Penulisan Kritis dan Analitis Bagi Disertasi dan Laporan Penyelidikan - Tugasan 4


KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN

KEBERKESANAN KURSUS DALAM PERKHIDMATAN

GURU-GURU SEKOLAH MENENGAH






Pendahuluan

Setiap orang pekerja; walau apa pun jenis pekerjaan yang dilakukannya, memerlukan latihan yang berkaitan dengan bidang kerjaya masing-masing. Bagi sesetengah jenis pekerjaan, latihan awal memang telah diberikan kepada semua bakal pekerja--di pusat-pusat latihan yang tertentu, sebelum mereka diambil bekerja. Namun begitu, kadang-kala, kemahiran yang diperolehi daripada latihan pra-pekerjaan yang diikuti belum cukup untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang sering mereka dihadapi dalam situasi kerja se benar. Oleh yang demikian beberapa siri latihan tambahan yang berkaitan dengan kerja yang akan dilakukan adalah diperlukan oleh pekerja-pekerja dari masa ke masa sepanjang kerjaya mereka.

Kepada pekerja baru, latihan tambahan ini akan menyediakan pendedahan kepada suasana kerja se benar yang perlu dilakukan dan kepada pekerja lama, latihan tambahan ini akan menyediakan peluang untuk mereka menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran baru yang berkaitan dengan kerja mereka bagi meningkatkan lagi mutu kerja daripada yang sedia ada (Spector, 1996, h. 164).

Latihan tambahan juga akan menjadi penting bila terdapat perubahan yang berlaku kepada suasana kerja itu. Oleh itu, latihan tambahan yang diberikan haruslah berkesan dan berfaedah supaya dapat membantu pekerja-pekerja mengatasi masalah-masalah yang mereka dihadapi dalam melaksanakan kerja-kerja pada persekitaran suasana yang baru itu.

Pernyataan Masalah

Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah dilancarkan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1988 bagi menggantikan kurikulum lama yang ada pada masa itu. KBSM adalah suatu inovasi yang dilakukan dalam pendidikan yang berteraskan kepada konsep kesepaduan--jasmani, emosi, rohani dan intelek, bagi mencapai hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Tujuan kesepaduan dalam KBSM ialah untuk mendidik pelajar dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, amalan, nilai-nilai murni dan penggunaan Bahasa Malaysia yang baik (KPM, 1990, h. 325). Kesepaduan dalam KBSM diharap akan dapat dilaksanakan dalam bilik darjah melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terancang. Untuk menjayakan perlaksanaan tujuan kesepaduan ini, guru hendaklah memainkan peranan bagi menyampaikan pengetahuan, membimbing dan membentuk akhlak yang mulia dalam diri pelajar.

Walau bagaimana beberapa masalah--memahami sukatan dan huraian sukatan pelajaran, memilih isi kandungan, merancang kaedah, menyediakan alat bantu mengajar, menerapkan nilai murni dan menyediakan rancangan pengajaran, masih wujud di kalangan guru-guru yang sedang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran KBSM.

Di samping perubahan kurikulum, prestasi pelajar yang rendah dalam beberapa mata pelajaran seperti matematik, sains dan bahasa Inggeris berbanding dengan mata pelajaran lain; terutama di peringkat menengah atas, telah menjadi suatu isu pendidikan yang harus ditangani. Pencapaian prestasi yang rendah ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang antaranya ialah kegagalan guru-guru melaksanakan pengajaran dengan berkesan, yang menyebabkan pelajar menjadi kurang berminat dalam pelajaran dan seterusnya akan menghadapi masalah untuk memahami konsep-konsep yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar.

Beberapa usaha sedang giat dilakukan untuk menangani permasalahan ini, antaranya ialah dengan menggubal semula program latihan perguruan yang perlu diberikan kepada bakal-bakal guru yang akan mengajar mata pelajaran-mata pelajaran KBSM tersebut. Pendedahan kepada maklumat-maklumat terkini yang berkaitan dengan perkembangan dalam pendidikan, telah dan akan terus diberikan kepada guru-guru yang sedang menjalani latihan. Walau bagaimana pun, perkara yang sama, perlu juga diberikan kepada guru-guru yang sedang bertugas di sekolah pada masa ini.

