| Sumber |
|
PENDEKATAN STRUKTURAL |
|
Pendekatan ini telah digunakan oleh guru-guru di
sekolah sejak tahun 1960-an lagi. Ciri-cirinya ialah:
1.
Kritikan Moden Karya dikaji berasaskan kritikan sastera moden.
2.
Pembacaan Teliti Guru dan pelajar mesti membaca dan meneliti karya kerana penganalisisan
hanya dapat dilakukan setelah karya itu benar-benar difahami dan
dihayati.
3.
Menganalisis Struktur Pendekatan ini menekankan pemahaman dan analisis
terhadap unsur-unsur yang membina karya itu seperti plot, perwatakan,
tema, latar, ciri-ciri simbolik, klimaks dan lain-lain. Hubungan antara
unsur-unsur ini amat erat dan membentuk satu satuan yang unik, yang
dijadikan alat untuk mencerminkan peristiwa-peristiwa dan hakikat
kehidupan masyarakat penulisnya.
4.
Induktif* Pembelajaran bersifat induktif, iaitu murid-murid sendiri
mengesan dan mengenal pasti, serta menganalisis struktur sesebuah karya.
Misalnya, mereka sendiri mengesan tema, persoalan-persoalan sampingan,
watak utama, watak sampingan, sifat-sifat utama, jalan cerita,
penyampaian dan lain-lain. Tugas guru hanya membantu dan memandu
murid-murid membuat rumusan-rumusan yang betul dan tepat. Unsur-unsur
yang dikaji itu hendaklah dilihat sebagai satu kesatuan. Setiap unsur
itu mempunyai pertalian antara satu sama lain. Misalnya, tema
ditonjolkan melalui perlakuan dan pengalaman-pengalaman yang dilalui
oleh watak, plot juga dijalin melalui peristiwa-peristiwa yang dialami
oleh watak. Satu teknik yang penting untuk membantu murid mengesan dan
mengenal pasti dengan tepat akan ciri-ciri struktur karya itu, ialah
dengan mengemukakan soalan-soalan yang dapat mengarah pemikiran murid
kepada perkara yang menjadi fokus pengajaran. *Boleh dibincangkan.
5.
Berdasarkan Objektif Tertentu Dalam sesuatu masa pengajaran, guru mesti memberi
tumpuan terhadap sesuatu objektif yang tertentu. Misalnya dalam soal
tema, maka aspek temalah yang diajarkan secara terperinci. Ini dilakukan
supaya murid-murid benar-benar dapat memahami, mengenal pasti,
menginterpretasi dan menghayati pokok persoalan sesebuah karya itu.
6.
Menjelaskan Konsep Lazimnya, sebelum analisis terhadap karya dijalankan, guru terlebih
dahulu menjelaskan konsep-konsep tertentu yang menjadi fokus pengajaran.
Misalnya, konsep dan pengertian plot, unsur ketegangan, kemuncak,
sorotan kembali, sorotan muka, peleraian, nada dan sebagainya. Perlulah
dipastikan bahawa murid-murid telah memahami konsep-konsep tersebut
sebelum aktiviti bilik darjah dijalankan.
7.
Kognitif Kemahiran kognitif yang lebih ditekankan oleh guru dalam pengajaran
ialah kemahiran kefahaman, iaitu memahami dengan mendalam akan karya
yang dipelajari dari segi unsur-unsur yang membentuknya.
8.
Deskriptif Di samping menekankan kemahiran pemahaman, pendekatan ini juga
memberatkan latihan-latihan penghuraian dan penganalisisan terhadap
struktur sesebuah karya yang dikaji. Misalnya menginterpretasi
sifat-sifat watak, tema, latar cerita, penggunaan bahasa pengarang dan
sebagainya.
9.
Mengutamakan Struktur Luaran Walaupun murid-murid diberi kebebasan untuk
berbincang, tetapi pembelajaran lebih banyak dipandu oleh guru dan
berasaskan landasan-landasan yang telah diajarkan. Dengan kata lain,
pembelajaran sastera terbatas pada struktur luaran yang telah
ditentukan.
10.
ABM Tidak Penting Oleh sebab pengajaran dan pembelajaran karya sastera lebih berfokus
pada struktur sesebuah karya, maka alat bantu mengajar tidaklah
begitu dipentingkan. Pengajaran lazimnya lebih berupa
“penerangan” guru dan perbincangan antara murid dengan guru dan
murid dengan murid.
Contoh
Pengajaran
Tajuk:
Mengesan Tema dan Perwatakan dalam Cerpen
Langkah
1: Guru menerangkan
konsep tema dalam sesebuah cerita. Misalnya, tema ialah "Gagasan
fikiran atau persoalan yang menjadi pemikiran atau permasalahan yang
mendasari karya". Perwatakan ialah "Gambaran keseluruhan
sifat-sifat watak yang ditonjolkan dalam sesebuah cereka,
misalnya kelakuan, perasaan, cara berfikir dan sebagainya".
