Pra-Syarat Pengakuan Keimanan
Oleh Jamaal al-Din Zarabozo


Menerusi artikel di bawah, Saudara Jamaal al-Din Zarabozo mengupas secara terperinci Pra-Syarat Pengakuan Keimanan. Artikel in terbit dalam dua bahagian di dalam majalah Al-Basheer (Vol.7, No.5 Januari-Februari, 1994).    


Pra-Syarat La ilaha illa-llah 

Setiap Muslim mengetahui bahawa kunci kepada Syurga adalah kalimah, "Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah." Namun terlalu ramai Muslim yang dengan mudah bergantung kepada pernyataan ini dan percaya bahawa sekiranya mereka melafazkannya, tiada apa yang buruk akan menimpa mereka. Mereka merasakan mereka akan dianugerahkan dengan Syurga semata-mata kerana melafazkan kalimah Shahadah ini.    

Sebenarnya, memang tidak perlu dipersoalkan bahawa sekadar melafazkan, "Aku Menyaksikan Bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah dan Aku Menyaksikan Bahawa Muhammad itu Hamba Dan Rasul-Nya," adalah tidak memadai. Malah, orang-orang Munafiq juga telah melafazkan kalimah Shahadah dah Allah SWT menyatakan bahawa mereka ada pendusta dan akan menduduki Neraka yang paling dalam.    

Namun begitu, sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulamak, kalimah atau pernyataan ini adalah kunci Syurga. Wahb ibn Munabbih pernah ditanya, "Bukankan pernyataan la ilaha illa-llah itu kunci Syurga?" Beliau telah menjawab, "Benar, tetapi setiap kunci mempunyai mata-matanya. Sekiranya kamu datang dengan kunci yang mempunyai mata yang betul, pintu itu akan terbuka buatmu. Tetapi sekiranya anak kuncimu tidak mempunyai mata yang betul, pintu itu tidak akan terbuka untukmu." Maksudnya di sini, ada pra-syarat yang diperlukan. Pra-syarat inilah yang membezakan antara mereka yang mendapat manfaat daripada pernyataan mereka dengan mereka yang tidak mendapat manfaat tersebut, walau sebanyak mana sekalipun mereka membuat pernyataan tersebut.    

Sebelum membincangkan pra-syarat kalimah Shahadah, saya merasakan bahawa ada satu perkara yang perlu saya jelaskan. Ramai orang gemar mengambil satu hadith atau satu ayat dan kemudiannya, berpandukan satu ayat itu semata-mata, mereka akan membuat kesimpulan seperti, sesiapa yang melafazkan kalimah Shahadah akan memasuki Syurga. Sepatutnya kita semua sedar bahawa keseluruhan al-Quran dan hadith itu saling melengkapi dan menerangkan satu sama lain. Untuk menentukan kedudukan sebenar sesuatu persoalan, seseorang itu perlu mengambilkira semua ayat dan hadith yang berkenaan dan kemudian barulah menentukan apakah pandangan Islam yang sebenarnya mengenai perkara tersebut. Begitu jugalah dalam memahami pra-syarat pernyataan kalimah Shahadah itu.    

Sekiranya kita mengkaji ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa terdapat tujuh, lapan atau sembilan (bergantung kepada bagaimana kita melihatnya) syarat-syarat kalimah Shahadah. Adalah sangat penting untuk kita memastikan bahawa kita memenuhi syarat-syarat ini dalam kehidupan kita dan dalam pengakuan keimanan kita. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi syarat-syarat ini sebelum terlambat bilamana pengakuan keimanan kita tidak akan memanfaatkan kita lagi. Ianya bukanlah sekadar untuk mengajarkan syarat-syarat ini. Malah, tidak ada manfaatnya di situ melainkan kita semua memeriksa (muhasabah) akan diri kita dan memastikan bahawa kita memenuhi syarat-syarat tersebut semoga, dengan rahmat Allah SWT, pintu- pintu syurga akan terbuka untuk kita menerusi kunci la ilaha illa-llah kita.    
  



