KONSEP MENSYUKURI NIKMAT

MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI

 

NIKMAT kurniaan Allah kepada hamba-Nya akan berterusan, malah akan bertambah berlipatganda, jika hamba Allah yang berkenaan bersyukur dan merapakkan pujian kepada Allah s.w.t.  Tanpa amalan puji (al-hamd) dan syukur (al-syukr), bermakna hamba Allah yang menerima nikmat Allah itu mengingkari (mengkufuri) nikmat. Akibatnya, dia akan kehilangan nikmat itu. Malah akan menerima pembalasan azab sengsara. Allah berfirman, mafhumnya:

Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur (akan nikmat-Ku), pasti Aku akan menambahkan (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu kufur (mengingkari nikmat), sesungguhnya azabku sangat keras (QS. Ibrahim : 7).

Demikianlah nikmat yang sudah pasti dikurniakan oleh Allah kepada setiap hamba-Nya itu wajib disyukuri untuk mendapat gandaan, sekali gus untuk mengelak daripada azab sengsara kerana mengkufuri nikmat itu.

Mengikut ulama, “al-syukr” atau syukur (mensyukuri nikmat Allah) itu merupakan amalan batin yang mengandungi maksud taat (taqwa), sabar, rela, pasrah (tafwidh) dan sebagainya, manakala maksud “al-hamd” atau pujian (memuji Allah) itu ialah melafazkan segala ungkapan pujian kepada Allah Taala, iaitu termasuklah tahmid, tasbih, takbir, tahlil dan lafaz zikir yang lainnya. Berbanding dengan amalan batin bersyukur itu, melafazkan zikir-zikir dikatakan amalan zahir, amalan lisan (lidah). Jadi, pujian (zikir) yang dilafazkan tanpa disertai syukur itu ternyata kurang berkesan, kurang pahalanya.

Ibnu 'Abbas r.a menjelaskan: "Syukur itu ialah taat kepada Allah Taala dengan segala anggota, zahir dan batin, sama ada secara diam-diam atau terang-terangan".

Imam Abu Bakar al-Warraq (Guru utama Imam al-Ghazali) mengatakan, "Syukur itu ialah mengagungkan Allah Taala yang dengan kemurahan-Nya mengurniakan nikamat kepada hamba-Nya yang tidak terhingga banyaknya dan tidak ternilai itu. Dengan itu tidaklah timbul rasa benci atau kufur".

Mengikut para ulama : "Syukur itu ialah mengerjakan taat, zahir dan batin, kepada Allah Taala dan seterusnya menjauhi segala maksiat, zahir dan batin, dengan mengawal hati, lidah, mata, telinga dan segala anggota zahir dan batin yang lainnya supaya tidak tersalahguna sehingga terdorong kepada melakukan kerja maksiat".

Adalah paling jahat orang yang menggunakan nikmat Allah itu sebagai alat untuk melakukan kerja maksiat. Inilah maksud "mengkufuri nikmat". Nikmat itu, apabila tidak disalahgunakan, yakni digunakan untuk kerja-kerja taat, maka itulah maksud "mensyukuri nikmat", dan pada hakikatnya, itulah yang dikatakan sebagai mengagungkan Allah 'Azza wa Jalla.

Imam al-Ghazali mengatakan: "Bersyukur itu ialah menjunjung tinggi nikmat, sakali gus mengagungkan Allah Taala. Ini adalah untuk menghindarkan rasa benci atau sikap tidak mengenang budi kepada Allah. Dengan yang demikian, kita sentiasa mengingati kebaikan Allah (mengenang budi). Seterusnya, mengingati betapa wajar dan beruntungnya orang yang bersyukur dengan segala tindakan kesyukurannya dan betapa buruk dan ruginya orang yang kufur (tidak mensyukuri nikmat) dengan segala tindakan kekufurannya".

