Jurnal Keningau

Analisis Kesilapan Bahasa

KESILAPAN EJAAN MURID TAHUN 6 SEKOLAH KEBANGSAAN BULU SILOU, KENINGAU

oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak

PENDAHULUAN

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyediakan 15 markah (60%) untuk lima komponen bahasa iaitu perbendaharaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, penggunaan tanda baca dan ejaan. Setiap komponen diperuntukkan tiga markah. Setengah markah boleh dipotong bagi setiap kesalahan dalam komponen penggunaan imbuhan, penggunaan tanda baca dan ejaan. Ini bermakna calon boleh kehilangan tiga markah (12%) bagi komponen ejaan. Sudah tentu calon yang lemah mengeja sukar mendapat markah yang baik.

Penulis berkesempatan memeriksa sejumlah karangan pelajar tahun enam yang menyertai beberapa projek bimbingan, termasuk sekolah Angkat Maktab Perguruan (SAMP), anjuran Maktab Perguruan Keningau sejak beberapa tahun yang lalu. Penulis mendapati sebahagian besar calon kehilangan banyak markah bagi komponen ejaan. Hal ini mendorong penulis melakukan beberapa analisis. Satu daripadanya adalah analisis kesilapan ini.

TUJUAN

Kajian ini bertujuan mengesan kekerapan dan bentuk-bentuk kesilapan ejaan 10 patah perkataan terpilih. Perkataan-perkataan itu terdiri daripada perkataan umum iaitu "dada", "daerah" dan "berdarah"; perkataan yang menggunakan kata depan "di" dan "ke" ("di sana" dan "ke sempadan"), perkataan menggunakan imbuhan "di-" ("disebabkan"), perkataan yang ditulis bersama partikel "pun" ("emak pun"); dan kata majmuk iaitu "ibu bapa", "walau bagaimanapun" dan "tanggungjawab".

Secara umum murid dijangka menghadapi masalah menulis perkataan pada akhir suku kata. Bagi kelompok perkataan "dada", "daerah" dan "berdarah" mereka mungkin menghadapi masalah dari segi penggunaan huruf "h". Mereka juga dijangka menghadapi kesukaran mengeja perkataan berimbuhan, kata depan, partikel "pun" dan kata majmuk yang akan diimlakkan.

Data yang diperoleh akan dijadikan bahan perbincangan kuliah analisis kesilapan kursus Diploma Perguruan Malaysia (DPM), Semester 3. Selain itu, dapatan kajian ini boleh dimanfaatkan oleh guru untuk mengubahsuai kaedah dan teknik pengajaran dan menyediakan sumber pengajaran yang sesuai dengan masalah pelajar. Dapatan kajian boleh juga digunakan oleh mereka yang berkaitan untuk membantu pelajar meminimumkan kesilapan ejaan dalam karangan UPSR.

Kajian ini ditumpukan pada kesilapan ejaan sahaja. Pelbagai kesilapan penulisan huruf tidak dibincangkan.

TEKNIK IMLAK

Lazimnya data kesilapan bahasa, termasuk ejaan, diperoleh daripada karangan pelajar (Raminah, 1982:168--219 dan Azman Wan Chik, 187:212). Data juga boleh diperoleh daripada rakaman pertuturan, meminta pelajar mengesan kesilapan dalam petikan (Koh Boh Boon, 1989:306—314), soal selidik dan temu bual dengan sasaran. Penggunaan teknik imlak untuk mengumpul data kesilapan tidak biasa digunakan, walaupun teknik ini memang kerap digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Imlak (dictate) bermaksud pembacaan dengan suara yang lantang sesuatu sumber (perkataan, frasa, ayat) untuk ditulis oleh orang lain. Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah 1995 menggunakan istilah imlak bagi menggantikan istilah rencana yang digunakan dalam sukatan pelajaran sebelumnya kerana perkataan rencana mempunyai banyak makna dan boleh mengelirukan para pendidik.

Pengimlakan melibatkan dua kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran menulis secara mekanis. Menulis secara mekanis dalam imlak ialah menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat atau wacana. Penyalinan bahan bercetak yang dilihat dengan mata tidak dianggap imlak kerana tidak melalui media pendengaran.