 Syarat yang pertama adalah Ilmu  
 Syarat yang kedua adalah Yakin  
 Syarat yang ketiga adalah penerimaan (al-qabool)  
 Syarat yang keempat ialah Penyerahan, Tunduk dan Patuh (al-inqiyad)  
 Syarat yang kelima adalah Jujur  
 Syarat yang keenam adalah Ikhlas  
 Syarat yang ketujuh adalah Cinta  
 Syarat yang kelapan adalah Menafikan Segala Yang Lain Yang Disembah  
 Syarat yang kesembilan adalah seorang Muslim itu mestilah Setia pada Shahadah itu sehingga ke akhir hayatnya  



Syarat yang pertama adalah Ilmu  

Seseorang mesti mempunyai ilmu asas dan am tentang apa yang dimaksudkan oleh kalimah Shahadah. Seseorang mesti memahami apakah yang ditegaskan oleh kalimah Shahadah dan apakah yang dinafikannya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidah ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu..." (Muhammad 47:19). Begitu juga sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang meninggal dunia mengakui bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah akan memasuki Syurga" (Riwayat Muslim).    

Sebenarnya, kalimah Shahadah itu adalah sebuah pengakuan ataupun ikrar. Apabila seseorang berikrar akan sesuatu, dia harus mengerti dan memahami tentang apa yang diikrarkannya itu. Jelas sekali, berikrar tentang sesuatu yang tidak diketahui (tidak mempunyai ilmu tentangnya) adalah tidak dapat diterima sama sekali. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "...melainkan orang yang mengakui yang hak dan mereka mengetahuinya" (al-Zukhruf 43:86).    

Syarat ini mungkin kelihatan begitu jelas. Sekiranya seseorang berkata kepadamu, "Tiada Tuhan Melainkan Allah," dan kemudian menjelaskan bahawa yang dimaksudkannya dengan Allah ada Isa, tentu sekali akan kita katakan padanya bahawa Shahadahnya itu karut. Maka bayangkanlah bahawa masih ada umat-umat Islam yang merayakan perayaan tahunan untuk "tuhan-tuhan (semangat) Laut" umpamanya! Namun begitu mereka berterusan menggelar diri mereka Muslim dan melafazkan kalimah Shahadah berkali-kali sehari. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak memahami langsung akan maksud Shahadah(pengakuan) itu sendiri. Adakah pada pemikiranmu, Shahadah sebegini akan membuka pintu-pintu Syurga untuk mereka?    

Pada hari ini, ramai Muslim yang hairan memikirkan mengapa kita tidak sepatutnya menerima sekularisma. Mereka memikirkan bahawa tiada apa yang salah dengan sekularisma! Ramai di antara mereka, malah, bersembahyang lima waktu sehari semalam dan melafazkan Shahadah berulangkali. Namun mereka tidak melihat apa-apa kesalahan dalam menerima Pemberi Undang-Undang selain Allah SWT. Shahadah (pengakuan) jenis apakah yang dilakukan oleh mereka ini?    

Setiap daripada kita mesti berusaha sedaya-upaya untuk belajar sekurang-kurangnya asas-asas keimanan dalam Islam. Dengan cara ini, Insha-Allah, kita akan membuat pengakuan Shahadah yang benar. Kita akan menyaksikan akan kebenaran sebagaimana kita sepatutnya menyaksikan akannya.    

 Kembali  



Syarat yang kedua adalah Yakin  

Ini adalah lawan kepada curiga dan ragu-ragu. Di dalam Islam, sebarang bentuk keraguan boleh membawa kepada Kufur or tidak beriman. Kita mesti, di dalam hati-hati kita, mempunyai keyakinan yang sepenuhnya akan kebenaran Shahadah itu. Hati-hati kita janganlah berdolak-dalik walau sedikitpun apabila kita menyaksikan akan kebenaran, "Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah."    

