diamankan dari azab kubur. Puasa
6 hari - keluar dari kubur dengan muka yang bercahaya. Puasa 7 hari ditutup
7 pintu neraka. Puasa 8 hari dibuka 8 pintu syurga. Begitulah seterusnya
lebih banyak ganjaran diberi jika ditambah bilangan hari puasa dalam bulan
Rejab.
Selain berpuasa, umat Islam digalakkan
beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam
kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada
bulan-bulan lain. Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak.
Dinukilan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran
setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000
darjat dan dihapus 1000 kejahatan. Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad
saw bersabda bahawa sedekah pada bulan Rejab seperti ibadat 1000 haji dan
umrah, dibina 1000 mahligai di syurga dengan 1000 bilik dan 1000 bidadari.
Nah... untuk menghuraikan fadhilat
Rejab saja tak cukup rasanya dicatat dalam lembaran yang ringkas ini. Sungguh
banyak sekali hadith dan keterangan ulama' mengenai ganjaran dan kebesaran
Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi
sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang dari tawaran Allah
ini. Kalau Kompleks Membelibelah mengadakan tawaran istimewa atau jualan
murah, kita akan keluar berduyun-duyun seolah-olah berpesta untuk mendapatkan
barangan yang ditawarkan. Tetapi adakah begitu tindakikut kita apabila
Allah membuka tawaran yang Maha Hebat ini. Satu tawaran yang tiada tolok
bandingannya. Satu tawaran yang kekal abadi. Satu tawaran yang menjamin
kebahagiaan di dua alam - dunia dan akhirat. Realiti yang kita dapat lihat
ialah tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang
disinari dengan iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala
hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran
murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal.
Di sinilah ujian untuk menilai keimanan
kita terhadap perkara ghaib. Ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara
ghaib yang kita tidak nampak. Tetapi penuruan harga baju dari RM 90.00
ke RM 50.00 jelas dilihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara
yang nampak daripada yang ghaib, maka kita berusaha untuk memilih tawaran
dunia. Tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya untuk kita
laksanakan. Jadilah fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar
seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi
kesan di hati. Apabila sikap begini terserap di dalam hati, tidaklah
mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam al-Quran,
Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat,
ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan.
Allah Maha Melihat atas apa yang
kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha
Tahu atas apa yang kita lintaskan di hati. Allah memberi ganjaran atau
balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada
Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah
akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya
jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah
tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang,
diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana
kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan
ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya
terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman
sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia
bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama
saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.
Dalam konteks kelebihan Rejab ini,
puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa
diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan
mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang
yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang
tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna
syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh
pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat
istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih
mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini.
Sebagai penutupnya, kita seharusnya
memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap
tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran
keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan
dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan?
Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan
tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak
dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil
untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat. Harapan kita biarlah
kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha
ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan
ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban
dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam
bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat
keredhaan Allah. AMIN!
|