Terdapat satu sahaja kemahiran khusus tentang imlak dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah 1995 iaitu kemahiran 3.29 Imlak (mengambil rencana). Kemahiran ini berupa rumusan semula tiga kemahiran dalam sukatan pelajaran lama iaitu menulis rencana daripada bahan yang diperdengarkan, menulis perkataan-perkataan yang direncanakan, dan menulis ayat yang direncanakan.

Banyak kemahiran lain yang terdapat dalam sukatan pelajaran sekolah rendah berkaitan dengan kemahiran imlak. Antara kemahiran itu ialah 3.6 Menulis huruf menjadi suku kata, 3.8 Menulis perkataan yang mudah, 3.9 Menyalin ayat yang mudah, dan 3.10 Menggunakan tanda baca (termasuk penggunaan huruf). Kemahiran-kemahiran ini terdapat dalam kelompok kemahiran menulis secara mekanis. Kemahiran-kemahiran ini boleh dilaksanakan bersama dengan kemahiran 3.29. Pengimlakan dalam kajian ini menepati kemahiran 3.29 dan 3.8 di atas.

PENGUMPULAN DATA

Pengimlakan dilakukan di S.K. Bulu Silou pada 21 Jun 1997. Seramai 55 orang murid tahun enam menyertai pengimlakan ini. Persediaan fizikal (persekitaran, tempat menulis, kertas dan alat tulis) telah diberi perhatian yang sewajarnya. Penulis dibantu oleh dua orang guru sekolah.

Penerangan tentang prosedur pengimlakan telah diberikan. Antara arahan yang telah diberikan ialah seperti yang berikut:
 

  • Kamu dikehendaki menulis sepuluh patah perkataan.

  • Setiap perkataan akan dibacakan dua kali. Pembacaan akan dilakukan dengan suara yang jelas dan dengan kadar kecepatan yang sesuai.

  • Setelah kesemua 10 patah perkataan itu selesai dibacakan, kamu akan diberi masa beberapa minit untuk melakukan semakan secara bersendirian.

  • Kemudian, kesemua 10 patah perkataan itu akan dibacakan sekali lagi sebagai panduan bagi kamu melakukan semakan kali kedua.

Pengimlakan dua patah perkataan telah didemonstrasikan. Pengimlakan sebenar hanya dimulakan apabila murid menyatakan sebutan, kejelasan suara dan kadar kecepatan pengimlak sesuai untuk mereka. Sampel hasil demonstrasi pengimlakan diterakan di papan tulis. Beberapa kemungkinan varian ejaan juga dibincangkan. Murid juga diberitahu bahawa mereka boleh menggunakan huruf kecil sahaja atau huruf pertama huruf besar dan huruf-huruf yang lain huruf kecil. Sebagai motivasi, dinyatakan bahawa setiap perkataan yang betul ejaannya akan diberi satu markah. Perkataan yang tersilap ejaannya, walaupun sedikit sahaja, tidak akan diberi markah. Oleh itu mereka diminta berhati-hati dan melakukan semakan apabila diminta berbuat demikian.

Murid juga diberitahu bahawa hasil aktiviti ini akan dianalisis. Dapatan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, khususnya guru mata pelajaran Bahasa Melayu, untuk membaiki prestasi ejaan mereka dan rakan-rakan.

KEKERAPAN KESILAPAN

Jadual 1
Kekerapan Kesilapan Ejaan Murid Tahun 6 S.K. Bulu Silou, Keningau

Bil.  

Perkataan

Kekerapan

Peratus

1. 

dada

46

84%

2.

ke sempadan

38

69%

3.

walau bagaimanapun

38

69%

4.

disebabkan

35

64%

5.

tanggungjawab

28

51%

6.

daerah

25

45%

7.

emak pun

16

29%

8.

di sana

15

27%

9.

berdarah

15

27%

10.

ibu bapa

11

20%

Purata

25

46%

Perkataan "dada", "daerah" dan "berdarah" termasuk dalam kelompok umum. Perkataan "dada" mencatat kesilapan tertinggi dalam kelompoknya dan secara keseluruhan. Seramai 46 orang (84%) gagal mengejanya. Varian tertinggi bagi perkataan ini ialah "dadah". Seramai 43 orang murid (78%) menambah huruf "h" pada perkataan ini. Perlakuan mereka menyebabkan "dada" menjadi "dadah". Varian lain bagi "dada" ialah "dadak" (1), "deraha" (1) dan "baba" (1). Perkara yang berlawanan berlaku pada perkataan "daerah". Sembilan orang murid menggugurkan huruf "h" pada akhir perkataan ini mewujudkan varian "daera" (2), "dahara"(2), "dahera" (1), "dahira" (1), "deraha" (1), "daraha" (1) dan "derara" (1). Pengguguran huruf "h" berlaku juga pada perkataan "berdarah". Tujuh orang murid berbuat demikian mewujudkan varian "berdara" (4) dan "ber dara"(3).