Allah SWT menggambarkan orang-orang yang beriman di dalam al-Quran sebagai mereka yang mempunyai keimanan kepada Allah dan hati-hati mereka tidak sedikitpun merasa ragu-ragu. Firman Allah SWT, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar" (Al-Hujuraat 49:15). Demikian juga, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak ada sesiapa yang bertemu dengan Allah dengan pengakuan bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan aku Rasul Allah, dan dia tidak mempunyai sedikit keraguanpun dengan kenyataannya itu, melainkan dia akan memasuki Syruga" (Riwayat Muslim).    

Sesungguhnya, Allah SAW menggambarkan para munafiq itu sebagai mereka yang hati-hatinya ragu-ragu. Contohnya, Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (untuk tidak menyertai Jihad), hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dah hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selau bimbang dalam keraguannya" (At-Taubah 9:45).    

Ramai ulamak telah menyatakan bahawa penyakit-penyakit hati itu, atau keraguan dan kecurigaan yang seseorang benarkan menempati hatinya, adalah lebih merbahaya kepada keimanan seseorang itu daripada nafsu dan keinginan. Ini adalah kerana nafsu-nafsu dan keinginan-keinginan itu boleh dihilangkan pada satu-satu masa. Kemudiannya, seseorang itu jelas mengetahui bahawa ianya telah berdosa lantas dia boleh mengawal dirinya, bertaubat dan meninggalkan amalan-amalan yang keji itu. Akan tetapi, keraguan dan kecurigaan akan terus menempati hati sseorang, tanpa apa-apa penawar, hinggalah seseorang itu meninggalkan Islam terus atau berterusan sebagai seorang Muslim, tetapi pada hakikatnya, hatinya masih tidak beriman sepenuhnya.    

Penawar yang paling mujarab untuk keraguan dan kecurigaan ini adalah dengan menuntut ilmu. Melalui ilmu-ilmu yang betul tentang al-Quran dan Sunnahlah kebanyakan daripada keraguan dan kecurigaan ini dapat dihilangkan. Melalui pengajian dan pemahaman, seseorang akan beroleh kepastian. Kemudiannya, dengan pengajian dan pembelajaran yang berterusan, kepastian seseorang itu akan bertambah kuat dan tegas.    

Saya akan berikanmu satu contoh tentang hakikat ini. Ianya berkenaan dengan segala keraguan, kecurigaan dan salah faham yang berleluasa tentang kesahihan hadith-hadith. Contonhnya, ada orang-orang Islam yang mengatakan bahawa hadith-hadith tidaklah dicatatkan sehingga sekurang-kurangnya 200 tahun selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW. Malah, terdapat ramai orang Islam yang mempunyai banyak keraguan terhadap hadith dan dengan pantas menolak hadith-hadith berlandaskan perkara ini. Sedangkan, pada kenyataannya, sekiranya seseorang itu memperuntukkan masa untuk mengkaji sejarah dan usaha menjaga hadith-hadith, beliau akan mendapati bahawa semua tuduhan-tuduhan terhadap hadith-hadith itu adalah tidak berasas sama sekali. Tuduhan-tuduhan tersebut hanyalah sekadar pendustaan yang lahir dari Syaitan dan ramai Muslim yang kurang pemahaman dan ilmunya telah membiarkan pendustaan ini menempati hati-hati mereka.    

