Penyelidikan Penilaian - Tugasan 2


Abstrak

Pengenalan
Definisi Penilaian
Fungsi-Fungsi Penilaian
Objek-Objek Penilaian
Maklumat Yang Dinilai
Kriteria Penilaian
Klien Penilaian
Proses-Proses Penilaian
Kaedah-Kaedah Penilaian
Jenis-Jenis Penilai
Piawai Penilaian
Kesimpulan



 
 

DIMENSI PENILAIAN DALAM PENDIDIKAN

Abstrak

Penilaian membawa berbagai maksud seperti yang difahami dan dipraktikkan dalam bidang pendidikan kebelakangan ini. Beberapa model, pendekatan dan ‘persuasions’ berkaitan penilaian dikemukakan pakar-pakar penilaian. Klasifikasi terhadap pendekatan-pendekatan penilaian dilakukan untuk mencari persamaan dan perbezaan di antara kedua-duanya. Untuk memahami konsep penilaian, beberapa persoalan perlu diperjelaskan. Ia merupakan dimensi kepada pendekatan penilaian yang dicadangkan dan kertas seminar ini cuba melihat 10 dimensi utama yang dikemukakan oleh Nevo (1981, 1983). Dimensi-dimensi tersebut ialah; (i) definasi penilaian, (ii) fungsi penilaian, (iii) objek penilaian, (iv) maklumat yang dinilai, (v) kriteria penilaian, (vi) klien penilaian, (vii) proses penilaian, (viii) kaedah penilaian, (ix) jenis penilai, dan (x) piawai penilaian. Pengenalan

Perkataan penilaian membawa berbagai makna bergantung kepada persepsi seseorang individu. Ada yang menganggap penilaian ialah satu usaha membuat ‘judgment’ ke atas kualiti. Ada juga yang menyatakan penilaian ialah satu cara yang sistematik untuk melihat sesuatu perkara dari segi kepentingannya dan ada juga yang beranggapan penilaian ialah aktiviti harian yang perlu dilakukan bila kita hendak membuat sesuatu penentuan (decision). Ada pihak yang melihat penilaian sebagai suatu alat yang dapat membawa kepada perubahan dan inovasi. Manakala yang lainnya menyatakan bahawa penilaian akan mengancam dan melumpuhkan kreativiti individu. Ada juga yang mengunakan penilaian untuk menampakkan kebaikan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak. Dalam bidang pendidikan pula penilaian selalunya dikaitkan dengan ujian dan peperiksaan yang menjurus kepada mengukur pencapaian akademik pelajar.

Bagaimanakah penilaian dipraktikkan dalam bidang pendidikan?. Percubaan telah dilakukan untuk menjelaskan makna penilaian dan mendedahkan perbezaan antara konsep penilaian dan lain-lain konsep yang berkaitan seperti pengukuran atau penyelidikan. Banyak kajian yang mengandungi pendekatan berkenaan konsep penilaian dan penggunaannya yang menyeluruh dalam pendidikan. Pendekatan ini biasanya dirujuk sebagai ‘model’ seperti model CIPP, model kelainan (discrepancy), model responsif, atau model ‘bebas-matlamat’. Walau bagaimana pun tiada satu pun model-model di atas yang mempunyai darjah kerumitan dan kesempurnaan yang mencukupi untuk membolehkannya dipanggil ‘model’. Stake (1981) mencadangkan pendekatan-pendekatan ini dirujuk sebagai ‘persuasions’ dan bukannya ‘model’.

Dalam menganalisis konsep penilaian dan menjelaskan maknanya secara menyeluruh, Nevo (1981, 1983) telah menyenaraikan 10 dimensi utama yang mewakili isu-isu penting yang dikemukakan oleh kebanyakan pendekatan penilaian dalam pendidikan. 10 dimensi tersebut adalah seperti berikut; (i) Definasi penilaian, (ii) Fungsi-fungsi penilaian, (iii) Objek-objek penilaian, (iv) Maklumat yang dinilai, (v) Kriteria penilaian, (vi) Klien penilaian, (vii) Proses-proses penilaian, (viii) Kaedah-kaedah penilaian, (ix) Jenis-jenis penilai, dan (x) Piawai penilaian.

