Jurnal Keningau
Refleksi KKB
RENUNGAN KENDIRI SECARA REFLEKTIF DENGAN RUJUKAN KHUSUS TERHADAP KEKUATAN DAN KELEMAHAN RPH

Oleh Sutrawiya Haji Malong

PENDAHULUAN

Kerja Kursus Berportfolio (KKB) merupakan satu tanggungjawab rutin yang diamanahkan kepada guru pelatih bagi menunjukkan adanya bukti pengaliran ilmu berlaku antara pensyarah dan guru pelatih. Kemunculannya sering kali mengundang pelbagai senario berbeza yang menjelma dalam minda setiap guru pelatih. Ada yang menganggap kehadirannya sebagai aset pengalaman bermakna dan ada juga yang berasa kewujudannya hanya sebagai beban yang menyusahkan. Namun apa pun perasaan itu, guru pelatih yang berkualiti menghadapinya dengan minda terbuka kerana KKB merupakan salah satu pengaliran ilmu secara tidak disedari yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada guru pelatih.  
          Jika dihalusi objektif Jadual Penentuan Tugasan (JPT) KKB semester ini, dapat difahami misinya ialah pengaplikasian penaakulan ilmu yang diperoleh melalui renungan kendiri secara reflektif mahupun pembacaan intensif dalam menghasilkan rancangan pengajaran dan pembelajaran yang mantap dan mampu mengatasi jurang pemikiran yang berbeza antara murid.  Rentetan daripada itu, menerusi penyataan misi tersebut, dapat saya simpulkan bahawa, kehendak sebenar JPT pada kali ini adalah untuk melahirkan seorang bakal guru yang mampu menilai kekuatan dan kelemahan diri secara reflektif serta bijak mencerakinkan dan menggabungjalinkan kemahiran-kemahiran pedagogi yang dimiliki dalam menghasilkan sesi pengajaran yang mantap dan berkesan.
          Justeru itu untuk merealisasikan objektif tersebut dua tugas penting mesti kami laksanakan. Yang pertama ialah menguasai sepenuhnya ilmu berkenaan kemahiran melakukan refleksi, program pemulihan, program pengayaan, kriteria pemilihan bahan dan penghasilan bahan bantu mengajar (BBM). Yang kedua ialah membuat renungan kembali dengan menilai kelemahan dan kekuatan rancangan pelajaran harian (rph) yang telah dihasilkan dalam praktikum fasa 1 agar strategi yang mantap dapat dibentuk  bagi mengatasi kelemahan diri di samping mengukuhkan kekuatan yang sudah dipunyai. Selain itu, pengenalpastian kelemahan berbahasa di kalangan murid juga direnung kembali agar aktiviti pemulihan yang bersesuaian dapat dihasilkan.  
          Melalui pencerakinan tugasan tersebut, saya merasakan KKB kali ini amat mencabar dan memerlukan iltizam dan ketekunan yang tinggi agar semua prosesnya dapat disiapkan sesempurna yang boleh. Metode yang saya gunakan dalam mengatasi kesukaran ini adalah dengan merangka satu borang senarai semak yang mencatatkan sejarah perkembangan KKB sehingga ke akhirnya.

SEJARAH PERKEMBANGAN KERJA KURSUS

Penerimaan JPT  
Penerimaan JPT KKB Pengajian Melayu (PM) kali ini lewat daripada kebiasaannya. Senario ini menimbulkan keresahan di hati guru pelatih Sains Pengajian Melayu (SNPM) Semester 5. Keresahan ini akhirnya terurai apabila Encik Mazlan Ngah selaku penyelaras KKB Pengajian Melayu Semester 5 menyerahkan JPT KKB PM pada 20 Julai.

Pemahaman JPT  
Setelah  menerima JPT KKB PM, saya pun mula menghalusi JPT tersebut agar pemahaman yang jitu terhadap kehendak KKB dapat saya kuasai. Melalui dapatan maklumat yang saya perolehi dalam JPT KKB ini, saya dapati terdapat lima tugas penting yang harus kami selesaikan iaitu mengumpul, membaca serta menghasilkan nota dan grafik  tentang tajuk kemahiran membuat refleksi, konsep pemulihan dan pengayaan serta kriteria pemilihan dan penghasilan bahan bantu mengajar (BBM). Selain itu, tugas seterusnya ialah melakukan penilaian terhadap kekuatan dan kelemahan tiga salinan RPH semasa praktikum fasa 1 dan membuat pemilihan tiga aspek kekuatan dan kelemahan berserta refleksi pemilihannya. Tugas yang ketiga tertumpu pada perancangan strategi yang mantap dalam menangani kelemahan RPH dan sesi pengajaran dan pengajaran yang saya jalankan. Tugas keempat dan kelima agak mudah kerana tugas dilaksanakan secara berpasangan. Justeru itu, beban penyiapannya pun berkurangan. Untuk tugasan keempat dan kelima iaitu pengenalpastian kelemahan berbahasa di kalangan murid serta penghasilan aktiviti pemulihan berorientasikan perisian multimedia, saya berpasangan dengan Cik Rosnah Buntarang. 