Oleh kerana kebanyakan guru yang mengajar di peringkat menengah atas ini adalah terdiri daripada guru-guru yang telah lama meninggalkan tempat latihan masing-masing, maka kebanyakan mereka kurang terdedah kepada perkembangan-perkembangan baru yang berlaku berkaitan dengan isu pendidikan semasa berbanding ketika mereka masih dalam latihan. Mereka ini telah mengajar tahun demi tahun dengan menggunakan kaedah-kaedah yang sama sehinggakan amalan pengajaran tersebut telah menjadi sebati dalam diri masing-masing tanpa mempedulikan kepada perubahan-perubahan yang berlaku. Maka, tidak hairanlah jika keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh sekolah masing-masing pada setiap tahun tidak menunjukkan perubahan yang ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, walau pun kelompok pelajar yang diajar sentiasa bertukar ganti.

Antara kaedah yang sering digunakan untuk menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada guru-guru yang sedang mengajar di sekolah adalah menerusi kursus dalam perkhidmatan. Kursus-kursus ini dianjurkan oleh berbagai pihak berkuasa pendidikan: di peringkat sekolah, daerah dan negeri, sepanjang tahun. Dengan adanya kursus dalam perkhidmatan ini adalah diharapkan guru-guru yang menghadirinya akan dapat merenung kembali dan membuat refleksi terhadap amalan pengajaran mereka. Di samping itu guru-guru akan berpeluang untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran baru bagi membantu mereka memperbaiki sebarang kelemahan yang wujud dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran yang berkaitan. Seterusnya keberkesanan kursus-kursus ini akan digambarkan melalui kebolehan guru-guru mengatasi masalah pengajaran yang dihadapi dan peningkatan prestasi dan minat pelajar seperti yang diharapkan.

Kursus Dalam Perkhidmatan

Walau pun pekerja yang diambil bekerja dalam sesuatu organisasi itu mempunyai kelulusan tertentu bersesuaian dengan keperluan kerja mereka namun, latihan tambahan tetap diperlukan semasa mereka sedang bekerja untuk membolehkan mereka melakukan kerja-kerja dengan lebih baik. Kursus dalam perkhidmatan: merupakan suatu bentuk program latihan tambahan yang diberikan kepada pekerja-pekerja yang sedang berkhidmat dengan se sebuah organisasi, sama ada di sektor awam atau pun swasta, besar atau kecil. Program latihan tambahan ini adalah sebahagian dari agenda rasmi se sebuah organisasi dan adalah menjadi kemestian kepada semua pekerja untuk menghadirinya pada masa-masa tertentu, mengikut keperluan, sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Pada tahun 1991, sektor swasta di Amerika Syarikat telah membelanjakan $43.2 bilion untuk menyediakan 1.2 juta bilion masa latihan kepada 36.8 juta pekerja (Smither, 1994, h. 130). Ini menggambarkan betapa penting latihan dalam perkhidmatan kepada pemilik se sebuah organisasi untuk membantu pekerja mereka menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi berkaitan dengan kerja masing-masing.

Dalam perkhidmatan pendidikan, semua bakal guru yang terlatih telah mengikuti latihan perguruan semasa mereka berada di maktab atau universiti. Tetapi bukan semua teori dan praktik yang dipelajari semasa dalam latihan awal mencukupi untuk mereka gunakan sebagai bekalan bagi menjalankan tugas-tugas sebagai seorang guru dengan berkesan. Perubahan yang berlaku dalam kurikulum dan timbulnya isu-isu pendidikan semasa menyebabkan guru-guru akan menghadapi masalah tertentu untuk melaksanakan tugas mereka.

Bagi mempertingkatkan keupayaan guru-guru, kursus dalam perkhidmatan perlu diadakan dari masa ke masa mengikut keperluan dan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan itu sendiri agar guru-guru sentiasa mempunyai maklumat terkini mengenainya. Dengan adanya kursus dalam perkhidmatan yang berterusan ini diharapkan guru-guru akan sentiasa berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan proses pengajaran di bilik darjah dan juga bersedia untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan pendidikan yang diperkenalkan dari masa ke masa.

Secara kasar tidak terdapat sebarang perubahan dari segi tugas guru yang utama; iaitu mengajar, tetapi apa yang perlu diajarkan sudah tidak lagi sama seperti dahulu. Pengalaman guru, pelajar dan persepsi masyarakat terhadap pendidikan juga telah berubah selari dengan perubahan masa. Dengan perlaksanaan KBSM, berbagai kaedah baru untuk mengajar telah dicadangkan seperti kaedah binaan, kaedah interaktif, pembelajaran koperatif. Penggunaan teknologi canggih--komputer dan internet, dalam pendidikan juga sukar dielakkan dan hasil dari kemajuan teknologi maklumat ini cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan juga turut berubah. Tugas guru sekarang bukan sahaja sebagai instruktor--menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga sebagai fasilitator--membantu pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan.