Definasi Penilaian

Definasi yang paling awal berkaitan penilaian telah diberikan oleh Tyler (1950) yang menyatakan penilaian sebagai proses menentukan sejauh mana objektif pendidikan telah difahami. Definasi penilaian yang lain pula menyatakan penilaian sebagai proses menyediakan maklumat untuk membuat keputusan (Cronbach, 1963; Stufflebeam, 1969). Penilaian juga didefinasikan sebagai usaha menetapkan merit atau faedah (worth) (Sriven, 1967), atau sebagai aktiviti yang mengandungi deskriptif dan judgment (Stake, 1967). Joint committe on standard for evaluation pula mendefinasikan penilaian sebagai satu penyiasatan sistematik ke atas faedah atau merit sesuatu objek (Joint Committe, 1981).

Perbezaan tentang peranan judgment dalam penilaian diberikan oleh Stanford Evaluation Consortium yang mendefinasikan penilaian sebagai pemeriksaan yang sistematik ke atas peristiwa dan kesan semasa program; pemeriksaan dilakukan untuk membantu memperbaiki program itu dan lain-lain program yang mempunyai tujuan yang sama. Cronbach et al. (1980) menolak pendapat yang mengaitkan penilaian dengan judgment kerana menurutnya penilai ialah pendidik yang kejayaanya dinilai berasaskan apa yang dipelajari oleh pelajar dan penilai bukannya diupah untuk menentukan betul atau salah ke atas sesuatu perkara.

Definasi penilaian yang menumpu kepada membuat judgment telah menimbulkan kegelisahan di kalangan objek yang dinilai, maka definasi penilaian sebagai satu proses menyediakan maklumat untuk membuat keputusan lebih diterima ramai. Glasman dan Nevo (1988) mendefinasikan penilaian sebagai aktiviti yang sistematik yang menggunakan maklumat untuk menerangkan tujuan pendidikan dan menentukan merit dan faedahnya. Dua ciri penting yang terkandungan dalam definasi di atas ialah deskriptif dan judgment.

Deskriptif berasaskan data yang dikumpul secara sistematik yang seterusnya menghasilkan maklumat yang objektif. Judgment adalah berasaskan kriteria di mana dalam kebanyakkan kes ia menentukan nilai, rujukan sosial dan kepentingan peribadi semua yang terlibat dengan penilaian itu. Judgment mungkin sangat subjektif. Walaupun kedua-dua deskriptif dan judgment wujud dalam dalam kebanyakkan aktiviti penilaian, namun penggunaannya adalah tertakluk kepada fungsi penilaian dan jenis penilai yang melakukan penilaian itu. Penilaian formatif mungkin menumpu lebih kepada deskriptif dan kurang kepada judgment. Penilai profesional mungkin menumpukan lebih kepada usaha untuk mendapatkan deskriptif yang objektif dan sistematik dari program pendidikan yang dinilai dan pada masa yang sama cuba menahan diri dari membuat judgment ke atas kualiti keseluruhan projek itu.

Fungsi-Fungsi Penilaian

Scriven (1967) telah mencadangkan dua fungsi utama penilaian, iaitu penilaian formatif dan penilaian summatif. Merujuk kepada fungsi yang sama, Stufflebeam (1972) mencadangkan perbezaan antara penilaian proaktif yang bertujuan untuk membuat keputusan dan penilaian retroaktif bertujuan untuk pertanggungjawaban. Oleh itu sebagai fungsi formatif, penilaian digunakan untuk memperbaiki dan memajukan aktiviti atau program yang sedang berjalan. Sebagai fungsi summatif, penilaian digunakan untuk pertanggungjawaban, pensijilan atau pemilihan.

Fungsi ketiga penilaian ialah fungsi psikologi atau fungsi sosialpolitik (House, 1974). Dalam kebanyakkan kes penilaian tidak memenuhi kedua-dua fungsi formatif dan summatif di atas tetapi lebih kepada meningkatkan kesedaran orang ramai kepada sesuatu aktiviti, memotivasikan tingkahlaku orang yang dinilai, atau meningkatkan perhubungan awam.

Fungsi keempat yang paling tidak popular ialah fungsi penilaian sebagai memenuhi atau melaksanakan tugas autoriti (Dornbusch dan Scott, 1975). Dalam organisasi formal, adalah menjadi tugas kepada orang atasan untuk menilai kakitangan bawahan masing-masing. Fungsi ini juga dikenali sebagai fungsi pentadbiran sesuatu penilaian.

Walau pun fungsi formatif penilaian lebih digemari, namun fungsi-fungsi lain juga berguna kerana sesuatu penilaian boleh memainkan lebih dari satu fungsi. Adalah penting untuk menyedari kewujudan pelbagai fungsi ini supaya fungsi yang khusus boleh ditentukan diawal perancangan sesuatu penilaian.