Perancangan Pelan Tindakan  
Jika diperincikan, tugasan KKB kali ini agak mencabar. Justeru itu langkah yang sistematik harus diambil agar misi penyiapannya berjalan lancar. Metode yang saya gunakan dalam melancarkan penyiapan KKB ini ialah merangka pelan tindakan yang teratur dan menyediakan senarai semak aktiviti agar segala perjalanan penyiapan KKB berjalan lancar dan tidak melencong daripada kehendak JPT.

Pengumpulan dan Pemurnian Maklumat  
Aktiviti pengumpulan tertumpu kepada pencarian dapatan data yang relevan bersangkutan dengan kemahiran membuat refleksi, program pengayaan, program pemulihan dan kriteria penghasilan BBM. Setelah segala maklumat saya peroleh, tindakan susulan yang saya lakukan ialah melakukan pemurnian terhadap segala maklumat tersebut agar dapat dijelmakan dalam bentuk nota dan grafik yang mudah difahami. Setelah pemurnian secara manual saya jalankan, proses memasukkan segala nota mahupun grafik yang dihasilkan dalam perisian pemprosesan perkataan dilakukan. Semasa melakukan tindakan ini, saya sering melakukan kolaborasi dengan rakan-rakan pelatih agar hasil yang saya manifestasikan mantap dan jitu.

Rujukan Tiga RPH dan Tindakan Susulan  
Proses merujuk tiga RPH semasa praktikum fasa 1 bermotifkan pengenalpastian dan penyenaraian sebanyak mungkin kelemahan dan kekuatan yang terdapat dalam RPH agar pemilihan tiga aspek kekuatan dan kelemahan yang ketara dapat dilakukan. Pemilihan yang dibuat hendaklah bersandarkan kepada hujah serta cetusan minda daripada pelbagai tokoh yang relevan dalam ilmu pedagogi khasnya yang bersangkutan dengan pedagogi bahasa.
          Melalui pemikiran reflektif secara terperinci dengan pengaplikasian KBKK melalui penggunaan borang membuat keputusan, saya telah  memilih aspek penulisan objektif yang spesifik , penyebatian nilai dan kelancaran komunikasi sebagai kekuatan yang saya miliki. Manakala aspek penyebatian KBKK, pemilihan aktiviti beraras tinggi, serta kecelaruan penggabungjalinan kemahiran sebagai kelemahan ketara yang saya miliki. Pemilihan ini bukan sahaja bersandarkan kepada  cernaan minda tokoh semata-mata bahkan saya juga mengambil kira sejauh mana kekerapan kekuatan dan kelemahan ini saya ulangi. Hal ini saya telah bicarakan dengan terperinci dalam refleksi pemilihan yang saya hasilkan.  
          Aktiviti susulan daripada penyenaraian kelemahan yang saya kenal pasti ialah merangka strategi yang berkesan dalam mengatasi kelemahan yang terdapat dalam RPH yang telah saya hasilkan. 
          Saya berpendapat, aktiviti ini amat berguna kepada saya kerana aktiviti itu secara tidak langsung dapat menyedarkan saya bahawa untuk menghasilkan suatu RPH yang mantap serta pelaksanaan sesi P&P yang berkesan, kita sebagai guru seharusnya bijak menggabungjalinkan segala kemahiran yang kita miliki.

Pengenalpastian Masalah Berbahasa di Kalangan Murid (Renungan Praktikum Semester 4)
Murid-murid di sesebuah sekolah berasal dari latar belakang yang berlainan. Mereka mempunyai kebolehan, minat dan bakat yang berlainan. Bahkan, kehidupan sosial , budaya ikutan serta kehidupan seharian juga turut berbeza. Akibat penglahiran perbezaan tersebut, tidak hairanlah dalam sesebuah sekolah wujud pelbagai masalah pembelajaran yang sering menghantui para guru dan tidak terkecuali dalam pembelajaran dan penguasaan berbahasa di kalangan murid.  
          Justeru itu, untuk KKB kali ini, kami ditekankan agar membuat renungan kembali terhadap kelemahan berbahasa yang menyelubungi murid-murid semasa menjalani praktikum fasa 1 di S.K Senagang Keningau. Menurut Encik Mohd Isa Abd. Razak selaku pensyarah pembimbing KKB kali ini, pengenalpastian kelemahan berbahasa ini haruslah berlandaskan bukti bertulis iaitu hasil kerja tangan murid-murid (lembaran kerja) di samping mengambil kira bukti lisan melalui pengalaman minda semasa melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  
          Menerusi penyelidikan yang saya lakukan bersama-sama dengan Cik Rosnah Buntarang, jelas menunjukkan wujudnya kelemahan berbahasa di kalangan murid melalui penyenaraian 19 kelemahan yang mencakupi bidang lisan, tulisan dan bacaan. Namun kelemahan berbahasa paling ketara adalah tertumpu pada masalah dalam aspek tulisan.

