AIDS - FAKTA MENGENAI PENYAKIT

Oleh :
Dr Ahamad bin Jusoh,
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan


PENDAHULUAN

Manusia mendapat penyakit sebab dijangkiti oleh kuman yang menyebabkan penyakit. Manusia mendapat penyakit AIDS sebab dijangkiti oleh kuman yang menyebabkan penyakit AIDS iaitu HIV.

AIDS ialah penyakit yang disebabkan oleh kuman HIV. HIV adalah sejenis virus.

Acquired Immuno Deficiency Syndrome (AIDS) adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus (HIV). Virus HIV digolongkan didalam kumpulan virus retrovirus. Ini bermakna virus ini sangat lemah dan tidak dapat membiak dengan sendiri. Semua virus jenis retrovirus perlu masuk didalam sel perumah (didalam hal kes AIDS ialah manusia) dan mencuri bahan genetik perumah berkenan untuk membiak.

Maklumat yang ada menunjukkan virus HIV mengambil masa 8 hingga 10 tahun untuk menyebabkan penyakit AIDS. Maklumat yang ada juga menunjukkan hampir semua jangkitan HIV akan berakhir dengan AIDS. Walaupun begitu bukan semua tularan HIV menyebabkan jangkitan HIV. Ini bermakna didalam keadaan tertentu (ahli sains dan pakar perubatan masih tidak pasti apa kah keadaan "tertuntu" berkenaan), virus HIV masuk kedalam badan manusia tetapi tidak menyebabkan penyakit.

Laporan ada menunjukkan terdapat pesakit HIV kanak-kanak yang "sembuh" selepas 5 tahun dijangkiti HIV. Kanak-kanak berkenaan yang disahkan dijangkiti oleh kuman HIV selepas dilahirkan oleh ibunya yang juga dijangkiti HIV tidak menunjukkan tanda-tanda yang biasanya dialami oleh pesakit HIV kanak-kanak. Pemeriksaan lanjut menunjukkan kuman HIV tidak ditemui lagi didalam tubuh kanak-kanak berkenaan (Ref :saya akan memberikan rujukan kemudian, masa sekarang lupa!).

Laporan juga ada menunjukkan terdapat kes HIV dewasa yang telah dijangkiti selama melebihi 10 tahun tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda AIDS. Didalam satu kes yang melibatkan seorang dewasa wanita di Afrika. Kes satu lagi melibatkan penderma darah dan penerima darahnya. Jumlah sel CD4+ (yang biasanya dijadikan petunjuk keadaan kes-kes AIDS) juga berada di dalam keadaan normal.

 

SEJARAH

AIDS bermula daripada akhir tahun 1970. Pada awal 1980 dimana pakar-pakar perubatan di beberapa bandar besar Amerika Syarikat telah mula menemui suatu keadaan yang ganjil. Ianya ditunjukkan oleh gejala kurang daya tahan melawan penyakit. Ia ditemui di kalangan lelaki yang dahulunya sihat.

Keadaan baru ini ditunjukkan oleh bengkak kelenjar linfa seluruh tubuh, infeksi opportunistik (selalunya radang paru-paru yang disebabkan oleh Pneumocystic carinii, mucosal candidiasis dan disseminated cytomegalovirus infection) dan Karposi sarcoma.

Pada bulan Jun 1981, penyakit ini telah menarik perhatian ramai pakar perubatan apabila Centers for Disease Control (CDC) melaporkan lima pesakit lelaki dari Los Angeles di dalam Morbidity and Mortality Weekly Report (MMWR). Selepas itu terdapat beberapa laporan dimana penyakit yang sama ditemui di kalangan lelaki homoseksual dan penagih dadah secara suntikan. Mereka-mereka ini menunjukkan sel T limfosit yang tidak bertindak balas dengan ransangan antigen dan mitogen (Sebagai pertahan utama tubuh, sel T limfosit akan menyerang semua bahan asing yang masuk kedalam tubuh samada ianya antigen atau mitogen). Beberapa lama selepas itu keadaan menjadi lebih jelas. Penyakit kurang daya tahan ini juga melibatkan beberapa kumpulan lain. Kumpulan berkenaan ialah pendatang dari kepulauan Haiti, pesakit hemofilia (sejenis penyakit keturunan dimana tubuh secara semula jadi memusnahkan sel darah. Oleh itu darah perlu diberikan kepada pesakit untuk terus hidup), penerima darah dan pasangan seks atau anak-anak kumpulan ini juga didapati mengidap penyakit yang sama.

