|
JALAN
KE SYURGA PENUH DURI
"
Perjalanan ke syurga dilingkungi
dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan
syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan
yang ditempuhi oleh manusia.
Syurga ialah tempat kenikmatan dan
kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal
soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal
tholeh (kejahatan).
Untuk melayakkan diri ke syurga,
seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan
Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat
dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk
mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali
bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga
penuh dengan kesusahan.
Bukan mudah untuk masuk ke syurga.
Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan.
Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan
kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu
kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.
Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah
kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung
mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia
mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.
Nah, di depan kita terbentang dua
jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan
iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.
Betapa tak susah masuk syurga? Dalam
satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu.
Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya
binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak
berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja
berjaya sampai ke mercu.
Kebahagiaan di dunia belum menjadi
pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan
yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.
Semua manusia inginkan hidup senang.
Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi.
Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang
bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan
dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.
Syaitan selalu membisikkan kepada
kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira
apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala.
Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih
beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti
ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan.
Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.
Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan
sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati
kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal.
Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya
Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya
kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.
Bagaimana kita mahu mendabik dada
tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh
kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh.
Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat.
Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan
yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.
Kesimpulannya kita terpaksa mengharung
kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal
akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan
darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat.
Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan
dan cabaran.
Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw
"Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi
dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana
itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana
itu jalan ke neraka. Wallahu 'Alam. .
|