Objek-Objek Penilaian

Pada peringkat awal, objek yang popular yang menjadi sasaran aktiviti penilaian dalam pendidikan ialah pelajar dan guru. Dengan perkembangan dan kemajuan yang berlaku dalam dunia pendidikan, tumpuan penilaian sekarang beralih dari pelajar dan guru kepada projek, program, dan bahan pengajaran. Ini banyak disentuh di dalam litratur penilaian dalam pendidikan semenjak tahun enam puluhan.

Dua kesimpulan yang boleh dibuat ialah, pertamanya semua perkara boleh dijadikan objek untuk dinilai, dan keduanya ialah penilaian tidak hanya dihadkan kepada pelajar dan guru. Mengenalpasti objek yang jelas adalah perlu dalam membentuk rekabentuk kajian (Guba dan Lincoln, 1981).

Maklumat Yang Dinilai

Selepas objek penilaian ditetapkan, keputusan perlu dibuat untuk menentukan aspek dan dimensi objek yang perlu dinilai. Pendekatan awal kepada penilaian hanya menumpukan kepada keputusan atau hasil. Kebelakangan ini beberapa percubaan yang menarik telah dibuat untuk meluaskan skop maklumat yang harus dinilai (Stake, 1967). Model CIPP oleh Stufflebeam umpamanya mencadangkan penilaian menumpukan kepada empat perkara iaitu, matlamat sesuatu objek, rekabentuknya, proses perlaksanaannya, dan hasilnya. Penilaian sesuatu projek pendidikan harus melibatkan penentuan merit kepada matlamat projek itu, kualiti perancangannya, setakat mana jangkauan rancangan itu akan dilaksanakan, dan faedah hasil dari projek itu.

Stake (1967) mencadangkan dua set maklumat yang perlu dikumpul iaitu deskriptif dan judgment. Deskriptif menfokuskan kepada apa yang dihajatkan dan apa yang diperhatikan berkaitan dengan pengalaman lalu, proses perlaksanaan dan hasil. Maklumat berkaitan judgment terdiri dari piawai dan judgment yang berkaitan dengan pengalaman lalu, proses perlaksanaan dan hasil.

Guba dan Lincoln (1981) meluaskan pandangan Stake di atas dan mengaplikasikannya kepada paradigma nutralistik. Mereka mencadangkan penilai menghasilkan lima jenis maklumat seperti berikut; (i) maklumat deskriptif berkaitan dengan tujuan penilaian, (ii) maklumat responsif untuk klein yang berkenaan, (iii) maklumat mengenai isu yang berkenaan, (iv) maklumat mengenai nilai, dan (v) maklumat mengenai piawai tentang faedah dan merit sesuatu penilaian.

Apabila penilaian pendidikan dilakukan, adalah dicadangkan penilai mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat. Jangan sempitkan maklumat kepada hasil dan keputusan semata-mata. Walau bagaimana pun dalam setiap penilaian tumpuan maklumat harus juga bergantung kepada kepentingan dan kekangan yang dihadapi.

Kriteria Penilaian

Adalah sangat sukar untuk memilih kriteria bagi memutuskan merit suatu penilaian pendidikan. Pendekatan berorientasikan maklumat (Tyler, 1950) yang hanya menggunakan pencapaian matlamat sebagai kriteria penilaian adalah lebih mudah kerana mereka telah mengabaikan sebahagian dari isu-isu penilaian. Mereka yang mendefinasikan penilaian sebagai aktiviti mengumpul maklumat untuk pembuat keputusan (Cronbach, 1963) tidak perlu berhadapan dengan masalah memilih kriteria penilaian. Salah satu asas yang mungkin digunakan sebagai kriteria penilaian ialah pencapaian matlamat terpenting sesuatu program. Lain-lain asas penentuan kriteria penilaian ialah; menentukan keperluan sebenar pelanggan; ide dan nilai sosial; piawai yang ditetapkan oleh pakar; atau kualiti sesuatu tujuan.

Ramai pakar penilaian berpendapat bahawa kriteria yang akan digunakan haruslah ditentukan dalam kontek tujuan dan fungsi penilaian tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab penilai untuk membuat pemilihan kriteria dan mempertahankan pilihan mereka itu.

Klien Penilaian

Mereka yang mendefinasikan penilaian sebagai menyediakan maklumat untuk membuat keputusan mempunyai pandangan yang jelas kepada siapakah penilaian perlu diberikan. Mereka telah mengenalpasti pembuat keputusan yang berkenaan dan cuba menentukan maklumat yang diperlukan.

