JAUH
DENGAN MANUSIA
DEKAT
DENGAN ALLAH
"
Masa berlalu dengan cepat meninggalkan
kita. 40 atau 50 tahun yang lalu kita seorang bayi yang tidak tahu apa-apa
kecuali tangisan. 15 atau 20 tahun selepas itu kita serong remaja yang
mempunyai ramai kenalan dan sahabat handai. Kemudian kita menjadi dewasa
menempuh banyak pengalaman pahit manis. Dan akhirnya kita menjadi seorang
tua yang sudah lemah anggota dan tidak setampan atau secantik dulu. Ketika
itu orang ramai sudah menjauhkan diri dari kita, bahkan anak-anak kadangkala
tidak suka bergaul atau melayan kita seperti biasa.
Inilah hakikat hidup yang dikatakan
tipu daya. Tidak ada yang kekal. Paras yang handsome tak kekal lama, akhirnya
berkedut. Gigi yang penuh dan putih berseri lama-kelamaan mula rapuh dan
rongak, rambut hitam yang segar kini menjadi putih dan lesu, deria telinga
yang tajam mula berkurangan. Begitu juga tubuh yang tampan dah mula
lemah dan berpenyakit. Ingatlah amaran Allah telah tiba - bahawa dunia
akan meninggalkan kita dan kita sedang menuju alam lain iaitu alam kubur
(barzakh) dan kemudian ke alam akhirat yang abadi. Di alam inilah kita
akan hidup selama-lamanya. Kita akan tinggal di syurga atau neraka, bergantung
kepada amalan semasa hidup di dunia.
Allah bersifat dengan Rahman (Pengasih
kepada semua) dan Rahim (Penyayang khusus kepada orang mukmin). Semasa
peringkat bayi, Allah tugaskan kepada ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan
kita. Mereka mengasuh dan mendidik serta mentarbiah dengan akhlak dan agama.
Semasa remaja, kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi melalui usaha
mereka dan juga masyarakat keliling. Ketika dewasa, kita pula menjadi pembimbing
kepada anak cucu serta orang-orang lain. Ibarat pokok asalnya benih disirami
air, kemudian membesar mengeluarkan bunga dan akhirnya mengeluarkan buah
untuk dimakan oleh manusia dan haiwan.
Tetapi apabila kita sudah tua dan
tidak bermaya lagi, kita tidak begitu diperlukan. Kita mula disisih dari
orangramai. Pergerakan kita terhad. Minda kita mula merosot. Ingatan sudah
tidak begitu kuat. Kesihatan kita makin terjejas. Apakah ini menjadi tanda
bahawa Allah sudah tidak menyayangi kita lagi? Tidak sekali-kali! Malahan
kesayangan Allah tetap sama. Apabila Allah renggangkan manusia daripada
kita, itu bermakna Allah hendakkan kita mendampingi diriNya. Supaya hati
kita bertambah tertambat dan lebih bertawakkal kepadaNya saja. Penyerahan
diri hanya kepada Allah apabila manusia sudah mula renggang dari kita.
Masa tua kita banyak menyendiri dan tidak disibukkan dengan pelbagai urusan
dunia. Jadi amatlah sesuai untuk kita melipatgandakan amalan sambil bertafakkur,
berzikir dan muhasabah diri tentang amalan yang kita buat selama ini. Kita
punya masa yang banyak untuk koreksi diri dan bertaubat. Selagi nyawa belum
sampai di khalqum (ghargharah), pintu taubat masih terbuka buat kita.
Amalan kita yang biasa kita lakukan
semasa muda atau ketika sihat, walaupun sudah tidak mampu dilakukan lagi
kerana sudah uzur, namun pahalanya tetap kita perolehi meskipun kita tidak
lakukan. Contohnya semasa muda, sudah menjadi amalan atau budaya
untuk bersolat jemaah atau menghadiri majlis ilmu di masjid. Tetapi apakan
daya amalan itu tidak dapat dilakukan lagi semasa tua. Sungguhpun begitu
pahala amalannya itu terus diperolehi walaupun kita tidak membuatnya.
Nabi Muhammad saw pernah berpesan
supaya kita merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Di antaranya ialah
beramal ketika muda sebelum datang masa tua. Masa muda ialah masa yang
amat baik untuk beramal kerana ketika itu badan dan jiwa kita masih kuat.
Jadi apabila sudah tua, amal yang kita buat akan terus mengalir walaupun
kita tidak membuatnya. Masa muda ibarat masa menanam dan tua ialah masa
untuk kita tuai hasilnya.
Meskipun demikian kita seharusnya
berdoa supaya tidak menjadi seorang tua yang tidak sedarkan diri. Semakin
tua semakin menjadi. Umur sudah menjangkau 50 tapi masih merasakan seolah-olah
masih remaja. Usia sudah tua tapi berperangai macam orang muda. Inilah
yang kita takuti kerana hati kita mudah terbalik. Nabi pernah bersabda
sekiranya umur sudah mencapai 2/3 (40 tahun) tetapi amal kejahatan lebih
banyak daripada kebajikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal)
untuk menempah tempat di neraka. Kita juga seharusnya berdoa supaya umur
kita tidak terlalu panjang sehingga menjadi nyanyuk dan kembali seperti
perangai bayi yang tidak dapat membezakan sesuatu.
"Ya Allah, kami memohon kepadaMu
supaya hidupkan kami sekiranya ia baik bagi kami. Dan Engkau matikanlah
kami sekiranya ia baik bagi kami. Janganlah Engkau tarik hidayah yang telah
Engkau berikan kepada kami. Ampunilah kami di atas kelemahan kami, sesungguhnya
Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, matikanlah kami dalam
husnul-khatimah dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan suul-khatimah.
Akhirkanlah lisan kami dengan kalimah Lailahaillah, semoga Engkau masukkan
kami di dalam golongan Abrar. Sepeninggalan kami kelak, ya Allah Engkau
jadikanlah anak cucu kami sebagai pewaris Nabi yang menegakkan kalimah
dan agamaMu di saat mana manusia telah banyak melupakanMu. Akhirnya Ya
Allah, berkatilah saki baki umur kami yang tinggal sedikit ini untuk berbakti
kepadaMu dan Engkau redhailah kami menjadi hambaMu. Amin ya Rabbal Alamin...
12
Rejab 1420 |