|
AL-QURAN
PENYEMBUH PENYAKIT
"
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah
swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita berjumpa di alam siber - satu
alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik internet. Rencana
atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber rawatan di tengah-tengah
kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa ini.
Isi kandungan tazkirah ini bukanlah
berdasarkan pendapat sendiri malahan saya petik dari pelbagai sumber termasuk
Al-Quran, Hadith serta kita-kitab ulamak serta petikan kuliyah yang dihadiri.
Dalam Islam sebenarnya sudah tercerna lengkap dengan pelbagai rumusan dan
cara rawatan bagi mengatasi masalah kegawatan jiwa dan sebagainya. Ini
tidak didapati dalam agama-agama lain yang sibuk bertungkus lumus mencipta
teori dan ism untuk mengubat jiwa seperti kaedah yoga, menelan pil, dadah,
menonton wayang/tv/video, berkreasi di hutan lipur, memanjat gunung, mengadakan
konsert dan pelbagai aktiviti rakan dsb; padahal itu hanya menyesat dan
menambahkan kerosakan jiwa yang lebih gawat.
Jalan keluar bagi semua kekalutan
ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari awal hingga akhir
dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang berpegang dengan
2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya. Kedua-dua
sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith.
Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah
alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang mampu menggilap semula jiwa
manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah. Inilah ubat yang
hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga mereka
mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan kemanusiaan
itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya.
Tazkirah kali ini akan memfokuskan
tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri) supaya bermuzakarah
dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang mampu merubah
atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
dan rasulNya.
Kepentingan Al-Quran:
-
"Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti
berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya bagaimana untuk mensucikannya,
ya Rasulullah? Baginda menjawab, dengan membaca Al-Quran dan mengingati
mati." - Hadith
-
"Yang terbaik di antara kamu ialah mereka
yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." - Hadith
-
"Ahli Quran ialah Ahlullah"
-
"Bacalah Al-Quran. Kamu diberi pahala
dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." - Ibnu Mas'ud
-
"Tiap-tiap ayat di dalam Al-Quran adalah
satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu." - Amr ibnul
'As
-
"Rumah yang dibacakan Al-Quran nescaya
lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah
syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran, sempitlah penghuninya,
sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan" - Abu Hurairah
Zaman ini, hati manusia sentiasa terdedah
dengan kekotoran disebabkan maksiat yang dilakukan. Setiap maksiat membawa
kepada dosa dan setiap dosa akan menambah setompok titik hitam di dalam
hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar melihat jalan kebenaran.
Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian besar hati, maka
yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah (bathil)
dipandang sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah tidak
berfungsi lagi. Syaitan bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana
saja yang dihajatinya. Hati kita juga tidak terlepas daripada kekotoran
ini dan memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk berdepan dengan malaikat
Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan dengan Allah Rabbul-Jalil
di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan membaca
Al-Quran.
Islam dari dulu lagi menganjurkan
umatnya supaya membaca Al-Quran, menganalisa atau meneliti kandungannya
serta mengamalkan apa yang dibaca. Generasi awal sungguh gemar dan giat
membaca, malah ada yang mengkhatamkan 30 Juz Al-Quran setiap hari, seminggu
sekali atau sebulan 2 atau 3 kali. Sungguhpun begitu mereka tetap bergiat
dengan kerja-kerja dunia serta maju di dalam pelbagai bidang kehidupan.
Musuh Islam memandang potensi yang ada di dalam Al-Quran dan cuba menghalang
umat Islam daripada membacanya. Lantas direka pelbagai cara media massa
(audio dan video) untuk melalaikan mereka. Akhbar, majalah hiburan, radio,
televisyen, video, filem, komputer dan akhir-akhir ini internet direka
dan dieksploit untuk merosakkan budaya Islamik yang diterapkan oleh Al-Quran.
Ternyata strategi mereka mengena. Akhir-akhir ini kita lihat umat Islam
dilekakan dengan TV, radio, komputer, tayangan gambar, majalah hiburan
dan sebagainya. Umat Islam semakin renggang dengan Al-Quran. Akhbar harian
menjadi ketagihan. Mereka mampu membaca akhbar dari kulit ke kulit dua
hingga tiga kali sehari tapi tidak mampu membaca walaupun sehelai atau
satu ayat daripada Al-Quran. Mereka mampu duduk berjam-jam di depan set
TV tapi tak mampu menghadap tok guru mengajar Al-Quran. Inilah penyakit
masyarakat Islam hari ini.
Kita perlu kembali kepada Al-Quran
dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak mampu membaca huruf
Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini
yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan
Al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan
Jawi tapi malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh
seorang 'talibarut' musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca
kita-kitab lama yang bertulisan Jawi. Malang sekali disebabkan tidak mengenal
huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan dipermusuhi.
Ada beberapa perkara yang harus diperhati
semasa membaca Al-Quran. Di antaranya:
-
suci dari hadas (besar atau kecil)
-
duduk menghadap kiblat
-
dibaca dengan tertib, tartil dan bertajwid
-
memelihara hak-hak ayat
-
disunatkan menangis semasa membaca terutama
apabila sampai ayat ancaman dan amaran
-
dinyaringkan supaya sekurang-kurangnya
kedengaran oleh dirinya sendiri
Antara amalan-amalan batin yang perlu
diperhatikan:
-
merasakan keagungan Al-Quran dan memikirkan
maknanya satu persatu
-
menghadirkan kebesaran Allah di dalam
hati
-
khusyuk semasa membaca
-
fahamkan makna yang dibaca
-
berfikiran tenang
Di samping itu, jika dapat jadikan wirid
harian/mingguan membaca surah-surah utama seperti Surah Yasin, Al-Mulk,
Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya.
Apa yang istimewa dalam tilawah ialah
sungguhpun berulang-ulang kali dibaca ayat-ayatnya, seseorang tidak berasa
jemu malahan semakin terasa akan kehebatan dan kelazatannya seolah-olah
sedang berkomunikasi dengan Allah. Amat benarlah firman Allah "Sesungguhnya
orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah hatinya
menjadi takut gementar dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah,
bertambahlah keimanannya dan mereka bertawakkal kepada Allah."
Pada peringkat permulaan mungkin
agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Sungguhpun begitu
jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang tua-tua 'kalau
tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit
demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan
untuk membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan
Allah. Hati akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya
melalui kaset-kaset atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan
dalam internet terdapat banyak tapak yang menyediakan ruangan Al-Quran
secara audio. Mendengar Al-Quran juga diberikan pahala kerana Nabi
saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab Allah
(Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat."
Marilah sama-sama kita mengubah cara
hidup kita yang berhobikan hiburan dan material semata-mata kepada hobi
mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca akhbar dan gantikan
masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah matikan kita
di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih
basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amin. |