Corporate governance: Asas utama ekonomi global

Oleh :

Nik Zafri

Counter

Hakcipta Terpelihara 2001 - Sebarang penyalinan kembali harta intelek di laman Nik Zafri Online (2000) dalam apa bentuk sekalipun tanpa kebenaran daripada pengarang adalah bersalahan dari segi Undang-Undang

Corporate governance (Amalan/Urustadbir Korporat - CG) tidaklah terikat semata-mata kepada hal-hal bersangkutan dengan perniagaan. Ianya berkaitan dengan status ekonomi, kependudukan dan perkongsian.

Kebanyakan dari kita, apabila mendengar perkataan corporate governance, membayangkan ianya sebagai kod etika yang menganjurkan syarikat menukar struktur dan prosedur lembaga pengarah bagi menjadikan syarikat lebih bertanggungjawab terhadap pemegang saham.

Ini termasuklah cadangan meningkatkan jumlah pengarah bebas dalam lembaga dengan memisahkan kedudukan Pengerusi dan CEO, memperkenalkan ahli lembaga yang baru - termasuk jawatankuasa audit - dsb.

Jika inilah sahaja perkara-perkara utama yang dibincangkan dalam CG, maka kita perlu bertanya diri kita, kenapakah perkara ini amat diberikan penekanan walhal ianya sememangnya berkaitan dengan akta-akta syarikat terutamanya syarikat yang disenarai awam di bursa-bursa saham dll di mana-mana negara di dunia hari ini.

Jawapannya tidak tepat - Governance melangkaui proses dan prosedur lembaga. Ianya melibatkan perhubungan lengkap di antara pengurusan syarikat, lembaga pengarahnya dan lain-lain stakeholder umpamanya kakitangan dan komuniti di mana ianya beroperasi. Kualiti governance berkait rapat dengan rangkakerja dasar. Kerajaan memainkan peranan penting dalam membentuk rangkakerja perundangan, institusi dan regulatori bagi membangunkan sistem bersabit dengan CG. Jika kedudukan rangka kerja ini tidak teratur, maka sistem CG juga akan menjadi tidak terurus.

Rangkakerja dasar perlu merangkumi hak perundangan pemegang saham dan keupayaan mereka untuk membela diri jika hak ini dilanggar. Ianya harus melibatkan perlindungan pemegang saham menerusi saluran perundangan dan keperluan untuk mendedahkan (disclosure) risiko secara sepenuhnya. Banyak lagi faktor yang meninggalkan impak ke atas cara sesebuah syarikat dikawal, diurus dan dipertanggungjawabkan dan ianya bergantung keatas pembuat dasar.

PUNCA KRISIS

Kenapa kita perlu mengetahui kualiti CG? Terdapat banyak sebab. Antaranya kelemahan amalan CG akan mampu menggugat prestasi ekonomi negara dan akhirnya kestabilan kewangan secara global. Krisis ekonomi yang melanda Malaysia dan lain-lain negara-negara dunia baru-baru ini adalah bukti kepada pentingnya CG. Apabila ketidakseimbangan menjadi sangat ketara, ada pihak telah "menyalahgunakan" pasaran wang menyebabkan akibatnya ditanggung oleh negara-negara lain. Kita juga dikejutkan dengan kes-kes seperti 'Baring' dan 'Enron' yang kita harap tidak akan berlaku di Malaysia.

Di negara-negara rantau Asia, konglomerat-konglomerat besar banyak beroperasi dalam suasana berisiko dari segi faktor luaran. Disebabkan hubungan yang kuat dengan institusi kewangan dan jaminan kerajaan, mereka mempunyai kemudahan akses kepada hutang luaran dan ekuiti kewangan tanpa perlu melalui proses kawalan yang sepatutnya.

Walaubagaimanapun, pemegang saham yang kecil, tempatan dan asing, termasuk pemiutang, tidak pernah mendapat maklumat sepenuhnya ataupun tidak mempunyai pihak berkuasa untuk menyelia operasi korporat mereka.

Senario-senario ini telah menyebabkan struktur insentif yang tidak seimbang, terlebih pelaburan dan hutang korporat yang amat tinggi. Situasi ini diburukkan lagi dengan ketidaktelusan dan kurangnya kepatuhan terhadap prosedur audit dan kesilapan (secara sengaja atau tidak sengaja) dalam mengumumkan perkembangan masa sesebuah syarikat menerusi Corporate Exercise atau dalam prospektus sebelum atau semasa dalam proses penyenaraian awam. Akhirnya kedudukan kewangan sesebuah syarikat menjadi tidak stabil.