Izinkan saya ulaskan sedikit lagi tentang syarat Yakin ini. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, keraguan dan salah faham adalah sangat merbahaya terhadap iman seseorang. Keraguan dan kecurigaan boleh membawa kepada murtad seperti yang dibincangkan sebelum ini. Oleh kerana itu, setiap Muslim mestilah berusaha sedaya-upaya untuk memelihara dirinya daripada keraguan sebegitu dan sentiasa menjauhkan dirinya dari sumber-sumber keraguan dan kecurigaan itu; lebih-lebih lagi sekiranya dirinya tidak mempunyai asas-asas keilmuan Islam yang kuat dan tidak mempunyai ilmu untuk menyanggah keraguan, kecurigaan dan salah faham tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu punya kenalan atau rakan, walaupun rakannya itu Muslim, yang sentiasa membuatkan beliau ragu-ragu akan Allah SWT dan agama ini, maka beliau harus menjauhkan diri daripada individu tersebut demi menjaga agama dan imannya. Ramai dari kalangan Muslim pada hari ini belajar kursus-kursus Islam yang diajar oleh para Orientalis dan disebabkan oleh latarbelakang keislaman mereka yang longgar, mereka dengan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara karut yang diajarkan oleh sesetengah daripada para Orientalis ini atas nama 'sains'. Begitu juga, ramai daripada umat Islam hari ini menghabiskan masa berjam-jam di dalam 'newsgroups' dan 'bulletin boards' menerusi komputer. Sekali lagi, dia yang cetek ilmu Islamnya akan dengan mudah terpengaruh dengan salah faham dan hujah-hujah palsu yang dibacanya dari sumber-sumber sedemikian. Beliau sepatutnya menjauhkan diri dari perkara-perkara sedemikian dan berusaha mendapatkan ilmu Islam yang mendalam menerusi sumber-sumber yang sahih tentang Islam. Sekali lagi, penawar yang paling mujarab untuk menghilangkan keraguan dan salah faham ini, setelah dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT, adalah ilmu yang mendalam dan kefahaman yang jelas tentang Islam. Apabila seseorang itu punya ilmu yang mendalam dan kefahaman yang jelas tentang Islam, beliau tidak akan terpengaruh dengan hujah-hujah yang palsu lagi lemah yang didatangkan oleh musuh-musuh Islam dan beliau, insha-Allah, akan menjadi dari kalangan yang digambarkan di dalam al-Quran, "...Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama" (Faathir 35:28).    

Kembali  



Syarat yang ketiga adalah penerimaan (al-qabool)  

Sekiranya seseorang itu telah mempunyai ilmu dan keyakinan akan Shahadah itu; ini mesti diikuti pula dengan penerimaan, dengan lidah dan juga hati, akan segala yang dituntut oleh Shahadah tersebut. Sesiapa yang enggan menerima Shahadah itu serta tuntutannya, walaupun dia mempunyai ilmu yang Shahadah itu benar dan yakin dengan kebenaran itu, maka dia adalah seorang yang tidak beriman (kafir). Keengganan untuk menerima itu mungkin disebabkan oleh rasa bongkak, irihati atau lain-lain. Walau apapun sebabnya, Shahadah itu bukanlah Shahadah yang sejati tanpa penerimaan yang tidak berbelah-bagi.    

Para ulamak semuanya mengulas tentang syarat ini secara am seperti yang telah saya nyatakan di atas. Akan tetapi, ia juga mempunyai perincian-perincian yang mesti kita sedari. Orang-orang yang beriman menerima dengan sepenuhnya segala tuntutan Shahadah itu. Ini juga bermaksud, mereka beriman dengan segala yang termaktub di dalam al-Quran atau yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, tanpa mempersoalkan hak untuk memilih apa yang ingin dipercayai dan apa yang ingin ditolak. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat" (al-Baqarah 2:85).    

Ini adalah satu aspek yang mesti disedari oleh orang-orang Islam. Walaupun ia tidaklah sama seperti penolakan sepenuhnya untuk menerima kebenaran, tetapi dengan menolak sebahagian daripada kebenaran yang datangnya daripada Allah SWT, seseorang itu juga telah menafikan penyaksian keimanannya.    

Malangnya, pada hari ini, ramai orang-orang Islam melakulan penolakan ini dengan pelbagai cara. Walaupun bukan semuanya boleh dikira sebagai murtad, perkara-perkara ini tetap sangat membahayakan. Contohnya, sekiranya mereka tidak menyukai apa yang dinyatakan oleh sepotong ayat di dalam al-Quran, mereka dengan mudah menafsir semula ayat tersebut agar sesuai dengan apa yang mereka sukai. Sekiranya mereka tidak menyukai apa yang dinyatakan oleh sebuah hadith, mereka lantas menyatakan bahawa hadith tersebut adalah tidak sahih walaupun mereka sebenarnya bukanlah ulama di dalam bidang tersebut. Perlakuan serta sikap sebegini adalah merupakan perlakuan dan sikap yang berlawanan dengan perlakuan dan sikap Muslim sejati. Apa-apa sahaja yang datang daripada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, seorang Muslim sejati akan beriman dengannya. Inilah sikap yang seiringan denga pengakuan keimanan.    