Semua perubahan di atas telah menyebabkan guru-guru menghadapi berbagai masalah untuk melaksanakan tugasnya, walau pun masalah yang dihadapi itu pada tahap yang berbeza-beza antara guru. Untuk mengatasi masalah-masalah semasa yang timbul di samping meneruskan tugas guru dengan berkesan, mereka memerlukan kepada kursus dalam perkhidmatan.

Secara amnya latihan tambahan atau kursus dalam perkhidmatan--dalam bidang pendidikan--merupakan aktiviti-aktiviti yang diikuti oleh mereka-mereka yang terlibat dalam proses pendidikan selepas mereka mendapat kelayakan asas dan semasa mereka bekerja di mana kursus ini akan mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme mereka (Shanmugan, 1996). Kursus dalam perkhidmatan jika dilakukan secara terancang dapat membantu guru bagi menangani masalah yang dihadapi oleh mereka ketika melaksanakan pengajaran di bilik darjah. Rajah 1, menunjukkan kitaran yang seharusnya berlaku dalam perlaksanaan sesuatu program latihan supaya program-program latihan itu dapat mencapai objektif dan matlamatnya.

Masalah yang dihadapi oleh guru
(keperluan mengadakan latihan)

perancangan dan perlaksanaan penilaian keberkesanan dan

program latihan dan kegunaan program latihan
 

Rajah 1. Kitaran Program Latihan Dalam Perkhidmatan.

Kos untuk melaksanakan sesuatu kursus dalam perkhidmatan adalah tinggi, maka keberkesanan kursus-kursus yang hendak dijalankan harus mendapat perhatian utama setiap penganjur dan pengelola kursus. Untuk menjadikannya berkesan, kursus dalam perkhidmatan yang diadakan harus mencapai matlamat dan objektif kursus--yang melibatkan tujuan, perancangan, kegunaan, perlaksanaan dan penilaian, agar berbaloi dengan kos yang tinggi itu. Dalam merancang program latihan yang berkesan, Spector (1996, h. 165) mencadangkan lima langkah berikut sebelum memulakan sebarang program latihan;

    1. menentukan keperluan kursus
    2. menetapkan matlamat dan objektif
    3. menggubal program latihan
    4. menyampaikan latihan
    5. menilai program tersebut
Tumpuan Kajian

Tumpuan kajian ini adalah kepada guru-guru sekolah menengah yang sedang mengajar di sekolah-sekolah dalam daerah pendidikan Kulim dan Bandar Baharu, Negeri Kedah Darul Aman. Mereka adalah terdiri dari guru-guru yang telah menghadiri berbagai jenis kursus dalam perkhidmatan yang berkaitan dengan mata pelajaran KBSM yang dikelolakan oleh sekolah masing-masing. pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan menentukan sejauh mana keberkesanan kursus dalam perkhidmatan yang dihadiri dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru-guru KBSM untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Beberapa aspek dari persepsi guru akan cuba di kenal pasti sebagai ukuran kepada menentukan keberkesanan sesuatu kursus dalam perkhidmatan yang telah dijalankan. Aspek-aspek yang akan dikaji termasuklah;

    1. masalah yang dihadapi oleh guru dan keperluan menghadiri kursus,
    2. penetapan matlamat dan objektif kursus,
    3. pemilihan isi kandungan dan cara penyampaian kursus,
    4. perancangan dan perlaksanaan kursus, kekuatan dan kelemahan kursus,
    5. penilaian terhadap kursus tersebut, dan
    6. kegunaannya dalam membantu guru-guru mengatasi masalah yang dihadapi.
Tesis Kajian

Dari perbincangan dengan beberapa orang rakan sejawat, mereka berpendapat bahawa kursus-kursus dalam perkhidmatan yang diberikan kepada guru-guru tidak dapat digunakan dengan berkesan untuk membantu mereka mengatasi masalah-masalah yang dihadapi dalam melaksanakan pengajaran di bilik darjah masing-masing. Kebanyakan kursus dalam perkhidmatan diadakan secara ad hoc tanpa mengambil kira keperluan se benar untuk mengadakan sesuatu kursus.

Kursus dalam perkhidmatan yang berkesan haruslah mempunyai objektif dan matlamat kursus yang jelas, dirancang dan dilaksanakan dengan teliti, mempunyai isi kandungan yang relevan dengan matlamat kursus, dikendalikan oleh tenaga pakar yang berwibawa, supaya hasilnya nanti dapat dipraktikkan oleh peserta kursus dalam situasi se benar di bilik darjah. Tanpa keberkesanan, guru-guru; walau pun telah beberapa kali menghadiri kursus tersebut, akan terus-menerus menggunakan amalan-amalan pengajaran lama yang berpandukan kepada pengalaman lampau dan kebiasaan mengajar masing-masing.