Oleh itu sehingga pada masa berkenaan kumpulan-kumpulan dibawah didapati mengidap penyakit ganjil ini:

Kajian seterusnya menunjukkan, penyakit ini disebarkan atau diperolehi melalui hubungan seks dan pemindahan darah dengan orang-orang yang dijangkiti dan disyakki disebabkan oleh agen mikrob.

Memandangkan keadaan ganjil ini adalah baru dan tidak pernah dilaporkan didalam sejarah ilmu perubatan moden, ianya di gelar Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS)

Diantara tahun 1981 hingga 1983, beberapa agen mikrob telah ditemui dan dianggap penyebab penyakit AIDS ini. Pada tahun 1983, ahli-ahli sains dari Institut Pasteur Peranchis menjumpai sejenis retrovirus yang didapati daripada pesakit asimptomatik (tidak menunjukkan tanda atau simptom) yang mengalami lymphadenopathy (bengkak kelenjar linfa) seluruh badan dan tidak diketahui asal usulnya. Virus baru ini dinamakan LAV ( Lympadenopathy Associated Virus). Berlainan dengan retrovirus lain, virus ini didapati membunuh sel CD4 limfosit didalam kultur tisu. Pakar-pakar sains lain juga mengasingkan virus yang sama didalam pesakit AIDS dalam tahun 1984. Adalah jelas selepas itu bahawa virus ini adalah agen etiologi penyakit AIDS yang semasa itu ditemui di Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika Tengah. Virus tersebut seterusnya dinamakan Human Immunodefeciency Virus (HIV).

Pada tahun 1986, satu lagi virus ditemui yang hampir bersamaan dengan virus HIV yang ditemui pada tahun 1984. Ianya ditemui dikalangan penduduk Afrika Barat dan juga menyebabkan AIDS. Virus ini dinamakan HIV-2 dan virus yang ditemui pada tahun 1984 dinamakan HIV-1.

Sehingga sekarang AIDS didapati disebabkan oleh dua jenis virus yang hampir sama iaitu HIV-1 dan HIV-2.

 

AIDS : AGEN PENYEBAB( Virus HIV-1 dan HIV-2)

- Maaf, bahagian ini sangat teknikal.

Banyak hal-hal berkenaan penyakit AIDS yang masih kurang jelas. Diantaranya ialah sel apakah yang yang mula-mula diserang oleh virus HIV yang menyebabkan genjala seperti selsema diawal jangkitan?. Dibahagian manakah didalam badan yang mula-mula diserang oleh virus ini ( sel darah periferal, tisu limfa, tisu sel dendrit atau sumsung tulang)?. Apakah sel monoklonal CD4 yang diserang oleh virus berada didalam keadaan rihat atau tidak aktif?. Apakah faktor (faktor-faktor) yang menyebabkan keadaan klinikal pesakit menjadi AIDS?. Apakah kehilangan CD4 sahaja dapat menerangkan semua keadaan ini?.

Maklumat lanjut tentang virus juga menjadi masaalah kerana keadaan yang seakan-akan kelenjar limfa secara mikro sukar atau tidak boleh diadakan didalam kelalang kultur tisu. Walaupun begitu maklumat tentang virus HIV yang ada sekarang didapati dari kultur tisu atau dikiaskan berlaku didalam tubuh manusia dari analisa klinikal spesimen yang diperolehi dari pesakit yang seropisitif.

Virus HIV seperti retrovirus lain adalah virus RNA. Ianya memerlukan sejenis enzim yang dinamakan reverse transcriptase untuk menukar bentuk kepada DNA dan seterusnya membiak didalam sel tubuh manusia. Seperti retrovirus lain juga, virus HIV mempunyai bahan genetik group specific antigen yang dinamakan gag, polymerase (pol) dan envelope (env). Virus HIV-1 dan virus HIV-2 dibezakan oleh sejenis bahan genetik yang menghubungan pol dan env. HIV-1 mempunyai bahan genetik vpu, sementara HIV-2 mempunyai bahan genetik vpx.