Kembali  



Syarat yang keempat ialah Penyerahan, Tunduk dan Patuh (al-inqiyad)  

Syarat ini bermaksud perlaksanaan Shahadah kita melalui amalan zahir tubuh badan. Malah, ini adalah merupakan satu daripada maksud terpenting perkataan Islam itu sendiri, "Tunduk dan patuh kepada kehendak dan perintah Allah." Inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, "Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)" (Az-Zumar 39:54).    

Allah SWT telah memuji mereka yang tunduk patuh kepada perintah-Nya melalui amalan mereka. Firman Allah SWT, "Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan..." (an-Nisa 4:125).    

Sebenarnya, jelas sekali Allah SWT telah menjadikan penyerahan (tunduk dan patuh) seseorang itu kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya sebagai satu syarat keimanan. Firman Allah SWT, "Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Rasulullah SAW) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak meresa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (an-Nisa 4:65)    

Malang sekali, terdapat kini banyak kenyataan-kenyataan bahawa tidak ada hubung-kait di antara iman dengan amalan. Malah kita boleh mendengar seorang Muslim mengata tentang seorang lagi, "Dialah orang Islam yang paling baik pernah saya temui.", sedangkan orang itu jarang sekali mengamalkan apa-apa amalan Islam. Pemahaman yang salah tentang keimanan ini telah menjalar dengan teruk ke segenap rantau Islam.    

Sepatutnya Shahadah atau pengakuan keimanan kita itu mesti dilaksanakan atau diterapkan di dalam hati, lidah dan amalan kita. Di dalam hati kita, kita mesti mencintai Allah SWT, takutkan Allah SWT dan pada masa yang sama menaruh penuh pengharapan kepada Allah SWT. Dengan lidah kita, kita mesti menyaksikan atau mengakui Shahadah itu. Dan akhir sekali dengan amal kita, kita mesti mengamalkan apa yang dituntut oleh pengakuan keimanan itu. Sesiapa yang mengaku dirinya Muslim akan tetapi tidak melaksanakan apa-apa amalan, bermakna dia tidak memahami apa itu Islam samasekali ataupun dia sendiri sebenarnya membuktikan bahawa pengakuan keimanannya itu bukan pengakuan keimanan yang benar dan sejati.    

Ini bukanlah bermakna seorang yang benar-benar beriman bebas samasekali daripada dosa. Sebenarnya, seseorang yang benar-benar beriman pun tidak bebas daripada dosa. Namun selagi mereka mengakui bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan ianya tidak seiring dengan kewajiban mereka tunduk dan patuh kepada Allah SWT, maka mereka tidaklah membatalkan kesempurnaan pengakuan keimanan atau pun Shahdah mereka. Namun, jangan dilupa, mereka tetap berdosa.    

Maka apakah tahap penyerahan yang minima yang dituntut daripada seseorang; yang sekiranya tidak ada pada tahap ini (sekurang-kurangnya) maka tidaklah layak pengakuan keimanan. Sekiranya diambil pandangan para ulama yang berpendapat bahawa meninggalkan sembahyang itu kufur, ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Sesiapa yang tidak melaksanakan sekurang-kurangnya sembahyang lima waktu sehari semalam maka dia telah melanggar had yang dapat diterima dalam kekurangan amalan. Sesungguh Allah Maha Mengetahui.    

Kembali  



Syarat yang kelima adalah Jujur  

Jujur adalah sebagai lawan kepada sikap berpura-pura (munafiq) dan tidak jujur. Ini bermakna apabila kita melafazkan kalimah Shahadah, kita melafazkannya dengan penuh kejujuran. Kita benar-benar bermaksud akan apa yang dilafazkan itu. Kita tidak menipu dalam soal pengakuan keimanan.    

Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada sesiapa yang mengaku bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah, dengan ikhlas dari hatinya, melainkan Allah menjadikan api neraka itu haram baginya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).    

Kita tentu mengetahui tentang mereka yang melafazkan kalimah Shahadah akan tetapi mereka tidak melakukannya dengan jujur. Mereka tidak mempercayainya, akan tetapi mereka hanya melafazkannya untuk menjaga keselamatan diri mereka ataupun untuk memperolehi apa-apa ganjaran. Mereka inilah golongan munafiq. Allah SWT telah menerangkan tentang golongan ini di dalam al-Quran seperti berikut, "Di antara manusia ada yang mengatakan, "Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yng beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkab mereka dusta" (al-Baqarah 2:8-10).    

Jelas sekali pengakuan Shahadah mereka yang menjadi Muslim semata-mata untuk memperolehi ganjaran duniawi dan bukan kerana mereka benar-benar percayakan Islam akan ditolak oleh Allah SWT di Hari Kebangkitan nanti. Mereka akan dihadapkan dengan azab yang pedih kerena penipuan mereka.    

Kembali  



Syarat yang keenam adalah Ikhlas   

Maksudnya, apabila kita membuat pengakuan Shahadah itu, kita mesti melakukannya semata-mata kerana Allah SWT. Kita tidak boleh melakukannya atas apa-apa sebab yang lain. Begitu juga kita tidak boleh melaksanakannnya kerana orang lain. Dalam soal ini, maksud ikhlas itu adalah lawan kepada Shirik ataupun menyekutukan Allah SWT. Kita menjadi Muslim dan berkekalan sebagai Muslim semata-mata kerana Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "...Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya" (az-Zumar 39:2). Allah SWT juga berfirman, "Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus." (al-Baiyyinah 98:5). Rasulullah SAW juga bersabda, "Allah telah mengharamkan api neraka ke atas sesiapa yang mengatakan, 'Tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah,' dan dia mengatakan begitu mengharapkan wajah [dan keredhaan] Allah." (Riwayat Muslim).    

Ini adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan terutamanya, mereka yang dibesarkan di dalam keluarga Muslim dan dilahirkan sebagai seorang Islam. Kita mesti benar-benar jelaskan kepada diri kita bahawa kita menjad Muslim semata-mata kerana Allah SWT. Kita bukan menjadi Muslim demi ibubapa kita, rakan-rakan, keluarga ataupun masyarakat. Ia mestilah benar-benar jelas dalam pemikiran kita bahawa kita adalah Muslim semata-mata kerana Allah SWT.    

Namun, sesekali kita akan terfikir sama ada syarat ini dipenuhi oleh kebanyakan orang. Sesetengah orang dari rantau Islam hanya melaksanakan Islam sekadar yang memuaskan hati keluarga mereka. Sekiranya ada apa-apa di dalam Islam yang tidak disukai oleh keluarga mereka (walaupun sebenarnya keluarga mereka juga Muslim lantas perlu menyukai Islam keseluruhannya), lantas mereka tidak melaksanakan aspek Islam tersebut. Salah satu contoh yang biasa adalah dalam soal pergaulan lelaki dan perempuan. Kadang-kadang, seseorang itu tidak akan bergaul secara bebas dengan lelaki/perempuan yang bukan mahramnya. Akan tetapi, apabila dia pulang ke rumah dan keluarganya tidak menyukai sikap sedemikian, maka mereka dengan mudah meninggalkan tuntutan Islam tersebut demi ibubapa dan keluarga. Orang-orang sebegini harus bertanya dengan ikhlas pada diri mereka, mengapa mereka seorang Muslim. Adakah mereka Muslim demi ibubapa mereka lantas mereka lakukan apa yang ibubapa mereka sukai dan tinggalkan apa yang ibubapa mereka tidak sukai? Ataupun, adakah mereka Muslim demi Allah SWT lantas apa yang Allah sukai mereka lakukan dan apa yang Allah tidak sukai mereka tinggalkan?    