Teori Yang Digunakan

Untuk membolehkan guru-guru menyampaikan ilmu pengetahuan, amalan dan membentuk nilai akhlak yang baik dalam diri pelajar, mereka sendiri harus mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi di samping akhlak yang baik. Dengan itu, guru-guru akan dapat menjalankan tugas mereka mendidik pelajar-pelajar dengan lebih berkesan berbanding sebelumnya. Hasilnya sudah tentulah suatu pencapaian prestasi yang baik di kalangan pelajar-pelajar.

Bagi memastikan guru-guru sentiasa berada di tahap kesedaran yang tinggi dari segi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran baru, mereka harus diberikan berbagai latihan tambahan dari masa ke masa. Ini kerana pendidikan itu sendiri tidak akan tamat pada sesuatu peringkat malahan pendidikan adalah merupakan aktiviti yang berkembang sepanjang hayat.

Kepentingan Kajian

Hasil kajian ini diharap akan dapat membantu pihak penganjur dan pengelola kursus-kursus dalam perkhidmatan--sekolah, pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan Pusat Perkembangan Kurikulum, merangka kursus-kursus yang akan diadakan dengan memberi perhatian yang serius kepada perkara-perkara berikut;

    1. keperluan mengadakan sesuatu kursus,
    2. objektif serta matlamat yang jelas yang patut dicapai oleh peserta di akhir setiap kursus yang akan dijalankan,
    3. bentuk kursus dan isi kandungan yang relevan pada setiap kursus yang dijalankan,
    4. penetapan kumpulan sasaran atau peserta kursus harus dilakukan dengan lebih rapi,
    5. kepakaran tenaga pengajar yang bakal mengendalikan kursus-kursus tersebut,
    6. faedah dan keberkesanan kursus-kursus tersebut.
Hipotesis kajian

Keberkesanan kursus dalam perkhidmatan merupakan salah satu perkara yang penting untuk menentukan kejayaan dalam perlaksanaan KBSM, maka beberapa hipotesis dikemukakan untuk dikaji. Antaranya ialah;

    1. apakah terdapat hubungan antara kepentingan kursus dalam perkhidmatan dengan pengalaman mengajar seseorang guru,
    2. apakah terdapat hubungan antara keberkesanan kursus dalam perkhidmatan dengan kekerapan guru menghadiri kursus tersebut,
    3. apakah terdapat hubungan antara keberkesanan kursus dalam perkhidmatan dengan kebolehan guru menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran.
Persoalan Kajian

Untuk mengkaji keberkesanan kursus dalam perkhidmatan dan faedahnya dalam membantu guru-guru menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan pengajaran di bilik darjah, soalan-soalan kajian berikut akan cuba dijawab;

    1. apakah masalah-masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru ketika melaksanakan pengajaran di bilik darjah?,
    2. sejauh manakah keperluan untuk mengadakan kursus dalam perkhidmatan kepada guru-guru yang sedang mengajar?,
    3. bagaimanakah objektif dan matlamat kursus dalam perkhidmatan ditetapkan?,
    4. bagaimanakah perancangan dan bentuk perlaksanaan kursus dalam perkhidmatan yang dijalankan?,
    5. apakah isi kandungan kursus dalam perkhidmatan yang dijalankan bersesuaian dengan matlamatnya?,
    6. apakah kepakaran tenaga pengajar mencukupi untuk mengendalikan kursus dalam perkhidmatan?,
    7. apakah pengetahuan yang diperoleh semasa berkursus dapat dipraktikkan oleh guru-guru di sekolah?,
    8. sejauh mana kursus dalam perkhidmatan dapat membantu guru-guru menyelesaikan masalah yang dihadapi?
Keperluan kursus, objektif dan matlamat kursus, isi kandungan kursus, tenaga pengajar dan perlaksanaan kursus merupakan variabel-variabel bebas yang akan mempengaruhi persepsi guru terhadap keberkesanan sesuatu kursus, manakala keberkesanan kursus untuk membantu guru-guru menyelesaikan masalah dalam pengajaran merupakan variabel yang bersandar seperti pada rajah 2.

Rajah 2. Hubungan antara variabel bebas dan variabel bersandar.

Metodologi Kajian

Kajian akan dilakukan dengan menggunakan kaedah survey. Borang soal selidik yang diberikan kepada semua responden akan mengandungi empat bahagian yang terdiri dari;

    1. maklumat demografi

    2.  

       
       
       

      Bahagian ini akan mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan demografi guru seperti jantina, umur, pengalaman mengajar dan kelulusan ikhtisas.

    3. keperluan kursus dalam perkhidmatan

    4.  

