Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan
Utusan Malaysia 23.7.98

 

TENTU anda ada mendengar, membaca, malah sesekali turut berbincang akan persoalan bahawa sistem pendidikan sekarang adalah suatu sistem yang berorientasikan peperiksaan.

 Kalangan yang memperkatakan persoalan tersebut secara terbuka biasanya terdiri daripada tokoh pendidikan seperti profesor, pensyarah dan guru, di samping ahli politik, ahli korporat, pentadbir, dan tidak ketinggalan segelintir ibu bapa yang prihatin.

 Sehinggakan di sekolah, guru diangap mengajar apa yang dituntut dalam peperiksaan, manakala pelajar mengulang kaji apa yang dikehendaki dalam peperiksaan sahaja. Timbul anggapan lain bahawa pelajar yang mendapat markah tinggi tidak semestinya menjadi pekerja atau warganegara yang baik.

 Cuma satu soalan yang ingin kita tanya kepada mereka yang berjaya dalam pelajaran (akademik) itu seperti profesor, pensyarah, guru, doktor atau pegawai tadbir, adakah anda sekalian mampu berada pada kedudukan sekarang seandainya anda gagal dalam peperiksaan?

 Sebenarnya, ia suatu kenyataan atau hakikat. Rata-rata orang yang bergelar profesor berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D.).

 Orang yang berjawatan pensyarah sekurang-kurangnya ada Ijazah Sarjana (MA). Doktor mesti ada Ijazah Sains Perubatan (M.D).

 Demikian juga pegawai tadbir dan guru sekolah menengah seharusnya pemegang ijazah Sarjana Muda (B.A).

 Dengan sendirinya, terjawab persoalan bahawa sistem pendidikan di negara kita sekarang berorientasikan peperiksaan.

 Malah, ia demikian sejak selepas merdeka. Cuma jangan disempitkan anggapan ini.

 Sebab di mana-mana pun di dunia, sejak dahulu, sistem pendidikan mengutamakan peperiksaan. Malah kelulusan cemerlang diutamakan.

 Di beberapa negara Barat, seperti di Amerika Syarikat, setahu saya calon ijazah Sarjana mesti lulus dengan sekurang-kurangnya gred B bagi setiap mata pelajaran yang diambil untuk melayakkan diri terus berada ke semester seterusnya.

 Kalau satu mata pelajaran sahaja dapat gred C, alamat tertangguhlah satu semester, atau pastikan ada mata pelajaran dapat gred A sebagai penampung.

 Dalam hubungan ini, walaupun calon berjawatan ketua pelajar dan aktif dalam sukan dan persatuan, namun keputusan gred di bawah B tidak menjaminnya berada dalam keadaan selesa pada peperiksaan akhir untuk ijazah Sarjana.

 Namun konsep peperiksaan di sini lebih bermaksud sebagai pengukur pencapaian akhir tahun pengajian bagi seseorang murid-pelajar-mahasiswa.

 Di sepanjang persekolahan, sama ada di peringkat rendah, menengah, kolej atau universiti, setiap murid-pelajar-mahasiswa di samping belajar juga dikehendaki membabitkan diri dalam aktiviti kokurikulum seperti bersukan dan berpersatuan.

 Banyak aktiviti di luar bilik darjah yang perlu diceburi.

 Semua aktiviti kokurikulum ini bertujuan meningkatkan kemahiran berkomunikasi murid dan pelajar.

 Aktiviti yang serupa turut melatih murid dan pelajar menjadi pemimpin atau pengikut yang baik.

 Tidak kira sebagai ahli biasa, ahli jawatankuasa atau pengambil bahagian yang aktif dalam permainan bola sepak, badminton, bola jaring, sebagai pelari 100 meter, 4 x 100 meter, sebagai presiden persatuan, setiausaha persatuan atau sebagai pengawas, ahli pengakap, pandu puteri dan pustakawan sekolah.

 Apa yang menjadi ciri perbezaan di sini ialah pencapaian dalam pelajaran ditandai dengan pangkat dan gred.

 Pangkat dan gred dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dicatat dalam kertas khas yang disebut sijil.

 Pencapaian dalam aktiviti luar bilik darjah pula ditandai dengan pingat, piala pusingan atau sijil penghargaan.

 Tetapi di antara dua sijil itu tentu sijil SPM atau STPM yang cemerlang lebih berharga berbanding dengan misalnya sijil penyertaan dalam acara sukan tahunan.

