Seorang tabib dihantar
oleh penguasa Mesir ke Medinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan.
Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang
datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan
kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Medinah.
Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad
saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, "Adakah penduduk sini
takut untuk berjumpa tabib?" Nabi menjawab "Tidak! Dengan musuh mereka
tidak takut, apatah lagi dengan tabib." Tabib bertanya lagi, "Tapi mengapa
sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?"
Nabi menjelaskan "Sebab penduduk Medinah tidak ada yang sakit." Tabib itu
kurang mempercayai Nabi dan berkata, "Masakan tidak ada satu orang pun
yang sakit." Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib
itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah
ke pelusuk Medinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau
seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
Didorong oleh perasaan ingintahu
dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata,
"Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk
Medinah sihat-sihat belaka?" Nabi menerangkan, "Kami adalah satu
kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami
tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah
makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah
bukan sekadar memuaskan hawa nafsu."