Perancangan Aktiviti Pemulihan Berkonsepkan Perisian Multimedia
Setelah pengenalpastian aspek tulisan sebagai masalah berbahasa yang paling ketara , saya dan Cik Rosnah Buntarang telah merangka satu aktiviti pemulihan yang berorientasikan perisian multimedia sebagai media perantaraan penyampaian sesi pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada misi mengatasi masalah kelemahan menulis (tulisan) di kalangan murid.  
          Pengaplikasian perisian multimedia sebagai media pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat memudahkan tugas guru dalam usaha memulihkan kelemahan menulis di kalangan murid bahkan langkah ini merupakan satu pendedahan awal kepada guru mahupun murid dalam menempuhi alaf baru yang serba berteknologi tinggi. Di samping itu pengenalan Komputer sebagai sumber BBM dapat menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran menarik dan menyeronokkan. Ini seterusnya dapat membantu memotivasikan dan mengekalkan minat  murid untuk mengikuti keseluruhan sesi pengajaran dan pembelajaran. Fenomena ini secara tidak langsung dapat membantu guru dalam merealisasikan objektif pemulihan yang ingin dicapai.  
          Secara rumusannya, dengan adanya perancangan yang teliti dan disulami dengan ketekunan dan kesabaran serta dihiasi dengan kecemerlangan pelaksanaan sudah pasti hasil tugasan yang kita lahirkan mantap dan mampu menjadi  cermin ke arah penghasilan guru yang berketerampilan.

KOLABORASI

Kolaborasi yang pelbagai sedikit sebanyak membantu saya untuk menghasilkan KKB yang terbaik. Aspek ini bukan sahaja dapat meleraikan sebarang permasalahan yang timbul tetapi juga mampu mewujudkan hubungan interaksi yang positif dengan pihak-pihak yang tertentu. Di samping itu dengan adanya kolaborasi yang aktif, kita akan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan yang tersembunyi dalam diri kita. Hal ini berkaitan dengan penilaian kendiri yang terbaik datangnya daripada penilaian orang lain. Justeru itu, saya telah menjalankan beberapa kolaborasi terutamanya dengan rakan sepelatih dan juga pensyarah terlibat. 
         
Melalui kolaborasi saya dengan Encik Mohd Isa Abd. Razak, pelbagai input berguna telah saya peroleh. Input tersebut seterusnya saya aplikasikan untuk menghasilkan hasil tugasan yang memberangsangkan serta menepati kehendak JPT. Misalannya, pada mulanya saya menghadapi masalah dalam menghasilkan refleksi pemilihan tiga aspek kekuatan dan kelemahan. Hal ini demikian kerana saya tidak mengandungi garis panduan yang khas dalam memandu saya menghasilkan refleksi tersebut. Namun setelah berkolaborasi dengan Encik Mohd Isa, akhirnya permasalahan ini dapat saya pecahkan. Menurut beliau, untuk menghasilkan refleksi pemilihan yang berkesan dan mantap, kita seharusnya bersandarkan kepada nukilan minda tokoh-tokoh bahasa dan bukannya terlalu bergantung pada cetusan pemikiran kita semata-mata. Selain Encik Mohd Isa Abd. Razak, saya juga turut mengadakan kolaborasi dengan beberapa orang pensyarah bahasa yang lain seperti En Mazlan Ngah, En. Abdullah Musa serta En Awang Jaya Awang Damit.
         
Ringkasnya aktiviti kolaborasi amat penting agar kualiti tugasan yang kita manifestasikan mantap dan berkesan. Selain itu, ia juga dapat membina satu nilai kendiri yang positif melalui tindakan susulan yang kita lakukan bagi menyelesaikan setiap permasalahan dan kelemahan diri.

HASIL PEMBELAJARAN

Pemerolehan ilmu pengetahuan daripada aktiviti pemprosesan maklumat mendatangkan banyak manfaat kepada saya. Antara kebaikan  yang saya peroleh ialah input berkenaan konsep pemulihan, pengayaan, kemahiran membuat refleksi serta kriteria pemilihan dan penghasilan bahan dapat membantu saya menjadi seorang guru yang berketerampilan dan mampu menjadi mangkin perubahan kepada anak didik kelak. Misalannya, melalui pemahaman saya terhadap konsep serta rasional pemulihan dan pengayaan, saya dapati kewujudannya disebabkan  timbulnya rasa keprihatinan guru-guru dalam mengatasi jurang pemikiran di kalangan murid disebabkan adanya perbezaan dari segi kebolehan, minat dan bakat. Jurang pemikiran inilah yang menghasilkan murid cerdas, sederhana dan lembam. Justeru itulah, untuk menjadi seorang guru yang berkaliber, kita harus mempunyai ilmu yang secukupnya dalam bidang ini (pemulihan dan pengayaan) supaya kita dapat melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang memberikan impak yang memuaskan dan berpanjangan. Kekurangan ilmu terhadap bidang tersebut akan mendorong kepada penglahiran murid yang serba kekurangan.  
         