       
       
       

      Bahagian ini akan mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan keperluan mengadakan kursus dalam perkhidmatan.

    5. perancangan dan perlaksanaan kursus dalam perkhidmatan

    6.  

       
       
       

      Bahagian ini akan mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan perancangan, isi kandungan dan perlaksanaan kursus dalam perkhidmatan.

    7. keberkesanan kursus dalam perkhidmatan
Bahagian ini akan mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan degan keberkesanan kursus dalam perkhidmatan dari segi kekuatan, kelemahan dan cadangan untuk mengatasi kelemahan kursus. Soalan-soalan dalam bahagian kedua, ketiga dan keempat akan menggunakan skala pemeringkatan berangka (numerical rating scale), contohnya seperti '1 = sangat setuju', '2 = setuju', 3 = kurang setuju', '4 = tidak setuju' dan '9 = tidak pasti' kepada beberapa kenyataan yang berkaitan dengan bahagian masing-masing. Selain itu, terdapat juga soalan-soalan terbuka (open ended) bagi setiap bahagian untuk mendapatkan pandangan peribadi responden secara bebas. Kesemua maklumat adalah berdasarkan persepsi guru terhadap kursus dalam perkhidmatan yang pernah mereka hadiri.

Sampel kajian ini terdiri guru-guru yang mengajar mata pelajaran KBSM yang telah menghadiri berbagai jenis kursus dalam perkhidmatan yang berkaitan dengan KBSM dalam jangka masa dua atau tiga tahun yang lepas. Tempoh masa ini adalah memadai kerana adalah dirasakan bahawa guru-guru berkenaan masih dapat mengingati kebanyakan aspek yang mereka alami semasa menghadiri kursus tersebut.

Guru-guru ini sedang mengajar di sekolah-sekolah menengah dalam daerah pendidikan Kulim dan Bandar Baharu; daerah Kulim dan daerah Bandar Baharu, yang mengandungi 20 buah sekolah menengah--19 buah sekolah harian biasa dan sebuah sekolah teknik dan vokasional. Untuk mendapat satu sampel yang boleh dianggap mewakili populasi guru di daerah kajian, sekurang-kurangnya 300 orang responden akan diperlukan dan ini merupakan lebih kurang 30% dari bilangan guru sekolah menengah di daerah Kulim dan Bandar Baharu.

Daerah Kulim dan Bandar Baharu dipilih untuk memudahkan kajian dibuat kerana pengkaji sedang bertugas di pejabat pendidikan daerah ini dan seterusnya akan memberi peluang kepada pengkaji untuk menentukan dan mendapatkan sampel kajian yang sesuai.

Analisis Data

Data yang di kumpul akan dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Taburan peratus kekerapan digunakan untuk menyatakan frekuensi data demografi guru dan menyediakan satu daftar pangkat (Rank order) berkaitan dengan variabel seperti keperluan kursus, perancangan kursus, isi kandungan, perlaksanaan kursus dan keberkesanan kursus dalam perkhidmatan yang telah dijalankan.

Ujian rujuk silang (cross tabulation) dilakukan untuk melihat hubungan antara keberkesanan kursus dengan kegunaannya membantu guru menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran KBSM.

Oleh kerana kajian akan melibatkan pengumpulan data-data norminal maka statistik kebarangkalian khi kuasa akan digunakan untuk menentukan aras signifikan perhubungan antara variabel dan statistik perihalan, Cramer'V akan digunakan untuk menentukan aras signifikan korelasi antara variabel.

Rujukan

Aiken, L. R. (1996). Rating Scales and Checklists: Evaluating Behavior, Personality, and Attitudes. New York; John Wiley & Sons, Inc.

Ainsworth, B. (1976). Teachers talk about inservice education. Journal of Teacher Education, 2, 107-109.

Brimm, J. L. & Tollett, D. J. (1974). How do teachers feel about inservice education? Educational Leadership, 31(6), 521-525.

Joyce, B. & Showers, B. (1980). Improving inservice training: The massages of research. Educational Leadership, 37(5), 379-385.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1990). Pukal Latihan KBSM. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shanmugan, T. (1996). Keberkesanan Kursus Dalam Perkhidmatan Guru-Guru Ekonomi Asas KBSM. Laporan Penyelidikan Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Tidak diterbitkan.

Smiter, R. D. (1994). The Psychology of Work and Human Performance. (2nd.ed.). New York; HarperCollins college Publisher, Inc.

Spector, P. E. (1996). Industrial and Organizational Psychology: Research and Practice. New York; John Wiley and Sons, Inc.


| Kembali Ke Laman Sarjana |
Click Here!