|
Setelah membuat kajian, saya mendapati kebanyakan pakar memberi
definisi ayat dan frasa dengan menggunakan gaya bahasa yang tersendiri
tetapi tetap menghala ke arah maksud yang sama. Contohnya ialah Za’aba.
Beliau menggunakan gaya bahasa klasik yang sesuai dengan gaya pemikiran pada
zamannya. Penerangannya berjela-jela dan agak sukar difahami jika dibaca
sepintas lalu. Lutfi Abas pula memberi definisi yang ringkas, padat dan
ilmiah. Menurut beliau, ayat adalah suatu bentuk linguistik yang dapat
berdiri sendiri secara sintaksis dan fonologis. Sementara kumpulan penulis
pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan ayat sebagai unit
pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa yang mengandungi
makna yang lengkap, terbentuk daripada satu atau lebih perkataan yang
pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan. Walaupun definisi ini
agak panjang, namun definisi ini lebih mudah difahami kerana ciri-ciri ayat
terhimpun dalam satu definisi.
Pendapat-pendapat pakar tentang definisi
frasa juga tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Misalnya, Asmah Haji
Omar menyatakan frasa adalah unit yang terletak di atas kata dan di bawah
klausa. Abdullah Hassan berpendapat frasa sebagai unit yang wujud dalam
sistem tatabahasa dan merupakan unit terkecil dalam sintaksis yang terletak
di bawah klausa. Kedua-dua definisi ini menjurus kepada satu maksud iaitu
tempat frasa ialah di antara klausa dan kata.
Dalam bahasa Melayu terdapat beberapa pola
ayat dasar yang dinamai pola dasar. Asmah Haji Omar mengemukakan dua sahaja
pola dasar iaitu FB + FB dan FB + FK. FB dalam kedua-dua pola itu adalah
frasa benda yang merupakan subjek ayat. Istilah FB dan FK ini agak sukar
difahami oleh pengkaji baharu seperti saya. Setelah meneliti penjelasan
daripada Asmah Haji Omar, baharulah saya faham maksud dan peranan istilah
tersebut. FB adalah frasa benda yang terdiri daripada kata nama, klausa atau
frasa nama, kata bilangan, frasa bilangan dan kata ganti nama. Ia berfungsi
di tempat subjek, objek dan predikat nama dalam ayat. Frasa karyaan pula
ialah kata kerja atau kata sifat yang beriringan dengan objek atau
keterangan dalam predikat ayat.
Terdapat penulis yang membanding beza dahulu
pola-pola dasar yang dibuat oleh penulis-penulis lain kemudian
mengubahsuainya untuk menghasilkan pola dasar sendiri. Contohnya Abdullah
Hassan yang menghasilkan pola dasar selepas membandingkan pendapat Asmah dan
Subbiah dengan pendapat Halimah. Pola dasar beliau ada enam iaitu:
-
Kata Nama + Kata Nama
-
Kata Nama + Kata Kerja Tak Transitif + (Kata
Verb)
-
Kata Nama + Kata Sifat
-
Kata Nama + Kata Kerja Transitif + Kata
Nama
-
Kata Nama + Ada/Punya + Kata Nama
-
Ada + Kata Nama + Kata Verb Tempat/Waktu
Pada pendapat saya, pola dasar yang dibuat
oleh kumpulan penulis Tatabahasa Dewan lebih mudah difaham dan
diingat kerana, selain ringkas dan padat, istilah yang mereka gunakan juga
mudah. Pola-pola dasar mereka ialah
-
Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
-
Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
-
Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
-
Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)
Berdasarkan kajian dan perbandingan pendapat
pakar bahasa, kolaborasi dengan rakan dan pensyarah, boleh dikatakan
kefahaman saya tentang tajuk ini semakin baik dan berkembang.
Dapat dirumuskan bahawa satu ungkapan yang
panjang tidak semestinya ayat. Begitu juga sesuatu ungkapan yang pendek itu
tidak semestinya frasa. Ungkapan yang pendek itu mungkin boleh bertaraf ayat
jika sempurna maksudnya dan terletak di antara dua kesenyapan. Abdullah
Hassan menyebutnya sebagai ayat tidak sempurna kerana ia boleh berdiri
sendiri walaupun tidak mempunyai pola dasar. Contohnya #lihat#. Jika kita
mendengar pengucapan ayat itu, sebagai pendengar sudah tentu kita boleh
memahami maksud perintah yang terkandung di dalamnya walaupun subjeknya
tidak dinyatakan. Jelasnya, ayat ini hanya sempurna dari sudut fonologi
sedangkan dari sudut sintaksis ia kurang sempurna. Oleh itu ia tidak
dikatakan ayat. Ini dijelaskan oleh Lutfi Abas. Menurut beliau, ayat mesti
boleh berdiri secara sintaksis dan fonologis, bukan sintaksis atau
fonologis. Dengan perkataan lain, ayat itu boleh difahami secara lisan dan
tulisan tanpa mengabaikan subjek dan predikatnya.
Saya berpendapat bahawa frasa adalah serupa
dengan rangkai kata. Hal ini demikian kerana menurut Asmah Haji Omar, frasa
dalam pengertian tradisional adalah dua perkataan yang letaknya berturutan
tetapi tidak mempunyai subjek dan predikat. Oleh itu, seandainya diberi dua
kata yang berturutan tanpa subjek dan predikat, pasti ia adalah rangkai kata.
Frasa itu sendiri merupakan perkataan Inggeris "phrase" yang dimelayukan
menjadi frasa. Menurut Kamus Progresif Inggeris-Melayu 1992, "phrase"
bermaksud gatra atau penggalan kata yang menjadi bahagian dalam ayat.
Gatra atau penggalan kata tersebut samalah dengan maksud "unsur-unsur ayat".
Oleh itu rangkai kata yang juga dijadikan unsur dalam ayat sebenarnya adalah
frasa. Tambahan pula rangkai kata adalah istilah termudah dan makna
terhampir bagi kepada "dua perkataan berurutan" seperti dalam definisi frasa
oleh Asmah Haji Omar.
Walau bagaimanapun tidak selamanya frasa itu
adalah rangkai kata kerana frasa boleh terdiri daripada deretan perkataan
yang lebih panjang daripada rangkai kata, sedangkan rangkai kata lazimnya
dua perkataan sahaja. Ringkasnya, frasa dikatakan serupa dengan rangkai kata
pada ketika konstruksinya bertepatan dengan konstruksi rangkai kata. Kaitan
frasa dengan rangkai kata serupa dengan kaitan antara frasa dengan klausa,
iaitu unit yang lebih kecil boleh sama konstruksi dengan unit yang lebih
besar tetapi unit yang lebih besar kadang kala tidak boleh menjadi sama
dengan unit yang kecil.
|