Jurnal Keningau

Refleksi Pengalaman Praktikum

MENYUBURKAN NILAI-NILAI MURNI MELALUI PENGAJARAN KESUSASTERAAN

oleh Suana Guntabid

PENDAHULUAN

Tawaran menyertai Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Sastera, satu tahun seakan impian menjadi realiti. Subjek sastera merupakan salah satu subjek yang saya minati sejak di sekolah menengah lagi. Mata pelajaran sastera yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan untuk menjadi mata pelajaran khas di sekolah rendah satu ketika nanti telah memberi peluang kepada guru-guru untuk mengikuti kursus ini.

Belajar semula mata pelajaran sastera agak berat juga bagi saya pada mulanya setelah sekian lama ditinggalkan. Walau bagaimanapun minat yang sedia ada pada mata pelajaran ini memudahkan bagi saya meneruskan kursus ini.

Terlalu banyak yang baru dan menarik yang saya pelajari sepanjang kursus terutama sekali pendedahan kepada teknik-teknik dan pendekatan pengajaran serta tidak ketinggalan juga asas kemahiran teknologi maklumat. Setelah dibekalkan dengan berbagai pengetahuan baru selama satu semester akhirnya kami dihantar ke sekolah yang berdekatan untuk membolehkan kami mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah kami pelajari.

 

PENGALAMAN PRAKTIKUM

Saya dihantar ke sekolah asal saya iaitu SRK St. Francis Xavier Keningau untuk menjalani praktikum selama dua bulan. Praktikum bukan satu yang baru bagi saya. Saya masih ingat semasa guru pelatih dahulu saya merasakan praktikum itu begitu berat sekali dengan berbagai- bagai persiapan yang harus saya sediakan. Hampir setiap hari saya terpaksa tidur lewat hanya untuk menyiapkan rancangan pengajaran harian.

Praktikum kali ini suasananya agak berbeza sedikit. Maklumlah bukan sebagai pelatih tetapi sebagai seorang guru terlatih. Oleh itu masalah interaksi dengan guru dan murid-murid tidak sukar bagi saya. Apa yang menarik dan menyeronokkan rancangan pengajaran harian (RPH) telah kami siapkan sebelum menghadapi praktikum. Hasil kerjasama kelas kami, kami telah berjaya menyiapkan lebih kuran 40 keping RPH tahun 4 dan 35 keping RPH tahun 5. Setiap RPH mempunyai genre dan kemahiran sastera yang berbeza. Persiapan RPH yang lebih awal ini memudahkan dan menyenangkan saya dan rakan-rakan yang lain. Saya hanya perlu memurnikan dan menyesuaikan RPH tersebut dengan kelas yang diajar. Masa yang terluang juga memberikan saya kesempatan untuk menumpukan persediaan saya kepada pembinaan BBM dan BBB.

Saya merasakan menjalani praktikum selama dua bulan itu menyeronokkan.Ini kerana mata pelajaran sastera yang diajar itu tidak sama dengan mata pelajaran bahasa Melayu. Mata pelajaran sastera banyak melibatkan murid-murid. Saya rasa seronok melihat murid-murid mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Di sini saya ingin memfokuskan perkongsian saya kepada pengalaman peribadi saya sepanjang praktikum dan pandangan saya terhadap mata pelajaran sastera dalam sekolah rendah.

IMPAK PENGALAMAN PRAKTIKUM

Saya berpendapat mata pelajaran sastera memang sepatutnya diajar di sekolah rendah. Sepanjang praktikum, saya telah cuba mendedahkan murid-murid kepada beberapa genre sastera yang saya kira sesuai untuk murid seperti genre puisi, drama, cerpen dan sastera rakyat.

Kelas yang diberikan kepada saya adalah  kelas tahun empat. Setiap genre sastera yang saya dedahkan kepada murid mendapat sambutan yang baik daripada mereka.