 Untuk bersikap lebih adil, sesiapa pun yang mengikut perkembangan sistem pendidikan tidak sepatutnya membuat kesimpulan bahawa penekanan pada pencapaian peperiksaan telah menghasilkan individu yang kerdil lantaran banyak potensi luaran mereka masih gagal diserlahkan.

 Sebaliknya, kita harus menerima hakikat bahawa kualiti individu lepasan sekolah berbeza-beza kerana pengaruh persekitaran di rumah dan di sekolah, di samping kesempatan yang mampu digunakan oleh individu berkenaan.

 Dengan hal yang demikian, terhasillah pelajar yang mendapat markah tinggi dalam peperiksaan tidak semestinya menjadi pekerja atau warganegara yang baik. Sebaliknya, pelajar yang SPMnya pangkat tiga tidak semestinya tidak mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, jujur dan amanah.

 Persoalan di sini ialah bagaimana kalangan pembuat dasar pendidikan dan pelaksana dasar seperti guru dan pensyarah memainkan peranan membimbing, menasihat dan menyelia supaya anak didik masing-masing di samping mengutamakan pencapaian peperiksaan, juga menceburi aktiviti di luar bilik darjah.

 Malah, dalam setiap mata pelajaran, guru dapat membimbing pelajar supaya memaham, berfikir dan menjawab dengan bahasa sendiri yang betul, santun dan memikat. Misalnya guru sepatutnya berusaha membimbing pelajar mengaitkan mata pelajaran sains dengan kehidupan harian. Hampir semua benda yang kita pakai dan gunakan merupakan contoh ciptaan sains.

 Daripada mata pelajaran matematik, guru dapat melatih fikiran pelajar untuk mengaitkan ilmu tolak, tambah dan darab dalam kehidupan seharian mereka.

 Demikan juga dengan menerapkan pengetahuan mata pelajaran geografi, ekonomi atau prinsip akaun dalam kehidupan harian.

 Kita jangan lupa bahawa mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan pendidikan moral berupaya melatih pelajar mematuhi perintah Tuhan, menghormati ibu bapa dan guru, membenci rasuah dan dadah, menjadi manusia yang berbudi pekerti mulia dan seterusnya menjadi warganegara yang taat dan berjasa.

 Bagi golongan yang tetap gelisah dengan mengatakan bahawa sistem pendidikan negara kita sekarang berorientasikan peperiksaan, bolehlah meredakan kegelisahan itu dengan menerima hakikat bahawa dalam usaha mendidik seseorang itu menjadi manusia sempurna bererti membangunkan seluruh aspek kemanusiannya, iaitu meliputi kepintaran, jasmaniah, rohaniah, emosi dan kemasyarkatan.

 Untuk membangun daya pintar, anak didik akan dilatih bukan sahaja untuk mendapat ilmu tetapi untuk memaham, menganalisis, menilai dan membuat tanggapan dan kesimpulan sendiri.

 Anak didik yang masih muda ini hendaklah dibiarkan berfikir secara rasional, bijak dan asli. Ilmu yang digarapnya secara teori dalam bilik darja hendaklah membolehkannya menerapkan ilmu itu terhadap keperluan amali dalam kehidupan harian.

 Dari segi jasmaniah, anak didik ini dibimbing ke arah kesihatan, kecergasan, kecerdasan dan keceriaan. Menerusi ilmu kesihatan, sukan dan permainan, pelajar dapat mengembangkan bakat diri semaksimum mungkin.

 Pendidikan emosi dapat membebaskan pelajar daripada sikap negatif, rendah diri atau prasangka. Ini membolehkan pelajar membesar dan matang sebagai individu yang sihat dan sedia menghormati diri dan idea orang lain.

 Pendidikan rohani dapat menyedarkan pelajar kepada tanggungjawab beragama dan berakhlak, dalam suasana yang lebih luas daripada sekadar misalnya mengerjakan solat, berpuasa sepanjang Ramadan atau membayar zakat.

 Demikian luasnya matlamat pendidikan, yang tentunya bukan sekadar untuk peperiksaan. Diharapkan pihak berwajib dalam pendidikan negara, pemikir, guru, ibu bapa dan terutama pelajar, hendaklah sentiasa berusaha mencapai matlamat pendidikan negara yang tercakup dalam falsafah pendidikan itu sendiri.

 Tetapi matlamat yang terpenting dalam tempoh tiga bulan ini, pendidikan memang untuk peperiksaan, khususnya bagi calon UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun ini. Jadi, guru dan pelajar, bagaimana persiapan anda?

 Oleh: DR. SULAIMAN MASRI