Laman Utama

     
   
- Terkini
    - Buku Tetamu
    - Pertanyaan
    - Webmaster

Personaliti

     
   
- Biodata
    - Pengenalan
    - Keluarga
    - Galeri
    - Anugerah


Pengalaman

     
   
- Pensyarah
      :: Galeri
    - DJ Jemputan
    - Rediffusion
      :: Galeri
    - THR
      :: Galeri
    - Metro 99.3FM
    - Tiket 99.3FM
    - Pengerusi
    - Drama Radio
    - Suara Latar
    - Editor Bebas
    - Teater
    - Jawatan Lain
    - Kursus

Penulisan

     
   
- Buku Ilmiah
    - Karya Ilmiah
    - Skrip Drama RD
    - Skrip Drama TV
    - Artikel
    - Puisi

Koleksi Wira

     
   
- Senarai
    - Galeri

Lain-Lain

     
   
- Nota Kuliah

    - Senarai Pelajar

Karya Siber

     
   
- Cerpen Bln Ini
    - Puisi Bln Ini
    - Jurnal
    - Kertas Kerja
   

 
    Jurnal


 KOMUNIKASI KORPORAT DAN BUDAYA KERJANYA[1]

Oleh: 
ABDUL RAHMAN AHMAD HANAFIAH (WIRAMANJA)[2]

 

1. MUKADIMAH

Istilah komunikasi kerap diperkatakan dan disebut apabila individu mengaitkan sesuatu dengan perhubungan.  Sama ada perhubungan tersebut berbentuk dua hala mahupun sehala.  Selain itu, ramai yang keliru apakah sebenarnya istilah komunikasi dalam konteks perhubungan masyarakat.  Ianya sering berkonflik dengan displin lain yang seakan mempunyai maksud yang serupa tetapi lain pengertian. Justeru, sukar bagi seseorang mengukur, menilai, menterjemah makna yang tepat bagi pengertian komunikasi yang sebenar.

            Umum mengetahui perhubungan sosial dalam masyarakat terbentuk dalam komunikasi.  Komunikasi juga mempunyai pengertian  yang lebih luas dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Dalam kehidupan juga terbentuk pelbagai macam dan tatacara komunikasi bergantung pada budaya yang dianuti oleh individu. Individu juga tidak terikat dengan pelbagai bentuk komunikasi yang boleh membelenggui kehidupannya.

Namun, dalam tingkat kehidupan ada hieraki tertentu memisahkan tahap-tahap komunikasi antara budaya. Budaya juga mencorakkan bentuk komunikasi sesuatu kaum sehingga mereka menjelmakan satu kaedah bagi memisahkan antara komunikasi kemasyarakatan, keorganisasian dan lain-lain.  Begitu juga  terjadi bentuk komunikasi keagamaan yakni di antara hamba kepada penciptanya iaitu manusia berkomunikasi kepada tuhannya iaitu Allah s.w.t. Garis penentu dan halangan komunikasi bergantung kepada pemakaian dan cara mana diaplikasikan oleh individu tersebut sama ada ianya berjaya mahupun sebaliknya. 


[1] Kertaskerja dibentangkan dalam Bengkel Industripada 15 Mac 2001 Jam 9.00 pagi di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah.

[2]Abdul Rahman Ahmad Hanafiah (Wiramanja) adalah Pensyarah di Sekolah Pengajian Seni UMS. Sebelum bertugas di UMS, beliau mempunyai pengalaman beberapa tahun berkhidmat dalam sektor korporat iaitu di RENONG (Time Highway Radio) memegang jawatan Ketua Penerbit Eksekutif  dan Ketua Bahagian Melayu (1994 – 1999) Kajian Peringkat Sarjana:  Komunikasi Budaya Dalam Adat Resam Melayu Tradisional.