Analisis kelompok kata ini membuktikan bahawa purata 33 orang murid (60%) belum mahir menggunakan huruf "h" pada perkataan yang pola suku katanya KV-KV (V = a – a), KV-V-KVK dan KV-KVK. Data yang diperoleh juga menunjukkan beberapa orang murid masih tidak dapat membezakan konsonan /b/ dengan /p/ dan /d/ dengan /b/.

Perkataan "ke sempadan", "disebabkan" dan "di sana" termasuk dalam satu kelompok iaitu kata depan dan imbuhan. Bagi perkataan "ke sempadan" 31 orang murid (56%) merapatkan kata depan "ke" dengan perkataan "sempadan", mewujudkan varian "kesempadan". Ini merupakan kesilapan tertinggi dalam kelompoknya dan varian kedua tertinggi secara keseluruhan. Demikian juga dengan perkataan "di sana". Seramai 14 orang murid merapatkan kata depan "di" dengan perkataan "sana" mewujudkan varian "di sana" (13) dan "disanah" (1). Sebaliknya, imbuhan "di-" (dalam apitan "di- … -kan") telah dijarakkan dengan kata yang mengikutinya. Seramai 22 orang murid (40%) berbuat demikian.

Analisis ini membuktikan, purata 29 orang murid (53%) silap mengeja ketiga-tiga patah perkataan dalam kelompok kata depan dan imbuhan. Daripada jumlah itu, purata 25 orang murid (45%) tidak dapat membezakan pengejaan kata depan "di" dengan imbuhan "di-".

Perkataan "emak pun" termasuk dalam kelompok yang tersendiri. Hasil pengimlakan ialah 16 orang murid (29%) silap mengejanya. Sembilan orang murid melakukan kesilapan minimum yang dijangkakan iaitu "pun" dirapatkan dengan perkataan "emak". Tujuh orang murid lagi menghasilkan enam varian yang mungkin berpunca daripada pelbagai sebab, terutama yang berkaitan dengan pendengaran.

Tiga perkataan yang terakhir iaitu "ibu bapa", "walau bagaimanapun" dan "tanggungjawab" tergolong dalam kelompok kata majmuk. Dalam kelompok ini, dan daripada kesemua perkataan yang lain, "ibu bapa" mencatat kesilapan yang terendah iaitu cuma 11 orang (20%) gagal mengeja perkataan itu. Varian yang terhasil juga paling sedikit iaitu dua sahaja–"ibubapa" (9) dan "ibu-bapa" (11). Namun demikian, kesilapan yang sedikit ini tidak boleh menjadi bukti bahawa murid kurang menghadapi masalah dalam pengejaan kata majmuk.

Dalam kelompok ini "walau bagaimanapun" mencatat kesilapan tertinggi dan kedua tertinggi secara keseluruhan iaitu 38 orang murid (69%) gagal mengejanya. Kadar kesilapan ini sama dengan kesilapan perkataan "ke sempadan". Namun begitu, berbanding dengan "ke sempadan" yang menghasilkan lapan varian, "walau bagaimanapun" menghasilkan jumlah varian terbanyak, iaitu 14 varian, sama dengan jumlah varian perkataan "daerah". Lima varian berkaitan dengan masalah jarak sahaja iaitu "walau bagai mana pun" (11), "walau bagaimana pun" (11), "walaubagaimana pun" (2), "walaubagaimanapun" (2) dan "walaubagai mana pun" (1). Varian yang lain mengandungi gabungan masalah jarak, kesilapan pada perkataan "walau" dan "bagaimana".

