Sumber

EJAAN KATA MAJMUK
Susunan Cikgu Isa

 

SENARIO

“Eh, rapatkah ejaan perkataan ini?”

Soalan seperti ini sering timbul apabila pengguna bahasa kita berhadapan dengan sekumpulan perkataan tertentu. Mereka keliru sama ada ejaan sesuatu perkataan itu dirapatkan atau dipisahkan. Malah guru bahasa juga ada yang keliru tentang perkara ini. Pernah berlaku satu pertengkaran kecil antara dua orang guru bahasa tentang pengejaan perkataan “kakitangan” dan “ibu bapa”. Si A mengatakan ejaan “kakitangan” dijarakkan kerana “kaki” dan “tangan” memang berada di posisi yang berlainan. Sebaliknya, dia berpendapat ejaan “ibu bapa” hendaklah dirapatkan kerana fitrahnya “ibu” dan “bapa” memang berdampingan. 

“Dahulu ejaan perkataan ini dirapatkan. Mengapa sekarang dipisahkan?”

Ini satu lagi soalan yang amat sukar dijawab. Soalan ini memang boleh dijawab mengikut gaya Si A. Katakan sahaja, “Sekarang ibu dan bapa sudah bercerai!” Namun, jangan tunggu lama-lama kerana jawapan seperti itu boleh mengundang padah yang sukar diramalkan.

Satu perkataan lagi yang menimbulkan masalah ialah “kereta api”. Ejaannya dahulu ialah “keretapi”. Dalam ejaan ini perkataan “kereta” dan “api” dirapatkan dan satu huruf “a” digugurkan. Dalam satu taklimat tentang ejaan baharu yang saya hadiri pada tahun 1980 dahulu, seorang ahli bahasa menyatakan pengguna utama perkataan “kereta api” ialah Keretapi Tanah Melayu (KTM). Jika ejaan “keretapi” ditukar menjadi “kereta api”,  KTM perlu membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menukar papan tandanya. KTM tidak mampu berbuat demikian. Oleh itu, ejaan lama “keretapi” itu dikekalkan.

“Mengapa sekarang ramai ahli bahasa mengeja “kereta api” dan bukan “keretapi”?” tanya seorang rakan. Tanpa diminta rakan itu menyambung, “Logiknya perkataan ‘kereta’ dan ‘api’ tidak boleh dipisahkan macam kepala dan ekor benda itu tidak boleh diceraikan.”

Sebenarnya, jawapan gaya Si A dan logik rakan saya itu tidak akan menyelesaikan masalah. Seorang pensyarah bahasa pernah memberikan jawapan alternatif kepada sekumpulan peserta kursus. Menurutnya, kita hendaklah kembali kepada persoalan asal iaitu golongan kata yang dieja itu. Menurutnya lagi, perkataan yang dipersoalkan itu ialah kata majmuk. Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar. Bentuk yang terhasil daripada perangkaian perkataan-perkataan itu membawa makna tertentu, bertindak satu unit dan dieja terpisah. Contohnya ialah “kapal terbang”, “gambar rajah”, dan “terima kasih”.

Penerangan pensyarah bahasa itu memang baik. Namun demikian, penerangan beliau yang sepintas lalu itu mengundang respons seorang peserta. Keesokan harinya peserta itu mengemukakan bukti bahawa kata majmuk tidak semestinya dieja terpisah. Antara contoh yang dikemukakannya ialah perkataan “alatulis” dan “aturcara”. Menurutnya, Kamus Dewan Edisi Baru cetakan tahun 1989 dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia Edisi Kedua (cetakan  1996) merekodkan ejaan “alatulis” dan “aturcara” bukan “alat tulis” dan “atur cara”.

Kenyataan peserta kurus itu benar. Bagaimanapun, sumber rujukannya tidak kemas kini. Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) merekodkan ejaan “alat tulis” dan “atur cara”. Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia Edisi Kedua pula adalah cetak ulang. Ertinya, cetakan tahun 1996 itu sama sahaja kandungannya dengan cetakan tahun 1988.

Sebenarnya Tatabahasa Dewan, yang diterima sebagai tatabahasa pegangan di negara kita, telah melakukan sedikit perubahan pada tahun 1993. Perkara ini dijelaskan dalam “Pengantar Edisi Baharu” seperti yang berikut:

“Huraian terhadap kata majmuk dan senarai contohnya telah diperkemas. Senarai bentuk yang telah mantap dan diterima dengan ejaan bercantum, misalnya, telah disemak kembali; dengan itu perkataan-perkataan yang sebenarnya bukan kata majmuk tetapi termasuk ke dalam golongan kata lain, misalnya apabila (kata hubung), kepada (kata sendi nama), dan dukacita (kata adjektif) telah dikeluarkan daripada senarai itu.” (Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, 1996, hlm. xii).