Hal yang paling mengharukan saya ialah apabila murid dapat digerakkan untuk tampil ke hadapan kelas dan melakukan aktiviti yang diminta oleh guru. Masih segar dalam ingatan saya semasa menjalankan aktiviti mendeklamasi sajak, murid yang pada mulanya saya lihat pendiam dan pemalu, apabila diberi motivasi dan dorongan boleh mendeklamasikan sajak dengan penuh penghayatan. Saya berpendapat mata pelajaran sastera bukan saja dapat mencungkil bakat dan kreativiti murid, tetapi juga menjadi satu medan mengasah dan memperkembangkan bakat sedia ada murid serta menanam semangat keyakinan diri mereka. Malahan mata pelajaran sastera dapat memupuk dan membentuk semangat bekerjasama sesama mereka serta juga pencetusan idea.

Sastera penuh dengan nilai-nilai murni dan pengajaran. Jika nilai-nilai murni mahu dipupuk di dalam hati setiap insan, salah satu cara yang efektif ialah mengajar mata pelajaran sastera di sekolah rendah. Benih yang baik harus ditanam di tanah yang subur. Nilai yang baik harus ditanam dan dipupuk dari kecil. Nilai-nilai yang baik ini yang ditanam di dalam hati kanak-kanak akan melahirkan insan yang seimbang sesuai dengan falsafah pendidikan negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang penting dalam menanam minat murid terhadap genre sastera yang diajar. Tanpa minat, murid tidak mungkin dapat menghayati nilai dan pengajaran dalam sastera tersebut. Oleh itu guru perlu juga kreatif dalam memilih teknik dan pendekatan yang sesuai ketika mengajar mata pelajaran sastera. Persediaan guru dalam memilih genre sastera dan menyesuaikannya dengan teknik, aktiviti dan bahan amat penting agar murid dapat mengambil bahagian yang aktif di dalam kelas. Guru juga harus bijak memilih pendekatan yang sesuai dengan teknik yang dipilih.

PERKONGSIAN PENDEKATAN MENGALAMI-MENGHAYATI

Saya senang sekali mengongsikan pengalaman dan refleksi kendiri saya terhadap salah satu pendekatan dan teknik yang saya kira menarik dan menyeronokkan.

Pengajaran ini telah saya jalankan di tiga buah kelas tahun 4 (Harapan, Bestari dan Kreatif) di SRK St. Francis Xavier Keningau. Tajuk pelajaran pada hari itu ialah “Bawang Merah dan Bawang Putih” genre drama. Pendekatan yang digunakan ialah mengalami-menghayati. Manakala teknik pengajaran pula ialah kerusi panas dan bercerita teknik sayur sebagai set induksi. Kemahiran sastera yang digunakan ialah seperti yang berikut:

1.44           Mengucapkan kata bual yang direka oleh murid atau guru dalam lakonan

2.27           Menyatakan pengajaran atau nilai murni yang terdapat dalam prosa atau puisi

3.26           Membina dan menulis pelbagai soalan mengenai watak dan perwatakan dalam bahan.

 Objektif pengajaran ialah murid dapat menyatakan sekurang-kurangnya empat nilai murni atau pengajaran dalam drama, membina dan menulis pelbagai soalan mengenai watak dan perwatakan, dan melakonkan kata bual yang direka oleh guru.

PROSES PENGAJARAN

Dalam induksi set, guru menceritakan cerita pendek menggunakan teknik sayur. Pilihan sayur ialah bawang merah yang besar dan bawang putih. Setelah itu guru bersoal jawab dengan murid tentang kegunaan bawang tersebut dan juga meminta murid menceritakan serba sedikit pengetahuan dan pengalaman mereka tentang bawang. Akhirnya guru menyatakan tajuk pelajaran pada hari tersebut.

Dalam langkah pertama (6 minit) guru memperdengarkan pita rakaman drama Bawang Merah dan Bawang Putih. Setelah itu secara ringkas guru meminta murid menyatakan berapa orang pelakon dalam drama tersebut dan seterusnya memilih beberapa orang murid untuk menceritakan serba sedikit perkara yang telah mereka dengar dari rakaman tadi.

Langkah kedua (8 minit) guru meminta murid menonton lakonan drama Bawang Merah dan Bawang Putih yang dipersembahkan oleh kawan-kawan mereka yang dipilih.