Apabila virus HIV memasukki tubuh manusia, ia menyerang sel limfosit monoklonal CD4. Untuk menjadikan ianya berjaya hidup didalam tubuh manusia, virus ini misti melakukan satu proses yang dinamakan replication. Replication virus HIV hanya akan berjaya jika ianya dapat menghasilkan bahan progeni yang mengandungi:

 

AIDS: RIWAYAT HIV SECARA IN VIVO

- Maaf, bahagian ini sangat teknikal

Sepanjang abad lalu, pengentahuan lanjut didalam virologi, biologi sel, immunologi dan biologi molekular telah menyebabkan pemahaman lebih mendalam jangkitan HIV secara klinikal. HIV ditularkan dari seorang keseorang melalui darah dan hasil darah, cairan faraj, air mani tetapi tidak melalui hasil biologi yang telah diperoses seperti gamma globulin. Ianya juga boleh dijangkitkan dari ibu ke anak didalam kandungan, berkemungkinan besar semasa bersalin dan proses bersalin. Partner studies menunjukkan individu yang dijangkitan dan mempunyai tahap daya pertahanan tubuh yang teruk serta mempunyai kadar virus didalam badan yang tinggi mempunyai kemungkinan yang lebih besar menularkan jangkitan. Adalah dianggarkan kemungkinan jangkitan adalah 1 per 3 ke 4 untuk ibu ke anak, 1 per 100 ke 500 setiap hubungan seks secara liwat, 1 per 500 ke 1,000 untuk setiap hubungan seks lelaki-perempuan melalui faraj, 3 ke 4 per 1,000 setiap tusukan percutaneous darah yang dicemari.

Jangkitan primer virus HIV ditunjukkan dengan genjala sementara selalunya beserta dengan demam, bengkak kelanjar limfa, sakit tekak, ruam, sakit perut dan kadang-kadang genjala neulogi. Jika pemeriksaan darah dilakukan semasa ini, partikel virus dapat dikultur dan diasingkan. Selepas itu bilangan virus didalam tubuh berkurangkan dengan mendadak disertai oleh pembentukan antibodi kepada protin Gag dan Env. Keadaan ini selalunya berlaku didalam masa 2 hingga 4 minggu selepas genjala pertama. Bilangan virus semasa ini boleh menjadi begitu rendah sehingga tidak dapat di asingkan dari pesakit. Jangka masa latent ini dianggarkan selama 8 hingga 10 tahun. Adalah tidak dapat dipastikan kenapakah keadaan ini berlaku tetapi teori jangkitan virus herpes diketengahkan. Virus herpes simplex yang menyebabkan penyakit kayap juga hidup secara dormant didalam sel ganglia saraf manusia sehingga satu ketika dimana virus itu aktif dan menyebabkan penyakit. Virus herpes juga dikatakan akan berada didalam tubuh seseorang seumur hidup apabila dijangkiti.

 

AIDS : PENGESANAN

Memandangkan masa inkubasi yang panjang ( 8 hingga 10 tahun ), adalah tidak praktikal menunggu tanda-tanda klinikal penyakit untuk mengesahkan seseorang itu dijangkiti kuman HIV atau tidak. Secara teori bila seseorang dijangkiti virus HIV, kesan tindakbalas tubuh terhadap penyakit berlaku. Tindakbalas ini boleh dikesan dimakmal dengan melakukan pemeriksaan darah untuk mengesan antibodi terhadap virus HIV. Suatu teknik yang dinamakan Enzyme Link Immuno Assay (ELISA) digunakan. Pemeriksaan ini dijalankan dihampir seluruh dunia dan di semua pusat pengesanan HIV diseluruh Semenanjung Malaysia. Teknik ini sangat sensitif. Dengan menggunakan kaedah yang betul tahapnya ialah 99.99 peratus (Bermakna kaedah ini hanya gagal mengesan 1 kes bagi setiap 10,000 pesakit yang mempunyai kuman HIV).

Satu lagi ujian yang dijalankan dan juga mengesan kehadiran antibodi dinamakan Partical Agglutination (PA) digunakan. Cara ini didapati kurang sensitif daripada ELISA tetapi lebih spesifik. Ianya digunakan sebagai ujian kedua selepas sesuatu darah pesakit disahkan mempunyai antibodi dengan ujian ELISA.

Ujian Western Blot juga menggunakan kaedah pengesan kehadiran antibodi terhadap virus HIV. Ujian Western Blot (WB) hanya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IPP) di Malaysia. Ini kerana ujian WB memerlukan peralatan yang khusus dan keputusan hanya boleh dibaca oleh orang yang mahir sahaja. Ujian WB pada asasnya dijalankan dengan mengesan kehadiran env protin virus HIV didalam darah. Ujian WB digunakan sebagai ujian pengesahan kehadiran virus HIV.

Satu lagi ujian yang dijalankan ialah Polimerase Chain Reaction (PCR). Ujian ini mengesan kehadiran virus HIV dengan melihat virus berkenaan dan bukan antibodi terhadap virus seperti ketiga-tiga ujian diatas. Ujian PCR dijalankan untuk kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti HIV untuk mengesahkan kehadiran kuman HIV.