Selain itu, melalui aktiviti membuat refleksi ataupun renungan kembali terhadap sesi praktikum fasa 1 membolehkan saya merenung kembali kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam diri saya. Melalui renungan ini, sedikit sebanyak membantu menyedarkan saya agar sentiasa prihatin dengan kelemahan diri dan seharusnya sentiasa berusaha untuk mengatasi kelemahan tersebut melalui pelbagai strategi-strategi yang bernas dan memberangsangkan. Di samping itu, kekuatan yang ada sepatutnya dikekalkan dan dimantapkan.  
          Di samping itu, menerusi tugasan ini, pelbagai kesedaran timbul dalam diri saya antaranya, untuk menjadi seorang guru yang baik dan berkesan, kita seharusnya sentiasa prihatin dengan tahap pemikiran yang dipunyai oleh murid kita. Dengan cara ini segala aktiviti sesi pengajaran dan pembelajaran yang kita laksanakan mampu memberi pulangan ilmu yang menggalakkan buat mereka. Hal ini demikian, sekiranya, kita merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang tidak bersesuaian dan tahap kognitif murid sudah pasti sesi pengajaran dan pembelajaran yang kita laksanakan sia-sia ataupun seperti sekadar "mencurahkan air di daun keladi".  Bahkan ada kalanya pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran yang kurang mantap akan memburukkan lagi tahap kognitif dan mentaliti murid tersebut.  
          Di samping itu melalui aktiviti penghasilan BBM yang bersandarkan penggunaan perisian multimedia telah mendorong kami untuk menyedari bahawa sebagai seorang guru yang berketerampilan kita seharusnya peka dengan ledakan dunia sains dan teknologi. Kedaifan kita dalam mengikuti arus kemodenan akan menyebabkan kita akan menjadi seorang guru yang tidak berkualiti pada alaf baru ini. Justeru itu sebagai seorang guru bermutu tinggi, segala ilmu terkini seharusnya menjadi "makan minum seharian yang harus diambil setiap hari. Jika tidak kita akan mati kebuluran."  
          Akhir sekali tugasan ini juga telah mengajar saya erti kesabaran dan rasa iltizam yang menggunung tinggi. Melalui kesabaran, hasil tugasan yang ingin kita siapkan akan mencapai objektif penyiapannya. Sekiranya perasaan sabar tersebut menjelma menjadi sifat malas dan kurang sabar sudah pasti mengganggu dalam menyiapkan hasil tugasan. Di samping itu dengan adanya kesabaran dan iltizam yang tinggi, sudah pasti senario murid yang lemah dalam penguasaan pembelajaran tidak akan wujud. Hal ini demikian kerana kita sentiasa sabar dan rajin berusaha bagi mencari penawar untuk mengubati masalah murid yang lemah dan lembam. 
          Kesimpulannya, tugasan kali ini banyak memberikan anjakan paradigma kepada saya dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan dalam profesion perguruan.

RUMUSAN

Komitmen yang tinggi untuk menjayakan dan menyiapkan aktiviti yang telah dirancang hendaklah diterapkan ke dalam diri seorang guru agar mampu menjadi guru yang berkaliber, berilmu dan mampu menjadi aset dan mangkin perubahan kepada generasi baru kelak. Tanpa semangat dan minat yang mendalam, sesuatu kerja ataupun aktiviti yang ingin kita jalankan akan terbengkalai dan tidak bermutu tinggi dari segi nilai estetikanya. Justeru itu, penggabungjalinan kerajinan dan tanggungjawab yang tinggi akan menghasilkan tugasan yang efesien dan berkualiti tinggi. 
           
Dalam hal ini, saya telah mencuba sehabis baik untuk diri saya. Sebarang permasalahan yang timbul sepanjang proses menyiapkan KKB ini telah saya jadikan iktibar dan pengalaman agar kelak pengalaman itu akan menjadi aset penguat kepada diri saya melalui tindakan susulan yang bersesuaian 
           
Akhir sekali, sesungguhnya segala kekurangan dan kepincangan yang terdapat dalam hasil tugasan ini adalah datangnya daripada kelemahan dan kedaifan diri saya sendiri dan segala kebaikan dan kesempurnaan hasil ini datangnya dari keagungan Allah S.W.T. jua.

1