Berdasarkan pendapat-pendapat tersebut, dapatlah dirumuskan, bahawa maksud "syukur" itu meragkumi gabungan antara maksud ungkapan-ungkapan, "mengagungkan Allah'', ''mengerjakan taat" dan "menjauhi maksiat".

Jelaslah di sini, bahawa bersyukur itu semata-mata kepada Allah Taala karena kemurahan-Nya menaburkan nikmat-Nya, bukan kepada nikmat itu atau kepada makhluk yang lain. Apabila seorang hamba Allah menerima nikmat, maka menjadi kewajiban kepada hamba Allah itu bersyukur kepada Allah dengan menunaikan amalan zahir dan batin yang merangkumi tiga komponan amalan yang tersebut, iaitu mengagungkan Allah (mentauhidkannya), menjauhi semua perlakuan maksiat (segala kejahatan dan kemungkaran) dan mengerjakan segala amalan taat kepada Allah.

Terdapat dua prinsip dalam hal pemberian nikmat oleh Allah Taala kepada manusia:

Pertama, nikmat itu dukurniakan kepada orang-orang yang menyedari betapa besarnya kadar kuantiti dan kualiti nikmat Allah dan tahu menghargainya, tidak menyalahgunakannya. Mereka yang berkenaan sudah tentulah merupakan orang-orang yang mensyukuri nikmat.

Kedua, nikmat akan diluputkan atau digantikan dengan keadaan sebaliknya, iaitu azab, bagi orang-orang yang tidak bersyukur atau tidak tahu menghargai nikmat, malah menyalahgunakannya. Mereka ini sudah tentulah merupakan orang-orang yang mengkufuri nikmat.

Azab atau keadaan di luar nikmat yang digantikan kepada nikmat yang diluputkan itu tidak semestinya bersifat konkrit yang membabitkan fizikal semata-mata. Azab itu, seperti nikmat juga, ada jenis azab zahir dan ada jenis azab batin, ada azab dunia dan ada azab akhirat. Antara azab tersebut ada yang melibatkan unsur dalaman atau kebatinan_hati, jiwa atau mental.Nikmat hidayah, misalnya, akan digantikan dengan kesesatan (dhalalah). Nikmat taufik mungkin akan digantikan dengan khidzlan (tidak berdaya atau malas mengerjakan taat) atau, lebih teruk lagi, digantikan dengan istidraj (diberi peluang atau dorongan melakukan kemungkaran berterusan).

Berkenaan dengan prinsip yang kedua dalam hal pemberian nikmat tersebut, Allah Taala berfirman, mafhumnya:

Dan Bacakanlah (hai Muhammad) kepada mereka (umatmu) tentang kisah orang yang telah Kami kurniakan ayat-ayat kami (nikmat ilmu), tetapi dibuangkannya lalu dia diikuti (dikuasai) oleh syaitan, maka dia adalah daripada orang-orang yang sesat . (al-A'raf : 175)

Demikianlah orang yang buta mata hatinya, tidak tahu menghargai nikmat kurniaan Allah kepadanya, hanya karena terpengaruh kepada godaan dunia, lalu terjebak di dalam perangkap tipu daya syiatan. Maka nikmat itu ditarik balik oleh Allah Taala dan akhirnya dia terjatuh ke dalam golongan orang yang sesat.

Nikmat itu dikurniakan oleh Allah Taala berdasarkan kesyukuran seseorang hamba Allah, bukan berdasarkan kepada kebangsawanan atau kekayaan hamba Allah itu. Tersebut dalam al-Quran al-Karim, mafhumnya:

Karena kejahilan dan kesombongan mereka, kaum kafir menganggap, bahawa mereka yang kaya raya dan berketurunan mulia itulah yang layak mendapat nikmat. Kata mereka, memang merekalah yang telah mendapat nikmat. Buktinya kekayaan dan kemewahan hidup yang sedang mereka miliki. Lalu dengan sombong mereka melemparkan kata-kata sendaan kepada kaum mukminin yang fakir dan miskin, “Kamu miskin, papa kedana dan hina-dina. Bagaiamankah kamu sangka kamu akan mendapat nikmat, bukan kami?”. Lalu Allah Taala berfirman, maksudnya:

Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur? (al-An'am : 53)

Ternyatalah, nikmat itu dikurniakan kepada orang-orang bersyukur, tidak kira sama ada mereka itu kaya, bangsawan, berpengaruh atau akasnya. Tambahan pula, kekayaan dan kebangsawanan tanpa kesyukuran itu adalah nikmat dunia semata-mata, malah pada hakikatnya bukan nikmat, tetapi bala atau qadha’ Allah. Sedangkan, dengan kehendak Allah, di dalam keadaan kemiskinan, seseorang hamba-Nya memperolehi nikmat hakiki, nikmat akhirat yang berkekalan.

Dalam hal yang berkaitan dengan qadha’ atau musibat, sama ada merupakan kesusahan, sengsara atau bala yang menimpa diri sendiri atau membabitkan keluarga atau harta benda, mengikut sebahagian ulamak, tidak timbul soal bersyukur, karena bersyukur itu tidak dituntut kecuali dalam hal berkaitan dengan nikmat sahaja. Tetapi kita wajib bersabar dan rela menghadapi musibat itu.

Bagaiamana pun, sebahagian besar ulamak mengatakan, bahawa setiap musibat itu pasti mengandungi hikmat dan nikmat juga, sama ada secara tersembunyi (hanya di dalam ilmu Allah) atau terzahir. Maka itu, kita dikehendaki bersyukur juga kepada Allah Taala karena nikmat yang tersembunyi yang akan mengiringi musibat itu.

Sesungguhnya, terdapat banyak nikmat yang berkaitan dengan musibat, termasuk yang nyata di samping yang tersembunyi atau yang tidak ketara dan tidak terfikir oleh manusia, terutama orang yang bebal, lalai dan tidak celik mata kalbunya atau sempit pandangannya dan singkat pemikirannya.

Ibnu 'Umar r.a mengatakan, setiap kali beliau diuji dengan musibat oleh Allah Taala, beliau berpeluang mendapat empat nikmat:

Mengikut Syaikh Abu Bakr al-Warraq, "Seorang hamba Allah itu dikehendaki bersyukur kepada Allah Taala, walau pun dia ditimpa kesusahan atau bala. Kerana, pada hakikatnya, kesusahaan atau bala itu adalah nikmat juga. Bala itu akan diiringi dengan kurniaan manfaat (nikmat) yang besar dan pahala yang beterusan, bukan saja sebagai tukar ganti yang sama kadarnya dengan kerugian, tetapi merupakan kurniaan pampasan yang berlipat ganda, jauh melebihi kadar bala (kerugian) yang tertanggung".

Demianlah, pada hakikatnya, di sebalik musibat atau perkara yang kita bencikan itu tersembunyi kebaikan sebagai suatu nikmat. Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh konsep nikmat itu sendiri, iaitu kebaikan atau kelebihan nikmat itu bukan semata-mata kerana kelazatannya, bukan hanya karena secocok dengan keinginan nafsu tabii manusia; tetapi sesungguhnnya yang dinamakan kebaikan daripada nikmat itu ialah apa yang dilebihkan dalam ukuran ketinggian darjatnya di sisi Allah.Peningkatan ketinggian darjat itulah menepati maksud sebagai pertambahan nikmat.

Jadi, apabila berlaku suatu kesusahan atau musibat yang menambahkan kemuliaan seseorang hamba Allah dan meninggikan darjatnya, maka itulah nikmat yang hakiki. Pada zahirnya sahaja musibat itu merupakan suatu kesusahan, atau dirasakan sebagai suatu penderitaan. Wallahu a’lam.

21021999

prev.GIF (184 bytes)next.GIF (183 bytes)

-