Litratur penilaian tidak menetapkan siapakah klien penilaian yang sepatutnya. Terdapat tiga cadangan berkenaan dengan klien sesuatu penilaian. Pertama ialah penilaian mungkin berguna kepada lebih dari satu kumpulan klien. Kedua, kumpulan klien yang berbeza mungkin mempunyai keperluan penilaian yang berbeza. Ketiga, klien dan keperluan penilaian mereka harus dijelaskan pada peringkat awal perancangan penilaian.

Perbezaan keperluan penilaian akan menentukan jenis maklumat yang dikumpul, tahap analisis yang digunakan, dan bentuk laporan yang dihasilkan.

Proses-Proses Penilaian

Proses dalam menjalankan penilaian adalah berdasarkan persepsi teori yang menjadi panduan kepada penilaian. Jika penilaian dilihat sebagai aktiviti yang bertujuan menentukan pencapaian sesuatu matlamat telah dicapai, maka proses penilaian adalah seperti berikut. Pertama, matlamat harus dinyatakan dalam bentuk tingkahlaku yang boleh diukur, kemudian alat pengukuran dibentuk, seterusnya data akan dikumpul dan dianalisis, dapatan diinterpretasi dan akhirnya cadangan akan dibuat.

Menurut model ‘Countenance’, penilaian harus mengandungi langkah-langkah berikut; menerangkan program; melapurkan keterangan tersebut kepada pihak yang berkenaan; mendapatkan dan menganalisis ‘judgment; melapurkan kembali hasil analisis kepada pelanggan. Seterusnya, model responsif mencadangkan pemerhatian yang berterusan oleh penilai dan semua pihak yang terlibat dengan penilaian. Stake (1975) telah mengenalpasti 12 langkah interaksi antara penilai dan pelanggan dalam proses menjalankan penilaian.

Provus (1971) mencadangkan lima langkah proses penilaian yang mengandungi; rekabentuk program, penilaian perlaksanaan program, penilaian keputusan awal, penilaian keputusan akhir, dan penilaian dari segi kos dan kepentingan.

Phi Delta Kappa mempersembahkan tiga langkah proses penilaian. Ia terdiri dari; menggariskan keperluan maklumat melalui interaksi dengan pembuat keputusan; memperolehi maklumat yang diperlukan melalui kutipan data secara formal dan melakukan prosedur analisis; dan menyediakan maklumat kepada pembuat keputusan dalam format yang mudah difahami.

Scriven (1972) mencadangkan sembilan langkah dalam model ‘Pathway Comparison’. Guba dan Lincoln (1981) mencadangkan bahawa penilaian secara naturalistik-responsif boleh dilaksanakan melalui empat peringkat iaitu; memulakan dan mengorganisasikan penilaian; mengenalpasti isu utama; mengumpul maklumat yang berguna; dan melaporkan hasil serta membuat cadangan.

Walau pun tiada satu proses yang terbaik untuk menjalankan penilaian, kebanyakan mereka bersetuju bahawa penilaian harus mengambilkira hubungan antara penilai dan pelanggan yang dinilai. Interaksi harus berlaku dalam usaha menentukan keperluan penilaian dan juga rumusan penilaian untuk menghasilkan dapatan. Penilaian harus tidak dihadkan kepada aktiviti teknikal dalam mengumpul dan menganalisis data.

Kaedah-Kaedah Penilaian

Selain dari kaedah tradisi secara eksperimen dan quasi-eksperimen, beberapa keadah lain telah digunakan untuk melakukan penilaian. Antaranya ialah kaedah naturalistik, kajian kes, kritikan sastera, kaedah jurnalistik, dan kaedah modus operandi. Setengah dari metodologis menganjurkan bahawa kaedah tertentu seperti rekabentuk eksperimen lebih berkuasa, sementara yang lainnya berpendapat kaedah naturalistik adalah lebih baik. Buat masa ini adalah tidak wajar bagi penilai untuk mengistiharkan bahawa mereka lebih patuh kepada kaedah kuantitatif-saintifik-summatif atau kepada kaedah kualitatif-nutralistik-deskiptif. Adalah lebih baik mencari kaedah terbaik atau set kaedah yang dapat menjawab persoalan penilaian dari mengandaikan satu kaedah yang dapat memenuhi semua tujuan.