 

Dalam komunikasi mempunyai halangan yang mana tahap-tahapnya tidak serupa tetapi tetap berlaku dan terjadi.  Ini bergantung pada cara mana ianya disampaikan dan cara mana pula ianya disalurkan kepada khalayak.  Khalayak tidak mempunyai minda yang serupa boleh menceduk setiap pengertian yang disampaikan melalui medium komunikasi itu.  Justeru, halangan inilah yang perlu diketahui dan dipelajari supaya komunikasi yang dibentuk jelas, memberi manfaat dan menemui sasarannya. Mengikut kamus Merriam Webster mengenai komunikasi sebagai:

 

“a process by which information is exchanged between individuals through a common system signs, or behavior, or exchange of information personal rapport or a technique for expressing ideas effectively”

         

Ini jelas menunjukkan komunikasi adalah satu proses yang berterusan sebagai satu pertukaran maklumat melalui pelbagai sistem lambang, tingkahlaku dan satu teknik menyatakan pemikiran secara berkesan. Selain itu, komunikasi adalah pengucapan dan mesej tulisan.  Begitu juga terjadinya pada kaedah komunikasi korporat yang mempunyai perbezaan tertentu.  Kedapatan banyak artikel dan buku menulis mengenai budaya dalam organisasi, yang merujuk dan menjurus ke arah budaya korporatan. 

 

Kertaskerja ini dibentangkan hanyalah tertumpu ke arah moral, sosial dan tingkahlaku, kepercayaan, sikap, keutamaan terhadap ahli-ahlinya dalam komunikasi korporat. Bagaimana seseorang berdepan dengan organisasi besar yang mempunyai rentak kerja berbeza dengan sektor awam yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.  Sektor korporat yang dimiliki oleh pemegang-pemegang saham berkumpulan tetapi bukan secara individu.  Justeru, sesebuah korporat tidak akan hancur melainkan mereka bergabung dengan organisasi korporat lain untuk membesarkan empayar korporat supaya kukuh dan teguh.

 

2. Pengertian Korporat

Sebuah badan korporat bebas untuk menjalani aktiviti perniagaan yang tidak menyalahi ataupun melanggari peraturan undang-undang di mana ianya berada.  Kebanyakan organisasi tersebut menjalani perniagaan yang menguntungkan dan dimiliki oleh tiga atau lebih penyertaan penyumbangnya dengan mengadakan modal untuk korporat dengan menjual share dan stock.  Organisasi korporat biasanya mempunyai pengaruh mengawal hartanah dan sebagainya.  Selain itu, mengawal dan memantau pemilik-pemilik saham kecil.  Ini termasuklah menyelaras amanah stock majoriti yang secara langsung menjadi milik korporat tersebut. 

    Di Malaysia, sebagai contohnya mempunyai organisasi korporat tersebut iaitu kumpulan Renong,  Simedarby dan lain-lain milik bersama tetapi didokong oleh seorang pemegang saham yang terbesar.  Namun, pengertian korporat secara luas adalah pelbagai.  Di Amerika Syarikat umpamanya, sebuah badan korporat di miliki secara kooperative, dan juga dimiliki oleh organisasi keagamaan contohnya  Roman Catholic Archbishops.  Badan-badan korporat ini menguasai aset pengaliran wang dan aset tetap yang banyak dalam sesebuah negara.  Seolah-olah badan korporat ini sebagai kerajaan nombor dua selain daripada kerajaan yang mentadbir badan korporat tersebut. 

Di  Malaysia, penswastaan ejen-ejen kerajaan bertujuan mengurangi beban dan tanggungjawab kerajaan terhadap implikasi kewangan negara sektor pekerjaan.  Sebuah badan korporat berupaya memulihkan ekonominya kerana mempunyai falsafah perniagaan yang berbeza dengan dasar kerajaan yang mana lebih banyak menimpukan keperihatinannya mengenai kebajikan rakyat dan pengguna.  Justeru, kerajaan perlu menimbang secara adil dalam pentadbirannya  yang mana tidak membabitkan kewangan rakyat.  Namun, badan korporat berusaha gigih menggunakan rakyat sebagai pelanggannya yang mendatangkan hasil mengguntungkan. (contoh: POS MALAYSIA, KTMB, TNB, TELEKOM LL).

 

3. Budaya Korporat

Setiap organisasi mempunyai keunikan budaya atau nilai tersendiri. Kebanyakan organisasi tidak mencipta budayanya tersendiri melainkan ianya terjadi dengan sendiri oleh nilai yang dibangunkan oleh pentadbir atasan ataupun pemilik organisasi itu sendiri.  Satu contoh sektor korporat yang terbesar di dunia iaitu Hewlett-Packard mempunyai budaya korporat tersendiri dibina tanpa sedar iaitu “The HP Way”. Badan korporat ini telah berkerja keras mempertahankan motto korporatnya bertahun-tahun lamanya seperti perkara tersebut.

 

3.1.   saling menghormati orang lain.