Kembali  



Syarat yang ketujuh adalah Cinta  

Maksudnya di sini, seorang yang beriman mesti mencintai Shahadah itu, perasaan cinta (kesukaan) nya mesti lah berlandaskan Shahadah, dia mencintai tuntutan dan kesan-kesan Shahadah dan dia juga mencintai mereka yang beramal dan bekerja keras demi Shahadah ini. Ini adalah syarat yang mesti ada di antara syarat-syarat Shahadah. Sekiranya seseorang itu membuat pengakuan Shahadah tetapi tidak mencintai Shahadah itu dan apa yang dimaksudkannya, maka sebenarnya imannya tidaklah sempurna. Ini bukanlah keimanan yang sejati. Malah sekiranya dia mencintai sesuatu lebih daripada Shahadah ini ataupun dia mencintai sesuatu lebih dari Allah SWT, maka dia telah batalkan Shahadahnya itu. Orang yang benar-benar beriman, yang memenuhi semua syarat-syarat Shahadah itu tidak akan meletakkan sesuatu apapun setaraf dengan Allah dari segi cintanya.    

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah..." (al-Baqarah 2:165). Dan di bahagian lain Allah SWT berfirman, "Katakanlah: 'Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara- saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.' Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik." (at-Taubah 9:24). Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesiapa yang mempunyai tiga sifat ini telah merasai kemanisan iman. [Yang pertama] adalah bahawa dia mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada dia mencintai sesuatu yang lain...." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).    

Ini adalah salah satu daripada aspek yang terpenting di dalam Islam, namun, atas sebab-sebab tertentu, ianya tidak wujud di dalam kehidupan ramai orang Islam. Mereka melaksanakan sesuatu di dalam Islam seolah-olah Islam itu merupakan satu tugasan bukannya atas rasa cinta kepada Allah SWT. Apabila Allah SWT memerintahkan kita supaya melakukan sesuatu, seperti menjadi saksi kepada keimanan itu, kita mesti menyedari bahawa perkara itu adalah disukai oleh Allah SWT, lantas atas perasaan cinta kita kepada Allah SWT, kita sepatutnya berasa sangat gembira untuk melaksanakan amalan yang disukai oleh Allah SWT. Akan tetapi, seperti yang telah saya katakan, perasaan ini semakin menghilang daripada ramai orang-orang Islam masa kini.    

Kembali  



Syarat yang kelapan adalah Menafikan Segala Yang  Lain Yang Disembah  

Walaupun ianya sangat jelas menerusi perkataan-perkataan di dalam kalimah Shahdah itu, ia masih kelihatan tidak jelas kepada kebanyakan orang yang membuat pengakuan Shahadah ini. Oleh itu, saya akan membincangkannya di sini.    

Di dalam surah al-Baqarah, Allah SWT telah mengingatkan kita dengan jelas akan aspek Shahadah yang penting ini. Shahadah itu bukanlah semata-mata suatu Pengakuan tetapi ia adalah kedua-duanya, Pengakuan dan Penafian. Firman Allah SWT, "...Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut (Syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah SWT) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus..." (al-Baqarah 2:256). Malah Rasulullah SAW juga menjelaskan perkara ini apabila baginda menyatakan "Sesiapa yang mengatakan bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan menafikan segala yang disembah melainkan Allah, maka harta dan jiwanya dijaga dan perhitungan adalah dengan Allah" (Riwayat Muslim).    

Walaupun syarat ini sepatutnya jelas sekali kepada sesiapa yng melafazkan kalimah Shahadah, kita masih boleh melihat Muslim yan melafazkan kalimah Shahadah tetapi kemudiannya melakukan amalan yang termasuk dalam maksud penyembahan untuk sesuatu selain daripada Allah SWT. Kita boleh melihat mereka pergi ke kubur-kubur dan menyembah penghuninya. Mereka akan melaksanakan amalan-amalan peribadatan, bukan untuk Allah SWT, tetapi untuk 'wali-wali' yang telah meninggal dunia itu. Shahadah jenis apakah yang dibuat oleh mereka ini? Adakah Shahadah mereka akan bermakna di Hari Perhitungan selagi mana mereka percaya bahawa amalan peribadatan boleh dilaksanakan untuk selain daripda Allah SWT?    