Secara umumnya seseorang pesakit akan menjalani:

Selepas doktor berpuas hati dengan semua keputusan ujian-ujian diatas, pesakit akan disahkan samada dijangkiti HIV atau TIDAK.

Memandangkan virus HIV sangat spesifik kepada manusia, ianya tidak dapat dibiakkan didalam tisu haiwan lain. Oleh itu pengesanan virus dengan menggunakan kaedah haiwan yang disuntik oleh serum pesakit yang mungkin dijangkiti virus tidak dijalankan. Walaunpun begitu kaedah kultur tisu ada digunakan didalam penyelidikan. Sepasukan pakar dari Universiti Kyoto, Jepun dapat membiakan virus HIV didalam monyet dengan melakukan sedikit perubahan struktur genetik virus berkenaan.

 

AIDS : TANDA KLINIKAL

Tanda-tanda klinikal AIDS bergantung kepada kriteria yang digunakan untuk mendiagnos AIDS.

Mengikut kriteria yang digunakan oleh Malaysia sekarang, tanda-tanda AIDS ialah :

i. Susut berat badan melebihi 1/3 dalam masa 1 bulan.

ii. Demam berpanjangan melebihi 1 bulan

iii. Cirit birit berpanjangan melebihi 1 bulan

iv. Batuk berpanjangan melebihi 1 bulan

v. Mendapat jangkitan kandidiasis oral

vi. Mendapat jangkitan 'Kaposi sarcoma'

vii. Mendapat jangkitan kayap yang kerap atau tidak sembuh

 

AIDS : RAWATAN

Tiada rawatan khusus untuk AIDS. Pengetahuan yang ada menunjukkan semua pesakit HIV akan berakhir dengan kematian.

Terdapat beberapa ubat yang dapat mengelakkan jangkitan oputunistik AIDS. Ubat-ubat ini secara teorinya dapat memanjangkan jangka hayat pesakit AIDS.

AZT adalah ubat yang mula-mula sekali dicuba terhadap pesakit AIDS. Secara teorinya AZT, sebagai penghalang enzim transcriptase, dapat menghalang virus HIV (sejenis virus DNA) menukarkan bahan genetik kepada DNA. Oleh itu ianya dapat menghalang pembiakan virus DNA. Maklumat yang ada sekarang menunjukkan AZT hanya dapat diberikan kepada orang tertentu sahaja. Mereka-mereka ialah yang mempunyai bilangan CD4+ kurang dari 400, ibu-ibu positif yang mengandung. Walaupun begitu AZT hanya didapati mempunyai kesan jangka pendik sahaja. Kesannya berkurangan semakin lama pesakit mengidap AIDS. Satu ujian klinikal mendapati pengambilan AZT dikalangan ibu mengandung dapat menggurangkan jangkitan HIV dari 30% ke 7%.

 

AIDS : VAKSIN

Maklumat yang ada menunjukkan vaksin AIDS berada diperingkat 'clinical trial' ( maklumat terakhir pada akhir 1995).

Beberapa masaalah besar berkenaan vaksin AIDS ialah:

i. Isu etikal. Adalah tidak etikal secara perubatan memberikan satu vaksin yang masih belum diketahui kesan nya kepada seseorang dan seterusnya mendedahkan orang berkenaan kepada penyakit merbahaya yang masih belum ada ubatnya (iaitu AIDS).

ii. Virus HIV. Adalah diketahui dengan jelas sekarang bahawa terdapat beberapa jenis virus HIV. Disamping terdapat 2 kumpulan besar iatu HIV-1 dan HIV-2, terdapat perbezaan susunan struktur genetik dikalangan HIV-1 sendiri (setiap ahli didalam kumpulan berbeza dinamakan clad ). Oleh itu virus HIV yang menyebabkan AIDS di Amerika tidak serupa dengan di Asia yang juga tidak sama dengan di Afrika. Oleh itu vaksin HIV hendaklah di bentuk untuk setiap clad yang berbeza ini.

iii. Calun. Sebagai sifat biologinya, vaksin digunakan untuk mencegah jangkitan. Oleh itu calun vaksin HIV adalah mereka-mereka didalam gulungan beresiko tinggi seperti penagih dadah secara suntikan, pelacur (dan pelanggannya) dan pengamal homoseks. Soalannya bilakan vaksin patut diberikan kepada gulungan ini. Memandangkan gulungan ini dianggap sebagai antisosial di sesetengah negara (juga di Malaysia), apakah pemberian vaksin kepada gulungan ini tidak disalah anggap sebagai menggalakkan kejadian antisosial.

Kembali Ke Laman Kesihatan Keluarga