3.2.   perihatin terhadap masyarakat

3.3.   kerja keras dengan ikhlas.

 

Disebabkan budaya kerjanya telah disemai berpuluh tahun lamanya, Hewlett-Packard terkenal di seluruh dunia.  Barangan komputer dan lain-lain adalah berjenama syarikat gergasi tersebut. Ini membuktikan bahawa sikap mereka yang bekerja di bawah bumbung organisasi tersebut menyakinkan majikannya dan para pelanggan yang menggunakan produk HP.  Sesungguhnya, manusia memilih produk HP kerana lambangnya telah menjadi terkenal dan pelanggan benar-benar yakin dengan barangan yang berlambangkan Hewlett-Packard. Maka, sudah tentu budaya korporat organisasi ini perlu dijadikan satu contoh dan ikutan supaya dapat menggunakannya sebagai timbangtara kita yang akan memasuki alam industri pekerjaan dalam sektor korporat mahupun kerajaan.

 

Setiap badan korporat akan memilih staf-stafnya yang mempunyai kriteria terpilih yakni memenuhi piawaian yang ditetapkan supaya mereka tidak membawa wabak penyakit yang boleh melumpuh dan meruntuhkan organisasi itu dengan jangkitan wabak penyakit yang berkekalan.  Wabak penyakit yang berkekalan iaitu berlawan dengan, moral, sosial dan tingkahlaku, kepercayaan, sikap, keutamaan terhadap ahli-ahlinya dalam komunikasi korporat  yang telah dibentuk dan disemadikan dalam motto syarikat korporat tersebut. Oleh itu, ujian pasti dilakukan kepada bakal staf yang memasuki dalam arena korporat.  Sebab itu, badan korporat dapat bergerak pesat mencapai tujuan dan matlamat perniagaannya kerana memiliki staf-staf yang cekap dan bebas daripada wabak penyakit sosial.

4. Budaya Komunikasi Dalam Organisasi

Segala maklumat berkenaan perniagaan yang diperolehi oleh individu ataupun berkumpulan perlu disampaikan kepada pihak atasan secepat mungkin dan tepat (ASAP). Maklumat yang diperolehi adalah daripada akhbar, warta kerajaan, internet dan lain-lain. Menerus perolehan maklumat tersebut, maklumbalas dapat dilakukan dengan segera untuk mencapai matlamat perniagaan yang tidak rugi tetapi menguntungkan. Berikut adalah beberapa proses pentadbiran dalam organisasi korporat yang bermula daripada pengaliran informasi daripada pelbagai sumber:

 

4.1.   Matlamat dan tujuan organisasi dari segi strategi plan, target tahunan organisasi, pencapaian CEO secara individu, terhadap staf bawahan dalam organisasinya. Dan setiap orang dalam organisasi mempunyai tanggungjawab di atas pencapaian badan korporatnya.

4.2.   Sistem maklumbalas resmi pencapaian individu perlu dinilai dan diteliti untuk meninjau kesan plan strategic organisasi.  Maklumbalas mestilah cekap, pantas dan berkesan.

4.3.   Persefahaman di antara majikan (pengurusan) dan staf dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab supaya mengikut lunas dan piawaian yang dikehendaki. Justeru, persefahaman bagi kedua pihak merupakan landasan utama percapaian matlamat organisasi.

 

Pencapaian yang memuaskan dalam perniagaan dan sebagainya di sektor korporat banyak bergantung kepada hubungan komunikasi di antara staf dengan majikan.  Kesepaduan persefahaman ini boleh melahirkan rasa kasih, mesra, saling hormat dan menghormati sesama sendiri.  Cetusan sikap keterbukaan, ikhlas, menerima teguran, dan menganggapkan semua staf sebagai satu keluarga besar merupakan satu titik penyebab sesebuah organisasi dapat berjalan lancar tanpa gangguan dan halangan.