Perkataan "tanggungjawab" mencatatkan kesilapan kedua tertinggi dalam kelompok ini dan kelima tertinggi secara keseluruhan. Seramai 28 orang murid (51%) gagal mengeja perkataan ini. Kesilapan yang sangat nyata ialah perkataan "tanggung" dijarakkan daripada perkataan "jawab". Kesilapan yang jelas juga ialah penggantian konsonan /b/ menjadi /p/ dalam perkataan "jawab".

Analisis ini membuktikan purata 26 orang murid (45%) menghadapi masalah mengeja kata majmuk. Ini merupakan kelompok ketiga tertinggi. Kebanyakan murid keliru dari segi penggunaan jarak antara perkataan, dan antara partikel "pun" dengan perkataan sebelumnya.

Berdasarkan analisis ini, boleh dirumuskan tingkat masalah pengejaan yang dihadapi terhadap empat kelompok perkataan yang diimlakkan. Masalah utama ialah murid keliru dari segi penggunaan konsonan "h" dalam perkataan umum (60%). Ini diikuti dengan penggunaan kata depan/imbuhan (53%), penulisan kata majmuk (45%) dan penggunaan partikel "pun"(29%). Secara purata dari segi suku kaum, kaum Murut melakukan kesilapan tertinggi (5.0), diikuti oleh kaum-kaum lain (4.6) dan suku kaum Dusun (4.4). Purata kesilapan ialah 4.6.

REFLEKSI

Data  telah dibincangkan oleh 19 kelompok kecil dalam bilik kuliah. Mereka terdiri daripada guru pelatih DPM, Semester Ketiga dan guru terlatih yang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Khas Pengkhususan Matematik (KDPK-MAT), Semester Pertama. Perbincangan dilakukan setelah mereka sendiri mengalami pengimlakan perkataan yang sama tetapi keputusan pengimlakan itu (lihat Jadual 2) belum diumumkan kepada mereka.

Antara lain, mereka berpendapat kesilapan pengejaan, khususnya yang berkaitan dengan penambahan atau pengguguran huruf "h", memang sering berlaku di Negeri Sabah. Perkara ini berlaku kerana murid terpengaruh dengan dialek bahasa ibunda. Ada juga kemungkinan guru sendiri menggunakan sebutan yang salah. Murid-murid tertentu mungkin menghadapi masalah pendengaran, termasuk lemah membezakan bunyi yang hampir sama.

Beberapa kelompok diminta menjawab soalan ini: Adakah ahli kelompok anda menghadapi masalah yang sama dengan murid S.K. Bulu Silou?

Umumnya mereka mengakui bahawa mereka juga menghadapi masalah yang sama dengan murid-murid sekolah itu. Hal ini berlaku kerana kesilapan pendengaran. Ketika diimlakkan, mereka kurang pasti sama ada sesuatu ejaan ini betul atau salah, patut dirapatkan atau dijarakkan. Mereka mengakui bahawa, mereka juga masih terpengaruh dengan bahasa ibunda.

Beberapa kelompok diminta menjawab soalan: Jika 10 bahan ini diimlakkan kepada kelas anda, apakah keputusan yang anda jangkakan?

Antara jawapan yang diterima adalah seperti yang berikut:

  • Kemungkinan 100% ahli kelas kami akan dapat mengeja dengan betul. Sebabnya, semua perkataan yang diberikan tidak asing bagi kami. (Kelompok Khairul, DPM-PAPM)

  • Kemungkinan kami akan salah mengeja "ibu bapa" dan "emak pun". Pada masa lalu begitulah ejaan kami. Kami tidak mengetahui perkembangan terkini. (Kelompok Azman, KDPK-MAT)

  • Kesilapan tetap akan berlaku walaupun beberapa kali dibetulkan. Hal ini berlaku kerana pengaruh dialek tempatan… dan kebiasaan dalam institusi keluarga. (Kelompok Mourin, DPM-SNPM)

Bolehkah guru terlatih menyelesaikan masalah ini? Mampukah guru pelatih DPM menangani masalah ini? Penulis cuba menjawab soalan ini dengan mengimlakkan perkataan yang sama kepada 84 orang guru pelatih DPM Semester Ketiga dan 11 orang guru terlatih dari 11 buah sekolah rendah di daerah Keningau. Pengimlakan kepada tiga kumpulan guru pelatih dilakukan secara berasingan dalam bulan Julai 1997. Pengimlakan kepada 11 orang guru itu dilakukan pada 30 Jun 1997 semasa mereka mengikuti satu bengkel peningkatan keterampilan sebagai guru Bahasa Melayu di Kundasang, Ranau. Guru-guru ini merupakan kelompok terpilih yang diharapkan dapat membantu mempertingkatkan prestasi Bahasa Melayu UPSR di sekolah mereka.

