|
LELAKI
PEMIMPIN WANITA
"
Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada
kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum
perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah
yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.
Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan
ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki
yang menjadi ketua sesebuah keluarga.
Pengaruh barat yang menular ke negara
Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya
diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita
yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami
kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh
orang gaji.
Apabila ramai wanita sudah memandang
tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi
keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang
ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu
badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak
membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi
anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya.
Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.
Walaupun kesilapan ini seolah-olah
berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki
yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya.
Kegagalan mentarbiah anak dan isteri
menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di
mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan
gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan
perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis,
askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya
satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan
lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan.
Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar
lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran
tenaga kerja.
Penglibatan wanita yang ramai di
dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan
kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita
bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang.
Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah
pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi.
Walaupun banyak faktor dikaitkan
dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang
jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki
sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya
kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai
ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita
amnya. Wallahualam.
|