PETIKAN DARIPADA TATABAHASA DEWAN


4.2.3  Bentuk Kata Majmuk (h. 73--76)

Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. (Nota: alat tulis tidak boleh disisipkan dengan perkataan lain. Contoh: alat yang tulis,* alat dan tulis,* alat untuk menulis*)

Dalam bahasa Melayu bentuk kata majmuk seperti ini besar jumlahnya. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dapat dipisahkan kepada tiga kelompok seperti yang berikut:

(i)  kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas, contohnya: (hlm. 74)

gambar rajah          alat tulis
biru laut                   bandar raya
air hujan                  tengah hari
jalan raya                jam tangan
nasi minyak            meja tulis
terima kasih           bom tangan
luar biasa               kapal terbang
merah muda          kuning langsat

Dalam kategori ini juga termasuk bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran, contohnya: (hlm. 74)

Perdana Menteri            Ketua Menteri
Duta Besar                     Naib Canselor
Raja Muda                      Profesor Madya
Setiausaha Politik         Timbalan Ketua Pustakawan
Penolong Pendaftar      Ketua Setiausaha Negara

(ii)  kata majmuk yang berbentuk istilah khusus, contohnya: (hlm. 74)

model linear          hak milik
garis pusat            mata pelajaran
telefon dail terus   pita suara
lesung sendi         darah panas
segi tiga                kertas kerja
cari gali                 batu kapur
reka bentuk          atur cara
lut sinar                 kemas kini

(iii) kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya: (hlm. 74)

kaki ayam             anak emas
buah hati               bulan madu
duit kopi                manis mulut
makan angin        tumbuk rusuk
pilih kasih             berat tangan

4.2.3.1  Bentuk yang telah mantap

Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata-kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut adalah: (hlm. 75)

antarabangsa    setiausaha
beritahu           
  sukarela
bumiputera        suruhanjaya
jawatankuasa    tandatangan
kakitangan        tanggungjawab
kerjasama         warganegara
olahraga            pesuruhjaya
matahari

Selain bentuk kata majmuk yang dibincangkan di atas, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum, contohnya:

(i)   kata nama: peribadi, dinihari, peribahasa, perikemanusiaan, hulubalang 
(ii)  kata adjektif: sukacita
, dukacita  

(iii) kata sendi nama:  kepada
, daripada  

(iv)  kata hubung: apabila, apakala
, manakala, walhal, padahal, darihal, barangkali, kadangkala  

(v)  kata tanya: bagaimana

4.2.3.2  Penggandaan kata majmuk

Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja. Contohnya: (hlm. 76)

alat-alat tulis, gambar-gambar rajah, balai-balai raya, kapal-kapal terbang, suku-suku kata,  garis-garis pusat, jirim-jirim organik, model-model linear, Menteri-Menteri Besar Naib-Naib Canselor, Penolong-Penolong Pendaftar, Ketua-Ketua Menteri

Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap; penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya: (hlm. 76)

pesuruhjaya-pesuruhjaya, warganegara-warganegara, tandatangan-tandatangan, jawatankuasa-jawatankuasa, setiausaha-setiausaha

4.2.3.3  Pengimbuhan kata majmuk

Kata majmuk boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk, iaitu:

(i)    apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya:
campur aduk --> bercampur aduk

litar selari --> berlitar selari

ambil alih --> mengambil alih

temu bual --> ditemu bual

daya serap --> daya serapan

(ii)   apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya:

campur aduk --> mencampuradukka
daya serap --> kedayaserapan

garis pusat --> menggarispusatkan

satu padu --> menyatupadukan

urus niaga --> diurusniagakan

6.3.3  Kata Nama Majmuk (h. 131-133)

Kata nama majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit.

          Kata nama majmuk dalam bahasa Melayu besar jumlahnya. Kata nama majmuk boleh dibahagikan kepada tiga jenis seperti yang berikut:

(i)        kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas. Contohnya:
guru besar                   rukun tetangga

tengah hari                  susu pekat manis
tepian gelanggang     ular sawa
balai raya                    segi empat panjang

Dalam kategori ini juga termasuk kata yang digunakan sebagai gelaran, contohnya:
          Menteri Besar           Datuk Bendahara

         
Duta Besar               Timbalan Naib Canselor
         
Raja Permaisuri       Profesor Diraja
         
Setiausaha Sulit       Ketua Pustakawan
         
Penolong Penerbit   Leftenan Jeneral

(ii)        kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya:
graf terarah             titik buta

program bahasa    parasit eksternal
analisis teks           meter alir
mogok umum         hukum alamiah
deria rasa               medan sinaran

(iii)      kata majmuk yang mendukung* maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya:
akar ayam            anak emas
lipas kudung         bulan madu
ringan tulang         manis mulut
buku lima              tumbuk rusuk

pilih kasih             berat tangan

Nota

*Ejaan asal mendokong. Ejaan yang betul ialah mendukung. Hal ini sudah diakui oleh Zaiton Abdul Rahman melalui e-mail kepada saya.

6.3.3.1 Bentuk yang telah mantap
Seperti yang telah disebut dalam Bab 4 (4.2.3.1) terdapat beberapa kata yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan. Bentuk kata tersebut yang tergolong sebagai kata nama ialah:
         
antarabangsa         pesuruhjaya

         
bumiputera             setiausaha
         
jawatankuasa         sukarela
         
kakitangan              suruhanjaya
         
kerjasama               tandatangan
         
matahari                  tanggungjawab
          olahraga                  warganegara

Bentuk-bentuk mantap lain yang melibatkan kata majmuk akan dibincangkan dalam bab yang berkenaan (lihat bab kata kerja).