          Komunikasi dua hala seharusnya mendapat kesan baik di antara kedua belah pihak.  Seseorang bos ataupun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap egoist pada jawatan tetapi tanggungjawab yang dipikul adalah untuk meraihkan pencapaian maksimum terhadap organisasi.  Sikap egoist akan menyebabkan seorang ketua tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan.  Staf bawahan sukar dibendung kelakuan mereka apabila sikap egoist ketua mereka menyelubungi hati  sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci staf terhadap ketua berlarutan.  Berikut diperturunkan sepuluh perkara yang perlu dilakukan oleh seorang  ketua terhadap staf bawahannya.

a) Mendengar masalah yang dihadap oleh staf.

b) Memberi arahan mengikut waktu yang sesuai, supaya kerja lain tidak bertindan.

c) Mendengar buah fikiran staf untuk mencapai tujuan organisasi.

d) Hargai setiap usaha yang dilakukan oleh staf, walaupun ianya tidak mencapai piawaian yang dikehendaki.

e) Jangan menganggap staf sebagai orang suruhan dan harus menghormati maruahnya sebagai seorang manusia biasa.

f) Seharusnya memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh staf.

g) Kurangkan memarahi mereka secara terus-terang di depan staf-staf lain.

h) Jangan memburuk-burukkan staf di hadapan staf yang lain.

i) Mempunyai sikap bertolak-ansur dan berbudibicara yang luhur terhadap semua staf.

j) Bersabar menerima keranah staf dan cuba menyelesaikan setiap masalah tetapi jangan mengeruhkan keadaan dengan bermusuhan dengan staf yang tidak disukai.

 

Komunikasi dua hala tidak akan tercapai jika di sebelah pihak atasan lebih menitikberat kehendak staf bawahan sedangkan di pihak staf juga perlu bersedia menerima teguran dan pandangan daripada ketua dengan rela hati dan ikhlas.  Sikap dendam dan irihati terhadap ketua perlu dikikis samasekali apakala ditegur ataupun dikomen.  Sikap terbuka perlu ada di setiap hati staf bawahan.  Jangan mengukur atau menjaga tepi kain ketua dalam urusan harian.  Staf bawahan cuma menjalankan kerja penuh kepatuhan tanpa merungut pada arahan yang diberikan oleh ketua.  Berikut diperturunkan sepuluh perkara yang perlu dipatuhi dan dilakukan oleh staf bawahan dalam sesebuah organisasi bagi menjalin perhubungan mesra dan kelicinan pentadbiran korporat.

a) Sentiasa patuh dengan setiap arahan yang diberi oleh    ketua/majikan.

b) Ikhlas dan jujur melakukan setiap tugas.

c) Kawal perasaan marah, percakapan dan jangan mengumpat/memfitnah.

d) Hormati ketua di pejabat mahupun di luar pejabat.

e) Memberi kerjasama dengan staf lain.

f) Kikiskan sikap benci dan irihati terhadap ketua dan lain-lain staf.

g) Hormati hak ketua menjalankan tanggungjawabnya dalam pejabat.

h) Menerima teguran dan cuba memperbaiki kelemahan.

i)  Jadikan tugas satu keseronokkan tetapi bukan paksaan dan deraan

j)  Anggap menjalankan tugas sebagai satu ibadah kepada Allah s.w.t.

 

5. Penutup

Sektor korporat adalah satu organisasi besar yang disokong penuh oleh kerajaan.  Kesepaduan organisasi korporat tanahair menyebabkan kekukuhan ekonomi negara.  Sekitar tahun 1980 hingga kini kerajaan memberi tumpuan ke arah penswastaan dan pengkorporatan.  Pada tahun 2000 (alaf baru) pengabungan organisasi perbankan ke arah pengkorporatan global dilakukan.  Penyatuan ini adalah satu cubaan memberi kekuatan organisasi korporat berkembang lebih pantas dan drastik.  Ekoran itu, ekonomi negara dapat dipulih setelah mengalami kemesetan ekonomi di akhir tahun 1997.

          Sudah tentu pengkorporatan tidak berlaku dengan jayanya jika sikap dan tingkahlaku staf-staf yang bekerja dalam sektor korporat memeluk tubuh ingin melihat keruntuhan organisasi tersebut sehingga mereka sendiri hilang pekerjaan.  Negara, memerlukan rakyat berdidikasi, berinovatif dan dinamik untuk memikul tanggungjawab bersama membangunkan negara.  Justeru, negara memerlukan rakyat yang mempunyai jiwa sentiasa berusaha ke arah kemajuan dan mencapai kecemerlangan sebagaimana motto Universiti Malaysia Sabah iaitu Bertekad Cemerlang.  Sesungguhnya, untuk terdedah dalam organisasi korporat, individu perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan semangat yang jitu dan sanggup menempuh cabaran demi cabaran.

 

 

 

©2001 Wiramanja. All right reserved.