(Generalisasi)
Langkah
2: Guru memberikan ringkasan cerpen yang hendak diajarkan pada hari itu
untuk menarik minat dan perhatian murid.
(Contoh)
Langkah
3: Guru menjelaskan makna perkataan sukar yang terdapat dalam cerpen
untuk membantu murid-murid memahami cerpen tersebut dengan lebih cepat.
(Proses
yang bersifat deduktif) Langkah
4:
Murid-murid diberi masa untuk membaca senyap. Mereka juga diminta
mengesan tema dan aspek-aspek perwatakan sebagaimana yang telah
diterangkan. (Proses generalisasi, ciri induktif) Langkah
5:
Beberapa orang murid diminta menceritakan cerita dalam cerpen itu
sekali lagi secara ringkas untuk menguji kefahaman mereka. (Peneguhan) Langkah
6:
Penganalisisan dan pengesanan terhadap tema dan aspek-aspek
perwatakan dilakukan secara perbincangan. Untuk memandu dan membimbing
murid-murid, guru mengemukakan soalan-soalan yang dapat mencungkil
kebolehan murid-murid mengenal pasti tema dan perwatakan cerita. (Proses
induktif) Langkah
7:
Guru membuat rumusan tentang persoalan, tema dan perwatakan bagi
cerpen yang diajarkan pada hari itu dan membuat catatan di papan hitam.
Murid-murid menyalin catatan itu. Atau Guru membuat rumusan secara lisan
dan murid-murid diminta menuliskannya dalam buku masing-masing dengan
menggunakan bahasa mereka sendiri. (Generalisasi deduktif [dilakukan
oleh guru] dan peneguhan.) Catatan:
Untuk menjimatkan masa, cerpen boleh diberi oleh guru dua atau tiga
hari sebelum pengajaran dijalankan. Untuk mengukuhkan kefahaman dan
keupayaan pelajar, guru boleh menyuruh mereka mengesan tema dan
perwatakan cerpen lain sebagai kerja rumah.
Nota
MIR: Pada saya, langkah-langkah ini lebih bersifat eklektik dengan
kewujudan kedua-dua unsur induktif dan deduktif. Kelebihan Pendekatan Struktural
1.
Memahami Konsep Pendekatan ini dapat memberikan kefahaman yang mendalam kepada murid
tentang pengertian konsep-konsep dalam kajian teks sastera kerana murid
dapat mengesan unsur-unsur yang dikaji itu daripada karya yang
diajarkan.
2.
Mudah Mengajar Guru lebih mudah mengajar kerana analisis setiap struktur dibuat satu
persatu dan pada waktu-waktu pengajaran yang tertentu. Dengan perkataan
lain, tumpuan dapat dibuat pada analisis sesuatu struktur secara
mendalam, sebelum beralih kepada penganalisisan struktur yang lain.
3.
Pembacaan Teliti Pembacaan terhadap karya perlu dilakukan dengan teliti dan terperinci
kerana hanya dengan demikian analisis struktur dapat dilakukan. Ini
dapat memastikan pemahaman murid mendalam.
4.
Tidak Banyak ABM Pendekatan ini lebih mudah dijalankan kerana tidak memerlukan banyak
alat bantu mengajar. Kelemahan Pendekatan Struktural
1.
Terpisah Dengan menganalisis sesebuah karya sastera berdasarkan struktur
seolah-olah karya itu dapat dipisah-pisahkan dan unsur-unsur seolah-olah
dapat wujud secara terasing; walhal karya sastera sebenarnya dibentuk
daripada gabungan unsur-unsur tersebut. Pengajaran sastera berdasarkan
pendekatan ini sukar memperlihatkan hubungan antara unsur-unsur yang
membentuk sesebuah karya sastera itu.
2. Membosankan Pelajar berkemungkinan bosan kerana mereka tidak berpeluang mengalami
dan menghayati karya yang dipelajari.
3. Menghafal Menggalakkan pelajar menghafal, bukan mengamalkan nilai-nilai murni
dalam karya yang dikaji.
Stereotaip Teknik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bersifat stereotaip. Hal ini akan meninggalkan kesan yang membosankan terutama jika guru tidak menggunakan alat bantu mengajar. Aktiviti hanya bertumpu di bilik darjah dan banyak dipraktikkan teknik huraian dan perbincangan. Murid-murid tidak berpeluang melakonkan adegan-adegan dalam cerita. Mereka tidak berpeluang melakukan aktiviti yang dapat menimbulkan penikmatan dan penghayatan terhadap karya itu. Sumber |