Jadual 2
Perbandingan Kekerapan Kesilapan Murid, Guru Pelatih dan Guru (Peratus)

Bil.

Perkataan

Murid (55)

Guru Pelatih (84)

Guru (11)

1.

dada

84%

8%

64%

2.

ke sempadan

69%

1%

9%

3.

walau bagaimanapun

69%

24%

36%

4.

disebabkan

64%

1%

18%

5.

tanggungjawab

51%

7%

18%

6.

daerah

45%

0%

0%

7.

emak pun

29%

20%

27%

8.

di sana

27%

4%

9%

9.

berdarah

27%

0%

0%

10.

ibu bapa

20%

27%

37%

Purata (Kekerapan)

25

7.9

2.3

Purata (Peratus)

46%

9%

21%

Berdasarkan Jadual 2, guru pelatih DPM dapat diharapkan untuk mengatasi masalah murid. Mereka masih mempunyai masa yang agak panjang untuk mempertingkatkan kemahiran. Berdasarkan Jadual 2 juga, guru terlatih berkemungkinan menjadi pagar makan padi. Oleh itu sesuatu tindakan untuk membaiki keadaan ini perlu dilakukan.

PENUTUP

Kajian ini menunjukkan perlakuan yang dijangkakan terhadap 10 patah perkataan yang diimlakkan itu nyata benar. Purata 4.6 kesilapan bagi setiap murid dapat dianggap tinggi. Purata kesilapan berdasarkan suku kaum menunjukkan suku kaum Murut melakukan kesilapan yang tertinggi. Hal ini berlaku mungkin kerana jumlah murid Murut cuma enam orang sahaja. Kadar itu dijangka berubah jika jumlah murid ramai.

Diharap dapatan kajian ini akan mendorong guru Bahasa Melayu di sekolah, khususnya di Keningau, untuk melaksanakan kajian yang serupa. Teknik imlak memang berkemampuan menjadi kaedah pengumpulan data yang mudah dilaksanakan dan mudah diproses. Masalah spesifik yang telah dikenal pasti melalui kajian seperti ini boleh membantu guru merancang tindakan yang sesuai. Dengan demikian diharapkan prestasi UPSR sekolah dapat ditingkatkan.

 

BIBLIOGRAFI

  1. Ajid Che Kob, 1987. "Pengaruh Dialek dalam Pembelajaran Bahasa Malaysia Standard di Kalangan Pelajar-pelajar" dalam Abdullah Hassan, Hasnah Ibrahim dan Mashudi Kader (ed.), 1987. Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 490—505.

  2. Awang Sariyan, 1995. Siri Dialog Bahasa II: Konsep Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  3. Azman Wan Chik, 1987. "Kesilapan Penggunaan Bahasa Malaysia oleh Murid-murid Melayu (Satu Kajian) dalam Abdullah Hassan, Hasnah Ibrahim dan Mashudi Kader (ed.), 1987. Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 208—230.

  4. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981. Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  5. Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995. Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah: Bahasa Melayu 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  6. Koh Boh Boon ( ed.), 1989. Perspektif-Perspektif dalam Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  7. Mohd. Isa Abd. Razak, 1997. "Pemarkahan Karangan Sekolah Rendah". Maktab Perguruan Keningau, 1997. Kertas kerja Bengkel Peraturan Memberi Markah UPSR Zon Pegalan di PKG Keningau, 24 Mei 1997.

  8. Nik Safiah Karim et. al., 1996. Tatabahasa Dewan. Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  9. Raminah Hj. Sabran, 1982. "Analisis Kesilapan Bahasa dan Kajian-Kajian yang Berkaitan dengannya" dlm. Azman Wan Chik (ed.) Trend-Trend Baru dalam Bidang Pendidikan Bahasa. Kuala Lumpur: Utusan Publication, hlm. 168—219.

©JPMMPKS, 2004

1