Jenis-Jenis Penilai

Apakah ciri penilai yang ‘baik’ dan apakah bentuk latihan yang sesuai yang diperlukan oleh seorang penilai?. Untuk menjadi seorang penilai yang cekap dan boleh dipercayai penilai harus mempunyai kombinasi berbagai ciri yang terdiri dari kecekapan dari segi teknikal dalam bidang pengukuran dan penyelidikan, kefahaman dari kontek sosial dan kandungan objek penilaian, kemahiran interpersonal, kejujuran dan keobjektifan. Ia juga harus mempunyai ciri-ciri yang berkaitan dengan kuasa dan tanggungjawab terhadap organisasi mereka. Oleh kerana adalah sukar untuk mendapatkan individu yang mempunyai segala ciri di atas, maka selalunya penilaian secara berpasukan adalah lebih sesuai.

Dua perbezaan penting harus diambil kira untuk menentukan jenis penilai. Pertama, sama ada ianya penilai dalaman atau penilai luaran. Penilai dalaman adalah mereka yang diambil bekerja dalam projek itu dan bertanggungjawab terus kepada pengurus projek. Penilai luaran tidak bertugas secara terus dengan projek yang dinilai dan mempunyai kebebasan yang lebih. Keobjektifan penilaian dalaman mungkin lebih rendah tetapi pada masa yang sama ia kurang memberi ancaman kepada mereka yang dinilai.

Kedua, sama ada ianya penilai profesional atau penilai amatur. Ini bergantung kepada bentuk latihan yang diterima. Penilai amatur tidak mempunyai latihan dalam penilaian tetapi sebahagian dari bidang tugasnya adalah berkaitan dengan penilaian. Penilai profesional ialah mereka yang menerima latihan meluas dalam penilaian dan tugas utamanya ialah menjalankan penilaian. Walau pun dari segi kemahiran teknikal, penilai amatur lebih rendah tetapi mereka lebih memahami keunikan keperluan kepada penilaian.

Kedua-dua perbezaan di atas adalah bebas antara satu sama lain. Mereka mungkin penilai dalaman yang amatur, atau penilai luaran yang amatur, atau penilai dalaman yang profesional, atau penilai luaran yang profesional.

Piawai Penilaian

Walau pun rasional mengadakan penentuan piawai secara keseluruhan dikritik sebagai kurang matang dalam penilaian, namun terdapat persetujuan yang semakin jelas antara skop dan kandungan bagi piawai penilaian. Terdapat 30 piawai yang dicadangkan oleh ‘Joint Committe’ pada tahun 1981 dan dibahagikan kepada 4 kumpulan seperti berikut: kebolehgunaan ( memastikan penilaian membekal maklumat yang diperlukan secara praktik); kebolehlaksanaan (memastikan penilaian itu wujud dan nyata serta dijalankan secara berhati-hati dan bijaksana); kebenaran (memastikan penilaian dijalankan secara sah dan beretika); ketepatan (memastikan penilaian mendedahkan dan menyampaikan maklumat yang mencukupi dari segi teknikal).

Walau pun tiada persetujuan tentang kepentingan mana-mana kumpulan, namun terdapat signifikan yang khusus berkaitan dengan kebolehgunaan dalam penilaian. Terdapat hubungan yang signifikan antara kebolehgunaan penilaian dan tidakbalasnya terhadap keperluan maklumat oleh klien, menyediakan maklumat yang berkaitan dengan keputusan mereka.

Kesimpulan

10 dimensi yang dibincangkan di atas merupakan asas pemahaman kepada penilaian dalam pendidikan . Sesuatu penilaian itu mempunyai berbagai maksud merujuk kepada bagaimana ia didefinasikan, apakah fungsinya, apakah objek yang dinilai, apakah maklumat yang menilai, kriteria apakah yang digunakan untuk menilai maklumat, siapakah klien atau pelanggan yang terlibat, apakah proses penilaian yang digunakan, kaedah apakah yang digunakan, siapa yang menilainya, dan apakah piwai yang digunakan dalam penilaian.

Rujukan

Glasman, N. S. & Nevo, D. (1988). Evaluation in Decision Making. Boston: Kluwer Academic Publishers.

Stufflebeam, D. L., McCormick, C. H., Brinkerhoff, R. O & Nelson, C. O. (1985). Conducting Educational Needs Essessment. Boston: Kluwer-Nijhoff Publishing.

Worthen, B. R. & Sanders, J. R. (1973). Educational Evaluation: Theory and Practice. Worthington, Ohio: Charles A. Jones Publishing Company.


| Kembali Ke Laman Sarjana |
Click Here!