Nota

Gaya Dewan Edisi Ketiga (1995:60) menyenaraikan 15 patah perkataan yang dianggap telah mantap dan ditulis sebagai satu perkataan iaitu antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, pesuruhjaya, setiausaha, sukacita, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, dan warganegara. Sila perhatikan, turut disenaraikan ialah kata kerja beritahu dan kata adjektif sukacita. Perkataan matahari tidak disenaraikan.

6.3.3.2 Pengimbuhan kata nama majmuk

Kata nama majmuk boleh juga menerima imbuhan untuk membentuk kata terbitan. Pengimbuhan kata nama majmuk terbahagi kepada dua bentuk, iaitu:

(i)         kata nama majmuk yang menerima awalan atau akhiran tetap dieja berpisah. Contohnya:  terima kasih --> berterima kasih
ulang kaji --> mengulang kaji
temu ramah --> menemu ramah
reka bentuk --> direka bentuk
rumah tangga --> berumah tangga
daya serap -->
daya serapan

(ii)        kata nama majmuk yang menerima apitan dieja secara bercantum. Contohnya:
lipat ganda --> melipatgandakan

tanggungjawab --> dipertanggungjawabkan
surat khabar --> persuratkhabaran
ibu bapa --> keibubapaan

kuat kuasa --> dikuatkuasakan
 

.3.3 Kata Kerja Majmuk (h. 207)

Kata kerja majmuk terdiri daripada rangkaian dua morfem bebas atau lebih. Dalam bahasa Melayu kebanyakan kata majmuk terdiri daripada golongan kata nama. Di bawah di berikan kata majmuk yang tergolong sebagai kata kerja.
kemas kini     terima kasih
kenal pasti     campur aduk

ambil alih       lipat ganda

tunjuk ajar      tolak ansur

Nota

Semua kata kerja majmuk itu dieja terpisah.

Hanya terdapat satu bentuk kata kerja yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh. Bentuk yang mantap ini tetap dieja satu perkataan, iaitu beritahu.

Dalam bahasa Melayu kata majmuk jenis kata nama, yang besar jumlahnya,  boleh menjadi kata kerja melalui proses pengimbuhan. Apabila kata itu menerima awalan, kata dasarnya tetap dieja terpisah. Tetapi apabila menerima apitan, kata dasarnya dieja tercantum. Contohnya:
satu padu --> bersatu padu (menerima awalan ber-)

urus niaga --> mengurusniagakan (menerima apitan meng-…-kan)

latar belakang --> berlatar belakangkan (menerima apitan ber-..-kan)

Terdapat bentuk kata majmuk daripada jenis kata nama yang menerima awalan dan dieja bercantum. Bentuk ini bentuk mantap. Contohnya:
kerjasama --> bekerjasama

tanggungjawab --> bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan

NOTA

Perkataan ubahsuai ialah akronim ubah sesuai. (Tatabahasa Dewan Edisi Baharu,  h. 68.) Oleh itu unsur-unsurnya mesti digabungkan menjadi ubahsuai dan bukan ditulis terpisah. Hal ini berbeza dengan gabungan kata sinonim seperti cantik molek (cantik atau molek) dan gabungan kata antonim seperti teruna dara (teruna dan/atau dara) dan lebih kurang (lebih dan/atau kurang). Hal ini berbeza juga dengan kata majmuk ibu bapa, urus setia, serba guna, atur cara dan kertas kerja.

8.3.4 Kata Adjektif Majmuk (h. 228--229)

Kata adjektif majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata adjektif majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Contohnya: merah jambu, hijau daun, biru laut, kuning langsat, muda remaja

Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:  
178.  Baju kurung songket merah jambu kesayangan kakak dicuri orang.
179.  Ular yang dilihatnya kelmarin berwarna hijau daun.

180.  Dinding bahagian dalam rumahnya dicat dengan warna biru laut.

181.  Gadis berkulit kuning langsat itu telah memenangi peraduan fesyen kebaya.
182.  Fesyen terbaharu itu menjadi ikutan kaum muda remaja.

       
Terdapat sejumlah kata adjektif majmuk yang membawa maksud kiasan, iaitu terdiri daripada simpulan bahasa, seperti contoh yang berikut:
panjang tangan, besar kepala, ringan tulang, terang hati, rabun ayat (Contoh ayat 184--187)

        Terdapat juga rangkai kata adjektif yang sekali imbas seolah-olah kata adjektif majmuk. Sebenarnya binaan ini terdiri daripada bentuk frasa dan boleh menerima penyisipan di antaranya. Contohnya:
riang gembira - riang dan gembira

tua muda - tua dan muda
miskin kaya - miskin dan kaya
cantik manis - cantik dan manis
panas terik - panas yang terik

        Gabungan antara kata adjektif dengan kata adjektif atau kata adjektif dengan kata nama membentuk konstituen-konstituen baharu dengan makna baharu.

1