Bagi negara seperti Malaysia, anjakan dari p-ekonomi kepada k-ekonomi telah menunjukkan kepentingan CG secara berperingkat-peringkat. Sesetengah pihak menyalahkan CG kerana ianya melambatkan penstrukturan kembali setelah proses pengswastaan. Walaupun pengswastaan berjaya memindahkan pemilikan awam kepada swasta, masih terdapat isu seperti hak terhadap harta dan kelemahan rangka kerja institusi serta perundangan yang telah menyebabkan kurangnya kawalan oleh pengurusan tertinggi. ( Pengarang menyokong penuh usaha kerajaan untuk menstrukturkan kembali GLC ) Dalam banyak kes, hak pemegang saham minoriti gagal dilindungi. Akhirnya amalan CG yang lemah telah mengikis keyakinan pelabur dan melumpuhkan sesebuah syarikat.

Cabaran untuk meningkatkan amalan CG tidaklah terhad kepada anjakan paradigma ekonomi. Semua negara akan menikmati faedah dengan meningkatkan corak dan kaedah organisasi-organisasi beroperasi dinegara masing-masing. Negara-negara yang maju juga sentiasa membincang, mempersoal dan bekerja keras kearah amalan yang baik. Di Amerika Syarikat, pemisahan antara pengerusi dan ketua eksekutif - sebagaimana yang dikehendaki oleh pelabur adalah satu perkara boleh dikatakan janggal. Negara-negara Eropah disaran untuk memberikan layanan yang lebih baik kepada pemegang saham minoriti dan lebih telus dalam aktiviti pergabungan dan pengambilalihan. Di Jepun pula, usaha dilakukan kearah meningkatkan pendedahan maklumat dan amalan lembaga pengarah. Di Australia, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Sweden, usaha jangkapanjang diambil bagi meningkatkan undang-undang syarikat dan pengambilalihan.

MODAL

Salah satu implikasi dalam revolusi komunikasi hari ini ialah meningkatnya integrasi ekonomi global. Namun, usaha meningkatkan modal seringnya berlaku dalam bentuk gopoh gapah. Dalam mencari peluang pelaburan, pelabur tidak teragak-agak untuk membawa wang masing-masing ke seluruh dunia. Jika syarikat ingin menarik dan mengekalkan modal jangkapanjang daripada jumlah pelabur yang besar, mereka perlu berwibawa dan mempunyai CG yang baik. Pihak kerajaan dan syarikat perlu bekerjasama untuk merealisasikan hasrat ini.

Tentunya, governance bukanlah terhad kepada isu pelabur asing namun melibatkan sumber dalaman. Menguatkan keyakinan domestik dalam negara sendiri umpamanya pasaran saham banyak bergantung kepada persaingan jangkapanjang perniagaan dan kekuatan ekonomi negara. Bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika negara yang lemah dari segi perlindungan pelabur mempunyai modal pasaran yang lebih kecil dan kurang cair. Konsep Pasaran Modal (Capital Market)yang diperkenalkan baru-baru ini perlu diberikan sokongan yang kuat. Selain itu, tumpuan dan pendidikan perlu diberikan kepada pasaran alternatif seperti derivatif selain stok/komoditi terutamanya retail investment berasaskan produk/perkhidmatan yang berdayasaing. Namun begitu, pelabur perlu bijak dalam mengikuti perkembangan semasa umpamanya keadaan inflasi atau deflasi yang boleh memberikan kesan kepada pasaran derivatif.

Menyedari hakikat ini, maka satu prinsip CG yang baik perlu diwujudkan. Segala keputusan perlu mewakili pandangan kolektif berasaskan elemen-elemen kunci rangkakerja CG. Ianya perlu cukup lentur kepada suasana, budaya dan tradisi negara. Prinsip ini perlu menghuraikan amalan pengurusan yang baik, cara-cara untuk disenaraikan dan kod tatacara. Pendekata, prinsip CG ini perlu menjadi panduan kepada bursa saham, pelabur, sektor swasta/korporat dan suruhanjaya sekuriti.

Prinsip CG yang baik perlu merangkumi lima perkara :-

hak dan perlindungan pemegang saham

peranan kakitangan dan lain-lain stakeholder

pendedahan (disclosure) yang mengikut masa yang ditentukan

ketelusan struktur dan operasi korporat

tanggungjawab lembaga pengarah terhadap syarikat, pemegang saham dan stakeholder.

Prinsip ini akan lebih mudah difahami dengan meringkaskannya kepada 4 nilai utama iaitu :-

a) layanan yang sama

b) tanggungjawab

c) ketelusan

d) akauntabiliti (dipertanggungjawabkan)

Dengan adanya prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang disebutkan diatas, CG boleh dijadikan suatu mekanisma untuk memerangi rasuah, meninggikan tanggungjawab dan etika korporat, governance/urustadbir sektor awam dan pemangkin perundangan. CG memerlukan usaha yang selaras supaya ekonomi global akan dapat memberikan faedah kepada negara. Setelah pelaksanaan, maka, semakan, dialog dan sebagainya diperlukan untuk meningkatkan kualiti prinsip CG secara berterusan.

Adalah dijangkakan, pada abad ke-21, kestabilan ekonomi akan berpunca daripada kekuatan pasaran modal dan pelaksanaan sistem CG dengan berkesan.