Selepas lakonan, dengan bantuan kad perkataan, guru meminta murid menyatakan nama watak dan perwatakan mereka. Guru bersoal jawab dengan murid tentang watak dan perwatakan berpandukan kad perkataan.

Langkah ketiga (8 minit) guru mengadakan aktiviti soal jawab dengan menggunakan teknik kerusi panas. Sorang murid diminta untuk memegang watak Bawang Merah. Murid ini diminta duduk di hadapan kelas. Murid-murid yang lain diminta bertanyakan soalan berdasarkan drama tersebut.

Langkah keempat (12 minit), murid mengadakan aktiviti perbincangan kumpulan. Murid diminta mencari dan menyenaraikan nilai murni dan pengajaran berdasarkan skrip drama yang diedarkan.

Dalam langkah yang seterusnya (13 minit) guru meminta beberapa kumpulan murid melakonkan drama Bawang Merah dan Bawang Putih di hadapan kelas. Selepas lakonan guru membuat kesimpulan tentang lakonan tersebut.

Langkah terakhir (8 minit) ialah menjawab soalan berdasarkan pemahaman dan pengalaman murid. Soalan yang disediakan lebih kepada menilai dominan afektif.

Pelajaran diakhiri dengan menekankan nilai-nilai murni dan pengajaran yang mereka peroleh dan mengaitkannya dengan kehidupan harian murid.

REFLEKSI

Saya tidak menghadapi masalah yang banyak dalam sesi pengajaran pada hari tersebut. Bahan yang digunakan dapat memfokuskan tumpuan murid pada pengajaran dan pembelajaran. Objektif mengucapkan kata bual dapat dilakonkan oleh murid dengan baik. Murid juga dapat menyenaraikan nilai murni dan pengajaran yang terdapat dalam cerita. Teknik kerusi panas yang dijalankan dapat membantu murid memahami watak dan perwatakan dalam drama tersebut. Dengan memahami watak dan perwatakan ini, murid lebih mudah menghayati dialognya dan seterusnya melakonkan watak tersebut.

RUMUSAN

Fokus pengajaran kita bukan hanya penekanan kepada aspek akademik semata-mata tetapi juga pendidikan yang melibatkan aspek rohani iaitu yang melibatkan jiwa dan sifat intrinsik manusia. Pendekatan mengalami-menghayati adalah salah satu cara untuk menyentuh sanubari murid. Perasaan seni dan halus ini akan terasa ditikam jika sesuatu karya benar-benar dialami dan dihayati. Ini seterusnya akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati mereka lalu dengan sendirinya mereka cuba memperbaik diri dengan mengambil nilai-nilai murni dan pengajaran dalam karya yang dipelajari dan menjadikannya sebagai asas pegangan untuk membentuk diri menjadi insan yang berguna.

Pendekatan ini juga sesuai digunakan untuk menyemai kemahiran berfikir dan membuat penilaian secara kritis. Di sini secara tidak langsung kemahiran bahasa, iaitu menyoal dengan menggunakan pelbagai teknik, dapat diasah dan diperkukuh. Dengan menggunakan pendekatan mengalami-menghayati, murid-murid berasa seronok kerana mereka terlibat secara aktif (mental dan fizikal) dalam pembelajaran. Berdasarkan pengalaman mereka, mereka bebas menginterpretasikan dan menilai sesuatu karya itu. Jika domain afektif menjadi objektif dalam pengajaran dan pembelajaran, maka pendekatan mengalami-menghayati adalah pilihan yang terbaik.

Lampiran

CONTOH SOALAN DOMINAN AFEKTIF
 

Jawab soalan di bawah berdasarkan pemahaman dan pengalaman anda sendiri.

  1. Apakah perasaan anda apabila menonton dan mendengar drama “Bawang Merah dan Bawang Putih”? Mengapakah anda berasa demikian?

  2. Pada pendapat anda, adakah sikap pemarah, sombong dan malas itu menguntungkan? Jika tidak mengapa? Jika ya mengapa?

  3. Sikap siapakah yang patut anda contohi dalam drama tersebut? Mengapa anda harus mencontohinya?

  4. Senaraikan empat nilai murni yang anda pelajari dari drama tersebut.

©JPMMPKS, 2004

1