Kembali  



Syarat yang kesembilan adalah seorang Muslim itu mestilah Setia pada Shahadah itu sehingga ke akhir hayatnya  

Ini adalah satu kemestian untuk Shahadah itu bermakna kepadamu di akhirat nanti. Kita tidak boleh bergoyang kaki dan berharap pada apa yang kita lakukan pada masa lalu. Tidak, malah, Shahahdah itu mestilah menjadi panji dirimu sehinggalah kematianmu. Rasulullah SAW telah bersabda,"Seorang lelaki menghabiskan masa yang lama dengan melakukan amalan-amalan ahli Syurga dan kemudiannya dia dia menamatkan amalannya dengan amalan ahli Neraka. Dan seorang lelaki menghabiskan masa yang lama dengan melakukan amalan-amalan ahli Neraka dan kemudiannya dia dia menamatkan amalannya dengan amalan ahli Syurga" (Riwayat Muslim). Dalam Hadith yang lain Rasulullah SAW telah bersabda,"Demi Dia yang tidak ada Tuhan melainkan-Nya, seorang dari kamu melakukan amalan-amalan Syurga sehingga hanyalah sedepa diantara dia dan Syurga dan kemudiannya buku itu [qada' dan qadar] menentukannya dan dia melakukan amalan-amalan ahli Neraka dan diapun memasukinya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).    

Dan Firman Allah SWT di dalam al-Quran, "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam" (ali-'Imran 3:102).    

Kembali 



Saudara-saudaraku sekalian, inilah syarat-syarat Shahadah itu. Ini adalah aspek-aspek Shahadah yang perlu setiap dari kita lihat dalam diri kita dan bertanya pada diri kita, "Adakah Shahadahku memenuhi syarat-syarat dan tuntutan-tuntutan ini? Adakah aku melafazkannya dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan rasa cinta pada Allah SWT? Adakah aku melafazkannya berdasarkan maksudnya yang sebenar? Adakah aku benar-benar menafikan thaghut?...."    

Soalan-soalan ini perlu kita tanyakan pada diri kita sekarang, sebelum kita dihadapkan di hadapan Allah SWT. Insha'Allah, kita tanyakan soalan-soalan ini pada diri kita dan semoga kita mendapat semua jawapan yang tepat. Ataupun, jika kita melihat apa-apa kelemahan, kita akan berusaha untuk menghilangkan kelemahan itu. Mudah-mudahan, dengan rahmat Allah SWT, di hari akhirat nanti, Shahadah kita akan menjadi kunci-kunci kita ke Syurga dan pintu-pintu Syurga akan terbuka luas untuk kita dan kita dapat hidup selama-lamanya dalam kenikmatan yang Allah SWT kurniakan di Syurga, dan Allah SWT redha akan kita.    

Sekali lagi, soalnya bukanlah kita sekadar mengetahui akan syarat-syarat ini. Malah, kita boleh bertemu dengan ramai Muslim yang menghafal syarat-syarat ini, akan tetapi apibila dilihat akan amalan dan sikap mereka, jelas sekali syarat-syarat ini tidak membuahkan apa-apa kesan ke atas mereka. Ini bermakna, tidak kira sebaik mana dia mengetahui dan menghafal akan syarat-syarat ini, dia sebenarnya belum menyempurnakannya. Sesungguhnya, pengetahuannya itu akan menjadi saksi ke atasnya nanti kerana dia jelas sekali mengetahui akan syarat-syarat yang mesti disempurnakannya akan tetapi dia telah tidak menyempurnakannya semasa hidupnya.  



01/05/98 Abu Aqeedah